Tuesday, August 17, 2010

Rawatan spa redakan tekanan


Sebahagian bahan-bahan rawatan tradisional untuk pelanggan.


KEISTIMEWAAN spa yang berpangkalan di Presint 15 Putrajaya ini kerana tema dekorasi yang ditampilkannya.

Enggan membiarkan pengunjung setia bosan dengan konsep yang sama, pengasas Adleenz Spa, Rozleen Ramli sanggup mengeluarkan kos yang besar untuk pengubahsuaian premisnya .

''Saya gemarkan sesuatu tempat yang betul-betul tenang bagi merehatkan diri selepas penat seharian di pejabat.

''Namun kadangkala timbul rasa bosan kerana rata-rata spa yang dikunjungi lebih cenderung memilih konsep moden dan juga Bali.

''Jadi saya ubah konsep itu supaya tidak terlalu sama bagi menampakkan kelainan,'' ceritanya.

Kini, apabila berpeluang mengusahakan spa sendiri dia cuba mencipta kelainan dari segi atmosfera dan dekorasi.

''Mungkin inilah kelainan daripada spa yang biasa dikunjungi,'' ujarnya sambil menunjukkan empat bilik rawatan yang berbeza serta menawarkan pelbagai rawatan kecantikan seperti urutan badan, wajah, lulur dan rawatan kuku serta kaki.

Ceritanya lagi, dia berhasrat butiknya bukan sekadar menyediakan rawatan semata-mata kepada pengunjung tetapi menjadi pusat sehenti yang boleh memberikan ketenangan kepada yang datang ke spa tersebut.

Selain spa, Rozleen juga turut menyediakan ruangan urutan kaki bagi tujuan untuk kelegaan selepas penat menerima rawatan di bahagian hujung spa tersebut.

Malah bukan sekadar itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan perkhidmatan memotong rambut di spa itu.

Pertama kali melangkah kaki ke spa tersebut, teruja menyaksikan sudut jamu yang seolah-olah menjemput pengunjung ke spa tersebut.

''Inilah kehebatan di Adleenz Spa kerana bukan sekadar menyediakan spa untuk rawatan muka semata-mata turut menyediakan pusat refleksologi,'' ujarnya.

Malah cerita Rozleen, spa miliknya juga menawarkan perkhidmatan bekam serta urutan tradisional untuk kaum lelaki.

Meskipun baru dua tahun beroperasi, Adleenz Spa mampu memberi kepuasan kepada pelanggan dengan kombinasi rawatan dan pesona daripada ilham dekorasinya serta perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Rozleen memberitahu, pihaknya amat menitikberatkan kepuasan pelanggan yang menggunakan khidmat mereka.

''Justeru, saya dan kakitangan berusaha sebaik mungkin bagi mencipta suasana yang diinginkan pelanggan seperti ketenangan.

" Tidak ketinggalan kami juga menerapkan unsur romantik bagi pasangan menerusi aspek pencahayaan dan penggunaan lampu tertentu," katanya.

Spa itu juga menyediakan lima bilik rawatan selain perkhidmatan jakuzi, mandi wap dan sauna.

Menariknya, jakuzi yang tersedia berkonsepkan zaman batu dan kelihatan begitu unik sekali. Sekali pandang air terjun buatan yang disediakan di satu sudut jakuzi itu seperti semula jadi.

Apa yang pasti, kunjungan ke Adleenz Spa mampu memberikan seribu satu kepuasan dalam diri pelanggan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: