Tuesday, August 17, 2010

Rezeki setahun sekali


Tahun ini Ann dan Norrizan menggunakan bakul rotan dan mengkuang untuk hampernya.


REZEKI setahun sekali semasa kedatangan hari raya boleh dikatakan memberikan pulangan yang agak lumayan. Justeru ramai yang tidak melepaskan merebut peluang keemasan ini dengan mengusahakan apa sahaja yang mereka mampu.

Umpamanya membuat biskut raya, mengambil upah menjahit baju, menjahit langsir, membuat pakaian kanak-kanak dan tidak dilupakan ialah membuat hamper.

Sudah menjadi trend masyarakat sekarang yang memberi hamper kepada rakan-rakan niaga, kawan-kawan, saudara-mara dan sebagainya apabila tiba hari raya. Kebiasaannya mereka akan memesan sahaja daripada pembuat hamper kerana cara ini lebih mudah dan hamper yang dipesan juga cantik.

Melihat kepada hamper yang dihasilkan oleh Ann Hussain dan Norrizan Mohd, hati siapa yang tidak akan tertarik. Selain daripada bekas hamper itu sendiri yang menarik, barangan yang terdapat di dalam hamper itu juga pasti membuatkan hati anda ingin memilikinya.

Ann yang menjalankan perniagaan hamper ini berkongsi dengan Norrizan berkata, untuk musim raya tahun ini, mereka sepakat memilih konsep hasil rimba tempatan seperti bakul-bakul yang dibuat daripada rotan dan mengkuang.

Katanya, jika pada tahun-tahun lepas mereka menggunakan kotak dan bekas daripada negara luar seperti Vietnam dan China, kali ini mereka menggunakan bakul-bakul yang dicari sendiri di Terengganu, Pahang dan Sarawak. Dengan cara itu, mereka dapat membantu perusahaan masyarakat tempatan sendiri.

Jika bekas hamper dibuat daripada bakul buatan tempatan, isi hamper nampak lebih moden dan Inggeris dengan barangan makanan atau biskut yang diisi di dalam tin ayan dengan lukisan dan gambar menarik.

''Di dalam hamper kami terdapat biskut-biskut tradisional seperti tat, makmur, samprit Kemboja selain biskut cip coklat, acar buah, dodol Melaka, buah-buah kering.

''Supaya nampak lebih menarik, kami isi juga hamper kami dengan barangan dan biskut import seperti biskut Harrods dan Crabtree. Bagi hamper yang berharga RM700 ke atas pula akan mendapat pati minyak wangi.

''Kami juga tahu pelanggan akan mudah tertarik jika diletakkan barangan perhiasan. Untuk itu, ada hamper yang kami letakkan balang Cina yang di dalamnya berisi kerepek. Dengan kata lain, hamper kami adalah gabungan produk tempatan dengan barangan yang mahal,'' kata Ann.

Menurut Ann lagi, hamper yang dihasilkan ini dijual pada harga antara RM80 hingga RM1,500. Ia dibuat bukan untuk satu-satu golongan sahaja malah untuk semua, daripada golongan biasa, persendirian atau korporat. Ia juga boleh dijadikan cenderahati tatkala berkunjung ke rumah kawan-kawan atau saudara-mara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: