Tuesday, August 3, 2010

Reunion bekas wartawan Media Hiburan imbas nostalgia

Selepas lebih 26 tahun berlalu, majalah Media Hiburan terbitan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd masih kekal sebagai sebuah majalah hiburan popular sehingga hari ini.

Bagaimanapun dalam tempoh usia yang sebegitu matang, sidang redaksi Media Hiburan sentiasa bersilih ganti.

Ahad lalu, generasi pertama dan mereka yang sama-sama membangunkan majalah itu berkumpul untuk mengimbas nostalgia ketika menghasilkan majalah tersebut yang pada awalnya beroperasi di Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Shah Alam.

Pertemuan penuh bermakna itu diadakan di Restoran Puteri, Taman Tun Dr Ismail, di sini. Ia dihadiri kira-kira 22 bekas wartawan termasuk jurufoto, grafik artis dan pegawai pengiklanan Kumpulan Media Karangkraf.

Majlis itu dimulakan dengan ucapan editor pertama majalah tersebut, Fadzil Abdullah yang menjadi pencetus terhadap isi kandungan majalah berkenaan sehingga mampu bertahan sehingga hari ini.

Katanya, banyak pengorbanan di lakukan untuk melahirkan majalah itu tetapi dengan kekuatan dan semangat wartawan yang ada maka majalah hiburan pertama yang diterbitkan seminggu sekali itu terus maju.

Selain Fadzil, majlis tersebut turut di hadiri bekas-bekas editor iaitu Sarimah Husin dan Intan Zabidin.

Turut memeriahkan majlis berkenaan ialah Ruslan Mamat, Zulkefli Ali, Niezam Abdullah, Huzz, Saharudin Ridzuan (Odeng), Ina Rahman, Raja Nor Azeda, Norimy Aimi, Rouslan Mokhtar, Nizam Hamid, Mohd Marzuki Munir dan Wanda Idris.

Sementara bekas artis grafik yang hadir ialah Garib Saman, Adnan Yusof, Ramly Ribut, Hairul Azim Abdullah, Sabri Abd. Aziz .

Bekas pengurus pengiklanan, Mona Din dan bekas jurufoto Natrah Mat Jan turut hadir memeriahkan majlis.

Bagaimanapun, daripada semua nama tersebut, hanya empat yang masih berkhidmat dengan Kumpulan Media Karangkraf dan anak syarikatnya iaitu Intan Zabidin, Garib Saman, Adnan Yusof dan Ramly Ribut.

Mereka yang meninggalkan Media Hiburan kebanyakannya berjaya dalam bidang kewartawanan bertaraf editor dengan penerbitan lain termasuk penerbit hiburan stesen televisyen, pegawai syarikat rakaman dan juga ahli perniagaan.

Selain acara 'makan-makan', majlis dimeriahkan dengan sesi mereka turut bercerita pengalaman menarik masing-masing termasuklah kisah lucu bagaimana cerita wartawan menangis di bawah meja kerana dimarahi editor serta cerita wartawan bertemu jodoh dengan petugas di tempat sendiri.

Media Hiburan pertama diterbitkan pada awal tahun 1984 yang menampilkan Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad sebagai penghias muka depannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: