Tuesday, August 17, 2010

Gerbang Cinta dapat sambutan


AHLI Puteri UMNO meneliti borang Peraduan Gerbang Cinta.


DALAM memenuhi impiannya melahirkan perkahwinan yang sempurna, Peraduan Gerbang Cinta anjuran Utusan Malaysia turut dilihat umpama ubat paling mujarab bagi memulihkan 'penyakit' yang menyerang sesebuah rumahtangga.

Exco Puteri UMNO yang juga Ketua Puteri Umno Bahagian Setiawangsa, Seriwani Sabtu berkata, asas perkahwinan yang diterapkan kepada pasangan muda melalui peraduan ini mampu membuatkan mereka lebih bersedia melangkah ke alam perkahwinan.

"Peraduan ini juga menggalakkan golongan muda menimba ilmu keagamaan sebaik mungkin untuk menyertai siri program yang dirancang sepanjang penganjurannya.

"Dengan ilmu yang diperoleh ini, sama ada pasangan menang atau kalah, ia mampu memberi pengetahuan tambahan kepada mereka.

"Saya sememangnya berbangga dan menyambut baik usaha yang diambil Utusan Malaysia ini dalam memelihara kerukunan rumah tangga memandangkan ketika ini kes perceraian semakin bertambah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Pelancaran Gerbang Cinta Musim Ke-2 di Kampung Pengantin, Jalan Usahawan, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, penganjuran program itu juga memberi peluang yang lebih luas kepada penaja bagi mempromosikan perkhidmatan masing-masing kepada orang ramai.

Penolong Bendahari Puteri UMNO Bahagian Setiawangsa, Noraini Zulkafli pula berpendapat, kebiasaannya bakal pengantin mempunyai keinginan untuk meraikan perkahwinan mereka secara meriah dan lengkap, jadi peraduan ini mampu merialisasikan impian itu.

Jelasnya, ditambah dengan ilmu keagamaan lengkap yang diperoleh ketika menyertai peraduan, ia mencukupi untuk membina sebuah perkahwinan sempurna.

Menurut Noraini, Puteri UMNO sentiasa akan menyokong program seumpama itu yang mana bertujuan untuk kebaikan dan kepentingan masyarakat.

"Segelintir pasangan sememangnya sudah layak berkahwin namun disebabkan simpanan kewangan tidak mencukupi, mereka terpaksa menangguhkan impian ini.

"Perkahwinan yang tidak dilangsungkan akibat faktor ekonomi juga mampu menggalakkan masalah sosial kepada pasangan seperti berkahwin lari atau berkhalwat.

"Maka, peraduan ini yang menawarkan pakej perkahwinan menarik dapat mengelak atau mengurangkan masalah-masalah berkenaan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: