Saturday, August 28, 2010

Pesta golf antarabangsa Oktober


ROBIN Low (tiga dari kanan) bersama tenaga penggerak MGA (dari kiri) V. Ravindran, Datuk Zulkifli Ismail, Datuk Mohd Yaacob Mohd. Kassim, Bryan Perera dan Sara Ismail pada pelancaran MIGF 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.


OKTOBER ini boleh dianggap sebagai bulan golf di negara ini. Yang pasti dua kejohanan yang bakal membawa nama-nama besar dalam sukan golf dunia bakal berlangsung di negara ini dalam tempoh itu.

Terbuka Iskandar Johor (IJO) yang akan berlangsung di Kelab Golf Horizon Hill bakal menampilkan KJ Coi dan Ratief Goosen.

Sementara Sime Darby LPGA Malaysia pula sudah semestinya akan menampil jaguh-jaguh golf wanita dunia termasuk Ai Miyazato, Kristie Kerr, Michelle Wie, Paula Creamer dan ramai lagi.

Pada Oktober ini juga bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan berlangsung Pesta Golf Antarabangsa Malaysia 2010 (MIGF).

Pesta yang berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober itu bakal menawarkan pelbagai barangan dan peralatan golf dianjurkan oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA). Ini merupakan pameran golf terbesar pernah diadakan di negara ini.

Tumpuannya bukan sekadar mempamerkan pelbagai peralatan golf daripada jenama terkemuka dunia tetapi lebih menarik akan diadakan persidangan melibatkan mereka yang berpengalaman dalam dunia golf. Ia bagi membincangkan isu memajukan sukan golf dan menjadikan ia sebuah industri di Malaysia.

Tumpuan utama adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat sehenti untuk sukan golf di rantau Asia khususnya.

"MGA tidak hanya berperanan sebagai sebuah badan yang menguruskan sukan golf tetapi apa yang lebih penting mengenai tanggungjawab sosial untuk memajukan industri pelancongan golf termasuk memajukan perniagaan golf untuk ahli-ahli bersekutu kami.

"Kami bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi golf utama di rantau ini," ujar Presiden MGA, Datuk Robin Loh.

Pesta itu akan memberi peluang kepada peminat dan pemain golf tempatan terutamanya untuk melihat dari dekat mengenai proshop, lapangan golf persendirian dan awam, kumpulan pengurusan, pemilik kelab golf, penganjur kejohanan, kedai bebas cukai, peruncit alatan golf, resorts, peluang latihan golf dan sebagainya.

Persidangan yang diadakan pula bertemakan Mencipta Gelombang Kejayaan memberi peluang kepada peserta menimba pengalaman daripada penceramah yang berpengalaman dalam industri golf bagi membimbing mereka mencapai kejayaan menguruskan kelab-kelab golf.

Di samping itu, forum akan turut diadakan bagi membincangkan mengenai beberapa isu semasa di samping menjadi landasan utama untuk menjalinkan hubungan kerjasama dalam industri golf yang semakin mencabar.

Satu acara samping Golf untuk Keamanan juga akan dilancarkan dalam mempromosikan keamanan sejagat melalui golf. Ia akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Serentak dengan itu kutipan tabung turut dilancarkan untuk membantu penduduk yang berada dalam zon konflik.

Sepohon pokok keamanan akan ditempatkan di ruang pameran MIGF di mana pengunjung boleh membeli tag keamanan dengan harga RM10, RM50 atau RM150. Mereka menebusnya dengan beberapa hadiah menarik, insentif dan tiket untuk menghadiri klinik golf.

Yang berminat menghadiri persidangan, membuka gerai dan mencari maklumat, boleh hubungi Sara Ismail dari MGA di talian 03-9283 7300 atau e-mel sara@mgaonline.com.my atau hubungi pengurus acara Qube Integrated Sdn Bhd di talian 03-62779973/9673 atau melayari laman web www.mgaonline.com.my atau www.migf2010.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: