Tuesday, August 3, 2010

Seram di kota Van Der Wijck


KOTA Van Der Wijck terletak di Kebumen, Jawa Tengah.


Perjalanan ke Semarang yang merupakan ibu kota Jawa Tengah memang jauh dan terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas di beberapa pekan kecil. Pilihan kali ini adalah jalan kampung bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Jalur Pantura.

Walaupun perjalanan agak jauh, ia memberi peluang penulis melihat kehidupan penduduk kampung di Pulau Jawa dan sempat bermalam di Purwokerto.

Sememangnya tidak disangka kerana Purwokerto merupakan pekan yang agak besar dan bersih.

Pada keesokan harinya penulis langsung ke Kota Van Der Wijck yang terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan Purwokerto.

Tarikan untuk ke situ ada kaitannya dengan karya hebat Hamka yang berjudul Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Cerita itu sebenarnya diilhamkan daripada peristiwa sebenar kapal Van Der Wijck. Kapal yang berlayar dari pelabuhan Tanjung Perak, Surabaya, menuju Tanjung Priok, Jakarta.

Ia tenggelam di Laut Jawa, timur laut Semarang, pada 21 Oktober 1936.

Novel itu berkisah tentang Zainuddin, yang gagal menyunting Hayati kerana perbezaan suku dan status sosial. Zainuddin, yang berdarah campuran Minang-Bugis, dianggap tidak layak mengahwini Hayati, orang Minang tulen di Batipuh, Padangpanjang, di negeri Minangkabau.

Van Der Wijck merupakan seorang pegawai Belanda yang dikatakan cukup hebat ketika bertugas di Indonesia termasuk menewaskan tentera Aceh dan kota berkenaan diberi nama sempena pegawai berkenaan.

Pelancongan

Kota Van Der Wijck terletak di Kebumen. Lokasinya yang cukup dekat dengan jalan utama Kebumen-Yogyakarta, iaitu sekitar 300 meter, rugi pula jika tidak mengunjungi kawasan pelancongan tersebut.

Benteng kuno dengan dominasi warna merah cukup terserlah berbanding bangunan lain di kawasan itu. Di situ disediakan pelbagai kemudahan rekreasi lain seperti kereta api mini di atas bumbung kota, taman permainan dan sebagainya. Selain itu terdapat juga patung-patung dinasor yang pasti menarik perhatian kanak-kanak.

Kota Van Der Wijck dahulunya selain menjadi tempat pertahanan tentera Belanda juga mempunyai asrama tentera. Bagaimanapun, penulis tertarik kepada papan tanda yang mengingatkan pengunjung supaya berdoa sebelum memasuki kawasan berkenaan.

“Sebelum masuk benteng sebaiknya anda berdoa sejenak menurut kepercayaan masing-masing,” begitulah bunyi papan peringatan itu.

Melihat situasi kota lama yang menyimpan pelbagai misteri kehidupan tentera Belanda di situ, mungkin pernah berlaku perkara-perkara pelik sehingga mendorong pihak yang berkenaan mengeluarkan peringatan tersebut.

Bilik-bilik dan lorong-lorong sempit serta gelap terdapat di kota itu juga memungkinkan pengunjung tersesat.

Rasa takut dan seram itu mungkin ada asasnya kerana ketika penulis dan keluar menaiki tangga yang sempit untuk ke bumbung kota tersebut, tiba-tiba anak sulong penulis hilang daripada pandangan.

Dia muncul dalam keadaan termengah-mengah dan hampir menangis. Rupa-rupanya kerana terlalu asyik mengambil gambar dia tidak sedar telah ditinggalkan seorang diri di lorong sempit, samar dan lembap itu. Jika berjalan seorang diri di dalam tembok itu terasa bagaikan ada mata yang sedang mengawasi pergerakan.

Mengikut sejarah kota Van Der Wijck dibangun pada awal abad ke-19 atau sekitar tahun 1820-an, bagi menangani pemberontakan Diponegoro yang mendapat dokongan para elit di Jawa Selatan.

Namun kini ia tinggal menjadi salah satu tarikan pelancongan di Indonesia, apatah lagi kedudukannya hanya kira-kira 100 kilometer dari Candi Borobudur menyebabkan ia sentiasa dikunjungi pelancong asing.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: