Saturday, August 28, 2010

Renault Laguna Coupe seksi




PERTAMA kali terpandang Renault Laguna Coupe, bagaikan pertama kali terpandang sang jelitawan. Pantas jatuh hati dan terasa ingin memilikinya! Bukan mengada-gada atau bombastik tetapi lihatlah sendiri gambar di sini, apakah anda tidak menemui `cinta' pada kenderaan buatan Perancis ini?

Dilancarkan pada Pameran Motor Paris pada 2008, Renault Laguna Coupe diimport oleh pemegang francais Renault di Malaysia, TC Euro Cars yang turut memasang Renault Kangoo di negara ini.

Laguna Coupe ini adalah pasti dan nyata model paling menawan dan seksi dalam barisan model Renault yang pernah dibawa ke Malaysia. Seandainya diamati, reka bentuk depan Laguna kelihatan mirip Aston Martin jika dipandang sepintas lalu. Namun apabila menyorot ke belakang, ternyata Laguna menampilkan reka bentuknya sendiri yang `menggegarkan sukma'.

Menurut Renault, Laguna Coupe adalah hasil daripada fokus juruteranya yang mahu mencapai keseimbangan antara kemodenan dan rekaan yang merentasi jangka waktu, bermakna reka bentuknya masih diterima sehingga bila-bila. Ia tergambar pada garisan badan yang memberi bayangan silhouette.

Ini kerana Renaul memberi perhatian khusus dalam mencipta `definisi' ukuran yang menepati saiz dan keseimbangan keseluruhan kereta ini.

Di bahagian belakang, untuk menghasilkan bentuk estetika, bahagian bujur htach diperbuat daripada SMC (bahan acuan kepingan atau SMC), iaitu bahan komposit yang fleksibel dan mudah untuk dibuat acuan.

Di bahagian dalam, kerusi disalut dengan kulit yang terasa mewah dan meskipun ia bersifat dua pintu, ruang di bahagian pemandu adalah luas serta selesa. Ini didorong juga oleh kemudi roda yang mantap, menjadikan pengendalian mudah dan sedap. Papan pemukanya direka kemas dan menarik.

Oleh kerana sifatnya sebagai sebuah kenderaan coupe, anda mungkin menjangkakan kerusi di belakang hanya sebagai hiasan atau sesuai untuk mengangkut kanak-kanak sahaj. Namun, hasil pandu-uji mendapati, lelaki dewasa setinggi 185 sentimeter pun boleh duduk selesa.

Semasa berbincang dengan teman-teman dalam laman facebook, penulis ditanya mengapa menggelar Laguna ini sebagai `wanita' atau `she'. Pernyataan `she' sebenarnya, dicetuskan tanpa niat mala fide. Ini kerana lazimnya, sesebuah kereta yang cukup seksi, dibekalkan dengan kuasa yang sewajarnya. Laguna Coupe bagaimanapun, terasa tidak mencukupi.

Mungkin bagi sesetengah pemandu, sebuah kenderaan yang menjana 170 kuasa kuda pada 5000 revolusi per minit sudah memadai. Ia bersamaan dengan kebanyakan kenderaan di atas jalan seperti Mitsubishi Lancer atau Honda Accord atau Toyota Camry sekali pun. Namun, oleh kerana sifatnya sebagai coupe jugalah, 170 kuasa kuda dirasa tidak cukup. Kenderaan sebegini harus ada minimum 200 kuasa kuda!

Ia menggunakan enjin 2 liter 4 silinder, 16 injap, twin-scroll turbocaj yang meraih kuasa kilas pada 270 Newton meter pada rpm serendah 3250 rpm. Enjin ini memiliki berat sebanyak 1480 kg dan dengan itu, membolehkannya mencatat daya pecutan 9.2 saat dengan tahap kelajuan tertinggi 220 km/j.

Menurut TC Euro, pihaknya turut bersedia mengimport varian enjin Laguna Coupe yang berkuasa besar iaitu 3.2 liter, mengikut permintaan khusus daripada pembeli. Varian ini, tidak ada isu mengenai kuasa prestasinya.

Sebagai sebuah kereta yang memperagakan status diri, satu elemen yang penting ialah sistem bunyiannya. Laguna Coupe tidak menghampakan. Ia menggunakan jenama Bose. Kedua-dua Renault dan Bose bekerjasama untuk membangunkan sistem bunyian khusus yang menepati keperluan akustik kereta ini. Dengan 10 pembesar suara Bose, pasanglah lagu Metallica, sepanjang perjalanan anda terasa seperti berada dalam konsert sebenar!

Laguna Coupe yang diimport sepenuhnya sebagai CBU, dijual pada harga RM259,868.89 atas jalan tanpa insurans. TC Euro turut menyediakan waranti selama tiga tahun atau 100,000 merangkumi bantuan semasa kecemasan 24 jam tujuh hari seminggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: