Saturday, August 21, 2010

Selam skuba perlu pandai berenang?


PENYELAM skuba yang mahir berenang akan dapat membantu rakan mereka yang keletihan jika sesuatu terjadi di tengah-tengah laut.


RAMAI yang agak fobia jika ingin menyertai aktiviti selam skuba. Pertanyaan yang paling terkenal ialah ‘Mampukah saya menyelam jika saya tidak pandai berenang?’

Perkara ini merupakan aspek subjektif dan tidak dimaktubkan oleh mana-mana agensi selam skuba bagi mereka yang ingin menyertai aktiviti berkenaan pada peringkat asas.

Apa yang diberitahu hanyalah mereka selesa dalam air dan mampu terapung di permukaan boleh menyertai peringkat asas selam skuba.

Namun apabila dikaitkan dengan air, minda seseorang itu akan terus memikirkan sama ada mesti pandai berenang (dalam erti kata boleh melakukan renangan dalam jarak tertentu dan bukan seperti perenang menyertai pertandingan).

Apa pun, kebanyakan agensi selam skuba tidak menyatakan dengan tepat sama ada mereka yang berminat menyertai selam skuba asas perlu pandai berenang atau tidak.

Ini berikutan, pada asasnya, kebanyakan jurulatih agensi selam skuba mempunyai standard mereka sendiri dalam menentukan siapa yang mampu menyelesaikan perjalanan kursus, pandai atau tidak berenang.

Ada jurulatih yang akan menetapkan secara khusus. Mereka yang ingin menyertai kursus perlu mempunyai kemahiran asas berenang asas pada jarak tertentu.

Malah, ada juga jurulatih yang mewujudkan kurus ‘kombo’ di mana mereka yang tidak tahu berenang akan diberi kursus dalam mempelajari teknik renang yang betul. Selepas tamat kursus berkenaan, mereka akan terus diajar untuk kursus selam skuba pula.

Pengurus Besar, Dolphin Sport Adventure, BH Lee berkata, kemampuan berenang bakal penyelam skuba baru lebih baik berbanding mereka yang tidak tahu berenang.

“Jika mereka tahu berenang bermakna mereka sudah selesa untuk aktiviti air.

“Malah bagi mereka mahir berenang, aspek pernafasan ketika dalam air juga sudah diketahui dan ini akan memudahkan mereka bernafas melalui regulator ketika melakukan selam skuba,” katanya.

Menurut Lee, berenang dan selam skuba memang mempunyai kaitan rapat.

Kedua-dua aktiviti itu dilakukan di persekitaran yang sama dengan menggunakan medium yang sama.

“Kita memasuki wilayah asing sebenarnya ketika selam skuba dan juga berenang.

“Apa yang berlaku di persekitaran itu tidak sama dengan apa yang berlaku di darat,” katanya .

Menurut Lee, ramai yang merasakan darat amat dekat ketika berada di laut namun pada hakikatnya, ia tidak begitu.

Maka atas alasan itulah, ramai yang lemas disebabkan penat selepas bergegas berenang ke darat ketika terapung-apung di laut.

Di laut kata Lee, jarak yang dikatakan dekat sebenarnya masih jauh dan jika seorang penyelam skuba itu tidak mahir berenang, dia akan menggunakan cara yang salah untuk ke darat.

Menurut Lee lagi, selain itu, jika seorang itu mahir dalam renangan, ia akan dapat membantu mereka ketika selam skuba.

Katanya, ini termasuk cara tendangan yang betul dilakukan ketika menyelam di dasar laut.

“Seringkali saya lihat mereka yang tidak mempunyai asas renangan akan melakukan tendangan ‘basikal’ yang dalam erti kata sebenar, mereka tidak bergerak.

“Jadi, penyelam skuba itu akan terus menerus melakukan tendangan itu dan lebih parah ketika arus kuat.

“Ini akan menyebabkan mereka letih dan akan menggunakan bekalan udara yang lebih banyak berbanding penyelam yang lebih relaks dalam melakukan tendangan yang betul,” katanya.

Penyelam skuba yang memiliki asas renangan akan dapat melakukan aktiviti lebih selesa dan lancar.

Malah kata Lee, mereka tidak akan penat dan menggunakan bekalan udara yang sepatutnya.

Menurutnya, walaupun aspek renangan diperlukan dalam kursus lanjutan, namun bagi pihaknya, pengetahuan dan pengalaman berenang adalah aspek penting dalam asas selam skuba.

“Selain beberapa perkara penting yang dinyatakan, pengetahuan berenang pada penyelam skuba akan dapat membantu rakan mereka yang dalam keletihan jika sesuatu terjadi di tengah laut.

“Mereka yang mempunyai asas berenang ini akan boleh membantu menolak rakannya yang kepenatan atau yang tidak tahu berenang,” katanya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kombo berenang dan skuba, hubungi Lee (012-2845575) atau Cyrena Yong (012-2243398) atau 03-56301615, e-mel info@dolphinsportadventure.com dan layari www.dolphinsportadventure.com.

Untuk insurans selam skuba Dive Alert Network yang memberikan perlindungan selam skuba sehingga RM780,000 dengan premium dari RM400 setahun atau lebih kurang RM1.10 sehari, hubungi Dive Tenggara Adventure di info@divetenggara.com atau layari laman web www.divetenggara.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: