Monday, August 2, 2010

Rumah terbakar kerana sabun


NORAINI (kanan) bersama Mariam melihat rumahnya yang hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Pauh, Padang Tengah, Pasir Mas semalam.


PASIR MAS – Seorang suri rumah menyesal tak sudah apabila tindakannya pergi semula ke kedai untuk mengambil sabun yang tertinggal menyebabkan rumah pusaka yang telah didiami lebih 13 tahun hangus dalam kebakaran semalam.

Kejadian pukul 1.35 petang di Kampung Pauh, Padang Tengah di sini itu berlaku apabila Noraini Ibrahim, 39, meninggalkan rumahnya seketika untuk pergi ke sebuah kedai runcit berdekatan rumahnya.

Menurut Noraini, sebelum itu, dia telah pergi ke kedai berkenaan untuk membeli barangan dapur tetapi apabila sampai di rumah dia mendapati sabun yang dibeli telah tertinggal lalu mengambil keputusan untuk mengambilnya semula.

“Selepas mengambil sabun itu, saya segera pulang ke rumah tetapi apabila hendak sampai, saya terkejut dan hampir pengsan mendapati rumah saya telah terbakar.

“Saya begitu menyesal keluar ketika itu walaupun saya hanya meninggalkan rumah kira-kira 10 minit sahaja,” ceritanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, ibu Noraini, Mariam Deraman, 64, berkata, semasa kejadian itu dia berada di rumah seorang lagi anaknya yang terletak bersebelahan rumah Noraini.

Katanya, ketika kejadian, dia terdengar bunyi letupan kecil.

“Bila saya keluar, api begitu marak dan saya hanya teringatkan dua cucu saya masing-masing berusia enam tahun yang berada di dalam rumah itu.

"Saya kemudian terus bergegas ke rumah itu dan terus menyelamatkan mereka ketika sedang bermain di hadapan rumah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: