Tuesday, August 17, 2010

Sajian Melayu ketika berbuka


Chef Ismail bersama sebahagian hidangan berbuka puasa di Restoran Rebung.


Menjejakkan kaki ke Restoran Rebung Chef Ismail milik chef terkenal tempatan, Chef Redzuawan Ismail, membuatkan pengunjung merasai seperti berada di sebuah rumah kampung.

Rekaan, hiasan dan susun atur dalaman bercirikan kelengkapan rumah desa yang diterapkan di restoran miliknya dengan seorang rakan kongsi, Angkasawan Negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor itu menambahkan lagi keunikan.

Ketika ini, Restoran Rebung Chef Ismail sedang menganjurkan promosi juadah sempena Ramadan bermula Julai lalu hingga minggu terakhir puasa dengan mengetengahkan puluhan masakan lazat mengikut resipi Melayu.

Jadi, mungkin ini waktu paling sesuai bagi anda yang gemarkan masakan Melayu merasai juadah enak dengan harga berpatutan.

Chef Ismail berkata, dalam tempoh promosi itu, restorannya menawarkan lebih 50 jenis masakan dan minuman istimewa untuk berbuka puasa.

"Restoran Rebung Chef Ismail menerapkan tema Air Tangan Ibu untuk promosi ini kerana masakannya bukan sahaja bercirikan resipi Melayu asli dan juadah kampung tetapi seperti masakan harian yang disediakan di rumah.

"Bersesuaian dengan namanya yang tertera rebung, sejenis tumbuhan yang sinonim dengan masakan Melayu, kami menyediakan juadah yang pasti mengembalikan nostalgia anak Melayu tempatan kepada masakan di kampung.

"Kami menawarkan juadah berbuka puasa mulai pukul 3 petang dan restoran ini mampu memuatkan 500 orang. Namun mereka yang berhasrat berbuka puasa di sini disaran membuat tempahan terlebih dahulu bagi memastikan tempat duduk mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada PraMajlis Berbuka Puasa Bersama Media di Restoran Rebung Chef Ismail.

Pelbagai menu istimewa yang menanti pengunjung pada promosi itu termasuk nasi lambaian Syawal, nasi minyak, nasi dagang, daging sinaran Syawal, ayam percik, daging masak kicap, gulai ayam, ikan bakar dan rendang ayam.

Antara juadah lain adalah sate, char kuey teow, murtabak, bergedel dan aneka sayur-sayuran yang dilengkapkan dengan berjenis ulam serta sambal belacan.

Selain aneka kuih tradisional sebagai pencuci mulut, Restoran Rebung Chef Ismail turut menawarkan tiga jenis minuman istimewa yang sentiasa mendapat sambutan pelanggan iaitu cendol, longan dan barli lime.

Bagi orang ramai yang berminat, boleh mengunjungi Restoran Rebung Chef Ismail di alamat No. 4-2 Lorong Maarof, Bangsar Park, 59000 Kuala Lumpur (berhampiran Dataran Maybank Bangsar).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: