Tuesday, August 3, 2010

Graduan komputer usahakan




Sesiapa saja tentu terpesona melihat ikan berwarna-warni seperti yang terdapat dalam filem 'Finding Nemo' berenang-renang mengelilingi karangan di dalam akuarium.

Malah semua beban di kepala terasa ringan melihat ikan berenang mengikut alunan batu karang yang meliuk-lentuk.

Ramai yang teringin menghias ruang tamu dengan akuarium ikan marin tetapi terbantut apabila memikirkan kosnya yang tinggi.

Tapi benarkah hobi memelihara ikan hiasan marin memerlukan belanja yang besar kerana kos permulaan serta penyelenggaraan yang mahal?

"Memelihara ikan marin tidaklah semahal mana jika kita tahu cara menyelenggara dengan betul.

"Malah seekor ikan marin berharga antara RM5 hingga RM200 mengikut jenis yang disukai oleh pelanggan," kata Pengurus Zarifah Aquarium, Muhammad Shahfrin Shariffuddin ketika ditemui di premisnya di Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Manakala bahan hiasan batu karang atau coral boleh dibeli pada harga RM30 hingga RM300 setiap satu.

Muhammad Shahfrin yang lebih mesra dengan panggilan Shah menjelaskan sebuah akuarium marin bagi amatur boleh dibeli dengan harga RM1,000 hingga RM2,000.

"Ini termasuk semua peralatan seperti garam, makanan ikan, makanan batu karang, sistem penapis air garam, akuarium, ikan marin serta batu karang.

"Selepas pelanggan memilih dan bersetuju, kami akan memasang akuarium di rumah pelanggan," katanya.

Bagaimanapun tugas mereka tidak terhenti setakat itu saja kerana pelanggan boleh datang untuk mendapatkan khidmat nasihat jika berlaku sebarang masalah dengan ikan hiasan marin mereka.

Biarpun boleh dikatakan baru bertapak dalam dunia ikan hiasan marin, Shah yang belajar melalui cara 'cuba jaya' boleh berbangga kerana jumlah pelanggannya semakin bertambah hari demi hari.

Menitikberatkan perkhidmatan lepas jualan, Shah tidak jemu memberikan nasihat kepada pelanggan yang memerlukannya.

Bercerita mengenai pelanggannya, Shah berkata, biasanya mereka akan datang untuk meninjau dan bertanya dan membandingkan harga dengan kedai lain sebelum membeli.

Malah kedai yang diusahakan oleh ibunya Zarifah Abdul Aziz, bapanya Shariffuddin Ismail bersama-sama adiknya Abdul Malek dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam tujuh hari seminggu.

"Tetapi adakalanya kami terlajak sehingga ke pukul 11 atau 12 malam jika terpaksa ke rumah pelanggan.

"Biasanya kami ke rumah pelanggan selepas waktu pejabat atau hujung minggu," kata beliau yang juga graduan dalam bidang Sains Komputer di salah sebuah kolej di Selangor.

Shah berkata, ada ketikanya mereka perlu membersihkan akuarium pelanggan sebelum memasukkan ikan hiasan marin dan batu karang ke dalamnya.

Ditanya mengenai sejarah bermula premis Zarifah Aquarium yang menjual ikan hiasan marin, Shah berkata, segalanya hasil idea ibunya selepas mengambil Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) yang mahu bergiat dalam dunia perniagaan.

Memandangkan mereka sekeluarga amat meminati ikan hiasan, cadangan ibu membuka kedai ikan hiasan mendapat persetujuan ramai.

"Bukan saja kami sekeluarga sukakan ikan malah saudara mara kami juga minat ikan hiasan," sambung Shah.

Minat ibunya yang mendalam dalam dunia ikan hiasan membawa beliau menghadiri pelbagai kursus yang dianjurkan oleh agensi kerajaan dan swasta.

"Sekarang emak sedang menghadiri kursus ikan arowana selama seminggu," katanya.

Bermula dengan kedai ikan hiasan di Pelabuhan Klang, mereka berpindah ke Anggerik Mall di Shah Alam memandangkan sambutan di sana yang tidak begitu menggalakkan.

Kemudian mereka berpindah ke premis sekarang di Kompleks PKNS, Shah Alam selepas memohon hampir dua tahun.

Shah meminati ikan hiasan sejak berusia 15 tahun dan telah mula membantu ibunya sejak di kedai pertama mereka.

"Kami bermula dengan ikan hiasan air tawar tetapi berubah kerana minat yang mendalam kami berubah kepada ikan marin," katanya.

Beliau yang mendapat bekalan ikan marin dan coral luar negara seperti Filipina, Indonesia, Taiwan, Lautan Hindi serta sedikit dari Miami, Amerika Syarikat (AS) daripada pembekal.

Mempelajari teknik memelihara ikan hiasan marin daripada pelbagai sumber termasuk pembekal, Internet, buku bacaan serta pelanggan, kini Shah boleh dikatakan 'sifu' di kalangan peminat ikan hiasan marin.

Kursus

"Kami bermula dengan membeli ikan marin hiasan dan karang yang kecil dan memelihara sendiri dengan mengambil kira kualiti air termasuk paramater seperti suhu, saliniti (kemasinan), pH (kemasaman) serta kandungan mineral dan kimia yang diperlukan oleh setiap jenis ikan.

"Sehingga kini kami juga memberikan tip-tip berguna kepada pelanggan yang membeli ikan serta peralatan ikan marin di sini," katanya yang juga membina dan menyelenggara akuarium ikan hiasan marin bagi beberapa agensi kerajaan dan swasta.

Premisnya juga menjual semua jenis sistem dan peralatan yang berkaitan dengan ikan marin serta ikan hiasan air tawar.

Bagi merealisasikan impian bagi mencetuskan minat orang ramai terdapat ikan hiasan marin, Zarifah Aquarium bercadang mengadakan kursus memelihara ikan hiasan marin.

"Kursus berkenaan akan dikendalikan oleh ibu saya sendiri yang berpengalaman dalam ikan hiasan marin dan ikan hiasan air tawar," katanya.

Mereka yang berminat mengenai ikan hiasan marin boleh berkunjung ke Zarifah Aquarium di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Manakala mereka yang ingin mengikuti kursus memelihara ikan marin hiasan pula boleh menghubungi Zarifah di 019-2292040.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: