![]() |
| PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut meninjau keadaan Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 2, Putrajaya baru-baru ini. |
HARI ini genap 18 hari kita berpuasa dan ada yang sudah berkira-kira mencongak perbelanjaan menjelang Hari Raya yang bakal kunjung tiba.
Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh semua kerana selain berpuasa dan meningkatkan amal ibadat semua yang ada di negara ini mengimpikan untuk menjadi ahli perniagaan.
Yang Bidai maksudkan ialah menjadi peniaga di bazar-bazar Ramadan yang diwujudkan tidak kira oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), AJK taman perumahan atau individu.
Menariknya, belum pun tiba bulan Ramadan, kecoh mengenai bazar Ramadan sudah dirasai. Ini termasuklah berita bagaimana mereka yang sudah mendapat gerai untuk berniaga di sesetengah bazar berjaya menyewakan atau menjual terus bazar berkenaan dengan harga yang berlipat kali ganda sehingga ada yang mencapai keuntungan melebihi 500 peratus.
Itu yang berjaya membuat keuntungan. Ada juga yang langsung tidak dapat berniaga dek kerana fahaman politik.
Namun bagi Bidai, pemilihan sepatutnya dilakukan dengan lebih telus tak kiralah dari parti mana dia datang.
Apa pun, bukan itu yang Bidai mahu utarakan di sini.
Apa yang merisaukan Bidai mengenai Bazar Ramadan ialah mengenai cara penyediaan makanan yang dilakukan oleh peniaga.
Ingin Bidai nyatakan di sini, bukan semua tapi segelintir sahaja kerana ada laporan yang mengatakan sejak 18 hari kita berpuasa, sudah ada 13 kes yang membabitkan keracunan makanan yang dibeli di Bazar Ramadan sejak 10 Ogos lalu.
Untuk membuat keuntungan tak mengapa namun menjaga kualiti dan kebersihan makanan perlu menjadi amalan utama.
Walaupun PBT telah memberikan syarat yang ketat dalam penyediaan makanan namun Bidai dapat rasakan mereka tak cukup kakitangan untuk memantau semua bazar yang ada.
Jadi terpulanglah kepada peniaga sendiri untuk menentukan kenikmatan, kebersihan dan kualiti makanan itu terjaga.
Agak menghairankan ialah, dalam mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda ekoran bulan Ramadan ini, ada segelintir yang tidak menjaga kebersihan makanan serta kualiti makanan mereka.
Jika tidak, tak akan timbul kes seperti yang dinyatakan.
Malah Bidai juga pernah beberapa kali membeli kuih yang agak 'berbau' dan tidak boleh dimakan.
Bukan Bidai tak mahu periksa, tapi bayangkanlah ketika membeli berebut-rebut dengan ramai orang jadi main tunjuk-tunjuk je lah.
Balik rumah barulah perasan makanan yang dibeli sudah tidak boleh dimakan.
Itu yang dapat tahu, ada juga yang dah masuk mulut Bidai baru tahu makanan tu dah tak boleh dimakan.
Bagi peniaga, ingin Bidai nasihatkan bahawa setiap makanan yang dimakan pembeli dan kata-kata yang bakal diungkapkan akan menjadi doa kepada tukang masak itu.
Jadi jika memasak, masaklah dengan ikhlas dan amalkan kebersihan dalam setiap masakan kita.
Bagi isu bendera pula, umum mengetahui, tiga hari lagi kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53 Selasa ini.
Dan kini kita lihat kebanyakan rakyat negara ini sedang ligat memasang bendera pada kenderaan dan kediaman masing-masing.
Namun dalam keghairahan itu kita lihat ada juga mereka yang tidak bertanggung jawab membiarkan bendera yang ada di kereta mereka terbang dan jatuh ke atas jalan raya.
Bermula dari itu, bendera itu akan dilanggar dan menjadi sampah.
Bayangkan Jalur Gemilang yang sebelum ini merupakan kedaulatan negara kita dibiarkan bersepah-sepah di atas jalan raya seolah-olah kita tidak menghormatinya.
Jika rakyat negara jiran memijak bendera kita, meluap-luap kita marah. Namun bendera yang dibiarkan melantun dari kereta ataupun kediaman yang membiarkan bendera usang mereka terus berkibar tidak diambil tahu.
Jadi sempena hari baik bulan baik ini, perbanyakkan amal ibadat dan sambutlah hari kemerdekaan dengan menjaga kedaulatan Jalur Gemilang yang kita sanjung tidak kira apa saiznya.
Fikirkanlah...

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: