
Akui situasinya berbeza dari tahun-tahun terdahulu, kata Shahir, Ramadan kali ini sangat bermakna untuknya kerana selain dapat memenuhi jadual seni, dia juga berpeluang mendekati peminat menerusi program-program Ramadan yang diaturkan oleh pihak pengurusannya, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB).
“Selepas menjayakan program rakaman raya untuk Astro, insya-Allah saya akan terlibat pula dengan beberapa program Ramadan seperti majlis berbuka puasa bersama anak yatim.
“Inilah masanya untuk kita menghargai mereka. Insya-Allah dengan cara seperti ini ia dapat menggembirakan dan meringankan beban mereka,” kata Shahir yang kini sibuk dengan penggambaran filem, Karak arahan Yusri KRU.
Pada masa yang sama, anak muda yang popular dengan lagu ‘Kebahagiaan Dalam Perpisahan’ ini turut sibuk mempromosikan album, Hangatnya Raya yang baru sahaja dilancarkan awal bulan lalu.
Jelas Shahir, menerusi album itu, dia menyanyikan lagu duet, ‘Tiba’, bersama penyanyi popular, Faizal Tahir dan penyampai Hot FM, Faizal Ismail.
Turut terlibat, artis-artis popular seperti Shila OIAM, Stacy dan barisan penyampai Hot FM seperti Fara Fauzana, Sharifah Aleeya dan ramai lagi.
Meskipun sibuk dengan pelbagai agenda seni, kata Shahir, dia tidak akan melepaskan peluang untuk beribadah memandangkan bulan yang suci ini penuh dengan keberkatan.
“Ibadah puasa tetap berjalan seperti biasa, cuma di sebelah siang saya sibuk dengan aktiviti seni. Insya-Allah bila semuanya selesai, saya mahu bersama keluarga dan fokus dengan amal ibadat,” katanya yang tidak akan melepaskan peluang untuk berbuka puasa bersama keluarga tersayang di Kampar, Perak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: