Thursday, August 26, 2010

Aida & Joe Razwill Akhirnya Bercerai

PETALING JAYA: Selepas hampir 10 tahun melayari hidup bersama, pasangan artis, Aida Khalida dan Joe Radzwill akhirnya memilih untuk membawa haluan sendiri.

Pasangan itu disahkan bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada pukul 10.05 pagi Khamis, selepas Joe melafazkan talak satu terhadap Aida.

Joe, 40, melafazkan talak itu selepas Hakim Syarie Mohd Yusri Kasim membenarkan permohonan Aida, 53, untuk meminda permohonan cerai secara fasakh yang difailkannya sebelum ini kepada perceraian dengan persetujuan bersama.

Pelakon Black Maria itu terdahulu beristifar sebanyak tiga kali sebelum melafazkan talak yang berbunyi: “Saya Ismail Ahmad @ Mohd Radzwill menceraikan isteri saya Aida Khalida Ahmad dengan talak satu."

Aida yang kelihatan tenang turut bersetuju untuk mengugurkan haknya terhadap nafkah edah dan mutaah dalam perceraian tersebut.

Mohd Yusri kemudiannya mensabitkan talak itu sah di sisi syarak dan memerintahkan Aida untuk beredah selama tiga kali suci dan perceraian itu didaftarkan di Majlis Agama Islam di sini.

Joe hadir bersama peguam syarienya, Roslizam Rahim manakala peguam syarie Nahar Alias tidak hadir kerana telah menarik diri daripada terus mewakili Aida.

Aida yang mengenakan baju kurung berwarna hitam dan berselendang putih ditemani seorang wanita yang telah menunggu sejak pagi di perkarangan mahkamah.

Walaupun tidak lagi bergelar suami isteri, Aida dan Joe memberitahu, mereka masih akan bersahabat, malah tidak menolak pelawaan media yang mahu merakamkan gambar mereka berdua untuk kali terakhir.

Joe yang sebelum ini tidak bersetuju dengan permohonan fasakh itu berkata, dia menukar fikiran selepas pulang dari Tanah Suci Mekah.

“Saya banyak membuat solat istikarah untuk memohon petunjuk semasa berada di sana. Tidak ada tempat yang lebih baik untuk memohon petunjuk selain daripada di Tanah Suci.

“Saya rasa lebih tenang berbanding sebelum ini yang sering marah dan tidak berpuas hati,” katanya yang baru pulang dua hari lalu selepas berada di Mekah selama 15 hari.

Aida pula mengakui merahsiakan keputusan untuk bercerai meskipun ia sebenarnya dibuat dua hari sebelum Joe bertolak ke Mekah.

Pasangan itu berkahwin pada 6 November 2002 di Yala, Thailand dan hanya mengesahkan pernikahan mereka sembilan tahun kemudian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, dekat sini, pada 3 September 2009.

Mereka tidak dikurniakan anak tetapi masing-masing mempunyai cahaya mata bersama bekas pasangan terdahulu.

Pergolakkan rumah tangga mereka diketahui ramai selepas Aida memfailkan permohonan fasakh pada 27 April lalu dengan dakwaan Joe gagal memberi nafkah dan menjadikan hidupnya menderita.

Prosiding mahkamah Khamis, juga sebenarnya ditetapkan untuk sebutan semula kes fasakh itu dimana Aida seharusnya memfailkan semula permohonannya yang menuntut nafkah sementara RM1,000 sehingga kes selesai yang dibuatnya secara lisan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: