
KOTA BHARU – Operasi wad bersalin dan wad kanak-kanak di bangunan lama Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) terjejas ekoran krisis bekalan air yang semakin kritikal.
Masalah kekurangan itu berlaku berikutan tekanan air yang rendah di kedua-dua wad tersebut sehingga menimbulkan kesulitan kepada pesakit dan kakitangan hospital berkenaan.
Pengarahnya, Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan (gambar) berkata, tangki simpanan untuk membekalkan air kepada dua wad terbabit yang mempunyai 327 buah katil itu kini berada pada paras 0.6 meter berbanding paras kritikal dua meter manakala paras maksimum pula tiga meter.
Menurut beliau, antara kesulitan yang dihadapi oleh doktor dan jururawat ialah kesukaran mencuci peralatan perubatan selepas digunakan merawat pesakit.
“Saya melahirkan kebimbangan ini kerana kemungkinan bayi yang baru bersalin selepas ini tidak dapat dibersihkan dengan sempurna kerana tekanan air yang terlalu rendah.
“Kita menerima kes kelahiran bayi antara 30 hingga 40 orang sehari yang memerlukan banyak penggunaan air untuk membuang selaput di badannya, mencuci kain yang terkena darah dan juga membersihkan kelengkapan dan peralatan yang digunakan dalam proses kelahiran,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.
Bagaimanapun, Dr. Ghazali berkata, masalah tersebut tidak serius di bangunan lain di HPRZ II.
Jelasnya, krisis bekalan air itu yang berlarutan sejak tahun lalu telah dilaporkan kepada syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) namun sehingga hari ini tidak ada tindakan berkesan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: