Tuesday, August 3, 2010

IPD Serdang


ABD. Razak Elias bersama pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.


BARU sehari memegang tanggungjawab sebagai Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias sudah diuji dengan satu kes penahanan kereta Rolls Royce 'Sultan Melaka' yang telah melanggar kesalahan mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Namun, kes itu itu bukan sesuatu yang pelik baginya kerana selama 28 tahun menjadi sebahagian nadi Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelbagai kes dan asam garam telah dilaluinya.

Dari awal perbualan, fokusnya hanya satu iaitu kebajikan masyarakat. Jelas sekali misi yang tertanam dalam hati beliau selari dengan misi PDRM iaitu komited untuk berkhidmat dan melindungi rakyat selain mengekalkan undang-undang dan ketenteraman awam.

Jelas beliau, masyarakat perlu dititikberat kerana mereka adalah mata dan telinga polis dan untuk itu perlu ada kerjasama erat penting dalam usaha membanteras jenayah bersama.

"Kita mahu masyarakat menjadikan polis sebagai rakan mereka. Polis mesti memenangi hati masyarakat dengan memahami kehendak dan harapan mereka. Jalinan dan interaksi masyarakat dan polis yang saling faham dan memahami antara satu sama lain akan mewujudkan sinergi dalam gerak kerja membanteras jenayah.

"Pencegahan jenayah lebih efektif jika masyarakat bersama polis kerana masyarakat pada mata saya, mereka lebih berpengetahuan tentang keadaan dan keselamatan di tempat mereka. Komuniti Kepolisan iaitu satu falsafah yang berteraskan kerjasama pintar antara masyarakat dan polis. Masyarakat bermaksud semua individu, penduduk, institusi pengajian, keagamaan, korporat, pekilang, agensi kerajaan dan penguatkuasa, media dan juga pihak berkuasa tempatan.

"Kerjasama dengan masyarakat dalam mencegah jenayah akan dapat dilakukan secara lebih tuntas ," ujarnya bersungguh-sungguh bila menyebut tentang komuniti kepolisan.

Tambah Abd. Razak, kerjasama itu penting memandangkan daerah Serdang di bawah pentadbirannya meliputi banyak kawasan taman perumahan meskipun rondaan unit berkuda dan rondaan bermotosikal kerap dilakukan.

Katanya, beliau masih dalam proses mendekati badan dan agensi penting seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Beliau berjanji akan cuba mendapatkan kerjasama mereka dalam usaha menjadikan daerah Serdang sebagai kawasan komuniti yang aman.

Beliau menambah, polis akan mengadakan pertemuan dengan semua badan lain secara berperingkat untuk menjalinkan kerjasama bersepadu. Hubungan baik ini turut melibatkan agensi badan-badan korporat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu, beliau mahu masyarakat terutama penduduk di kawasan pentadbirannya agar tidak takut untuk melaporkan sebarang aduan jenayah di mana-mana balai berdekatan kerana menjadi usaha beliau menerapkan misi baru IPD itu 'Anda adalah tetamu kami'.

Bagi beliau, pengadu yang melaporkan kes jenayah di mana-mana balai di IPD itu adalah tetamu kepada mereka dan bukan sebagai pengadu.

Mereka akan dilayan sebagai tetamu seperti mana masyarakat melayan tetamu yang mengunjungi rumah mereka.

Pendekatan baru itu menurut Abd. Razak, hasil cetusan ideanya bersama Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika beliau masih berkhidmat sebagai timbalan ketua polis di daerah itu.

"Malah saya masih ingat tentang cerita-cerita ayah supaya jika hendak memberi sesuatu kepada orang, berilah yang terbaik.

"Itulah kata ayah kepada saya dan ianya akan dilaksanakan sampai bila-bila," katanya yang masih mengharapkan bimbingan dalam menjalankan tugas baru itu.

Perkhidmatan yang terbaik buat komuniti di bawah pentadbirannya adalah usaha utamanya demi keselamatan masyarakat naungan IPD Serdang terutama Bandar Puteri yang telah tersenarai sebagai kawasan panas.

Setakat ini katanya, anggota dan pegawai di bawah seliaan pihaknya mendapat kakitangan yang mencukupi dan proses menaiktaraf bangunan IPD sedang dilakukan.

Pada 15 Julai lalu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar menyerahkan tugas tiga buah balai yang sebelum ini di bawah pentadbiran daerahnya kepada Abd. Razak.

Tiga balai itu adalah Balai Polis Serdang, Balai Polis Seri Kembangan dan Balai Polis Puchong Jaya yang telah meraih Balai Polis Terbaik dalam kategori A Liga Balai Polis.

Langkah memecahkan sebahagian kawasan pentadbiran IPD Subang Jaya untuk diwujudkan IPD Serdang, sebelum ini diumumkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Ini berikutan pertambahan jumlah penduduk di daerah Subang Jaya dan untuk itu langkah memecahkan sebahagian kawasan tersebut dilihat wajar untuk memastikan polis dapat berkhidmat kepada penduduk di situ dengan berkesan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: