Thursday, August 26, 2010

'Saya tak kongkong Nazril'

TANGGAL 8 November ini genaplah empat tahun usia perkahwinan pelakon dan pengacara popular, Sazzy Falak dan suaminya, Nazril Idrus.

pix_middle
pix_topright
Bagaimanapun, hingga kini pasangan sehati sejiwa ini masih belum dikurniakan cahaya mata.

Namun 'kekurangan' itu nyata bukan penghalang untuk mereka mengikat kasih dengan kukuh.

Reda dengan ketentuan Tuhan, Sazzy atau Sazlini Falak, 29, masih terus berdoa agar suatu hari cahaya mata akan menjelma dalam hidup dia dan suaminya.

Menurut Sazzy, dia dan Nazril sangat menghormati antara satu sama lain.

Malah akui Sazzy, dia tidak pernah mengongkong suaminya.Anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini sedar suaminya ada ramai rakan termasuk wanita.


"Saya bersikap terbuka dan tak halang suami mahu berkawan dengan siapa. Nazril boleh buat apa saja yang dia suka asalkan dia berterus terang."Setakat ini, syukur saya tahu semua aktiviti Nazril dan percaya dengan ketulusan hatinya."Memang saya tak bimbang langsung kerana Nazril sentiasa sibuk dengan perniagaan dan juga kariernya sebagai pengacara. Kami sudah bersahabat lama sebelum berkahwin dan kami kenal hati budi masing-masing.

"Kami ada minat yang sama. Malah, semua masalah pun kami akan kongsi dan membincangkannya untuk cari jalan penyelesaian.

"Justeru, setakat ini rumah tangga kami tiada masalah kerana masing-masing sudah faham," katanya.

Rap bertemu Sazzy di rumah pengarah filem terkenal, Profesor Madya A Razak Mohaideen, baru-baru ini. Filem 4 Madu lakonannya bersama Saiful Apek akan menemui penonton pada 1 Syawal ini dan seperti judulnya, Sazzy memegang watak sebagai seorang madu.

"Saya membawa watak Jane, isteri ketiga Azhar (Saiful Apek). Jane seorang wanita Inggeris yang bersikap mengada-ngada.

"Apapun, saya sangat seronok berlakon filem ini kerana dapat menguji kemampuan diri untuk lakonan komedi.

"Jujurnya, saya anggap berlakon komedi ini sesuatu yang sangat mencabar. Ini kerana saya kena tahan gelak dan membuatkan penonton ketawa. Namun, Apek sangat profesional dan turut membantu saya.

"Bagi saya, filem 4 Madu satu cerita hiburan yang ringan, tetapi banyak pengajaran terutama, persepsi kita terhadap hidup poligami.

"Apapun, dalam kehidupan realiti, saya tak rela berkongsi suami sebenarnya. Saya mahu suami saya menjadi hak peribadi saya buat selamanya.

"Oleh itu, memandangkan saya dan Nazril sentiasa sibuk, Ramadan ini kami akan memberhentikan segala aktiviti dan meluangkan banyak masa bersama. Selepas asyik bekerja sepanjang tahun, takkan bulan puasa pun saya dan Nazril masih sibuk," katanya.

Pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19, Sazzy ketika diminta mengulas mengenai perceraian yang berlaku di kalangan artis sekadar berkata soal berkaitan jodoh adalah ketentuan Ilahi.

"Sama ada artis atau orang biasa, sesiapa saja boleh bercerai. "Dalam soal ini, saya melihat perceraian sebahagian daripada kehidupan manusia. Apa yang pasti, setiap wanita harus bersedia dengan segala kemungkinan.


"Semua pasangan suami isteri impikan kehidupan rumah tangga yang aman dan bahagia. Saya tidak mahu memberi komen lebih lanjut kerana apa diharapkan biarlah rumah tangga kekal bertahan.

"Justeru, dalam tempoh cuti rehat sempena Ramadan ini, saya mahu memberikan fokus sepenuhnya kepada suami. "Selain itu, pada Aidilfitri nanti saya dan Nazril bercadang menziarah rumah sanak saudara dan eratkan silaturahim," katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengadakan rumah terbuka, Sazzy berkata setiap tahun ia diadakan di kediaman ibu bapanya.

"Saya dan Nazril tidak suka membazir. Kami pakai apa yang ada, tetapi biasanya warna kalau boleh biar sedondon. Ini kerana, secara kebetulan apa warna yang saya hendak gayakan, Nazril pun ada. Jadi, kami mudah bergaya bersama ke mana saja," katanya.

Menyentuh perancangannya, Sazzy berkata dia sudah berjaya dalam lakonan dan pengacaraan TV.

Justeru, ujarnya sekarang dia mahu memberi tumpuan kepada produk dihasilkan produksi miliknya, Sinclairfalak Sdn Bhd yang ditubuh bersama rakan pelakon, Ashraf Sinclair.


>PROFIL
NAMA: Sazlini Falak
PANGGILAN KOMERSIAL: Sazzy Falak
TARIKH LAHIR: 10 Mac 1981
USIA: 29 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Pengacara dan pelakon
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Nazril Idrus
FILEM: Gol & Gincu, Sepi, Tipu Kanan Tipu Kiri, Jin Notti, 4 Madu dan Tolong Awekku Anak Pontianak
DRAMA: Antaranya Gol & Gincu, Spanar Jaya, Apa Itu Cinta, Goda dan Pabila Larut Malam
PROGRAM: Beat TV, Ria Sentral, Oo La La, Galaksi, Gitar Raya
ANUGERAH: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-19, Naib juara Sehati Berdansa 3

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: