Saturday, August 14, 2010

Amber Chia Academy cari pelapis



Hasrat model jelita, Amber Chia, 28, untuk memiliki akademi peragaan sendiri kini tercapai dengan tertubuhnya, Amber Chia Academy yang baru sahaja dilancarkan, pada Selasa lalu.

Meskipun dalam keadaan sarat mengandung, ia bukanlah penghalang bagi model bertaraf antarabangsa sepertinya untuk memiliki akademi sendiri sekali gus merealisasikan sebahagian dari impiannya.

“Sebenarnya sudah lama saya ingin tubuhkan akademi sendiri. Sekarang masa yang sesuai kerana sepanjang tempoh mengandung inilah saya mempunyai banyak masa untuk tumpukan pada akademi.

“Lagipun sejak dulu lagi, ramai gadis-gadis di luar sana sering bertanyakan pada saya, bila nak buka akademi sendiri sebab mereka ingin belajar daripada saya.

“Usia saya pun dah semakin bertambah dan sudah masanya untuk cari pelapis baru. Dengan ilmu dan pengalaman hampir 13 tahun dalam ‘modeling’, akan saya kongsikan bersama mereka menerusi akademi ini,” katanya yang nekad menubuhkan akademi itu selepas terlibat dengan pencarian Supermodel Malaysia anjuran Ford Models Inc.

Akademi yang terletak di Jaya One, Petaling Jaya, itu bukan sahaja menawarkan kursus peragaan tetapi juga solekan dengan harga serendah RM700.

Menerusi akademi tersebut, Amber bertindak sebagai pengetua, manakala dua rakan karibnya, Benjamin Toong, 33, sebagai guru peragaan pentas dan Desmond Yoi, 33, sebagai guru solekan.

“Memandangkan saya sedang hamil, maka khidmat dua tenaga pengajar ini sangat diperlukan untuk melatih pelajar secara praktikal.

“Saya pula akan mengajar dari segi teori, termasuklah cara berkomunikasi serta membentuk personaliti mereka untuk menjadi sebagai model profesional,” kata Amber yang ditemui ketika pelancaran akademi tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: