![]() |
| JIMMY Shanley dan Nursuhaila Eliani berdebar menantikan tarikh 1 Oktober untuk bergelar suami isteri. |
TARIKH 1 Oktober ini pasti menjadi momen yang penuh debaran buat pengacara yang bernama Jimmy Shanley ini. Dia akan menempuh satu fasa paling indah yang sentiasa ditunggu-tunggu dalam hidup setiap insan bergelar lelaki.
Tarikh keramat itu bakal menyaksikan jejaka
berusia 30 tahun itu dan buah hati tersayang disatukan selepas menyulam cinta sejak awal tahun ini.
Siapa yang tidak gembira apabila membayangkan saat lafaz nikah selesai terucap nanti. Tentunya tiada kata-kata yang dapat menjelaskan perasaan itu. Mengenangkan tempoh membina mahligai indah itu berlangsung tidak sampai dua bulan lagi, pelbagai persiapan telah mula dilakukan pengacara Akademi Fantasia 8 (AF8) ini.
Jejaka kelahiran Ipoh, Perak itu mahu memberikan komitmen yang terbaik menjelang hari bersejarah itu biarpun mengakui stress sentiasa menghambat dirinya. Jimmy Shanley mengikat tali pertunangan dengan Nursuhaila Eliani Suhaimy, 24, pada 11 Jun lalu selepas mula serius menjalinkan hubungan cinta sejak Januari lalu.
Wanita yang dikenali sebagai peminatnya sejak empat tahun lalu itu merupakan anak kepada pengasas produk kecantikan Natasya, Datin Muniroh Kassim. Bersembang dengan Jimmy tentang persiapan yang sedang dilakukannya, jejaka berdarah kacukan Melayu - Australia itu tidak berselindung mengenai atur cara majlis akad nikah dan resepsi perkahwinannya.
Bekas pengacara Trek Selebriti itu barangkali tidak dapat menyembunyikan berita bahagia itu. Atau pun mungkin juga dia mahu menghilang resah yang memburunya setiap kali memikirkan hari penting dalam hidupnya itu semakin hampir. Terpacul laju mulutnya bak bertih jagung bercerita satu per satu khabar indah itu apatah lagi di sisinya berteman tunang tersayang dan bakal ibu mentua.
Katanya seperti yang telah dirancangkan, majlis akad nikah akan diadakan pada 1 Oktober ini di banglo mewah milik keluarga bakal mentua di Sunway Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor selepas solat Asar.
Sambungnya lagi, pada hari sama akan diadakan majlis malam berinai manakala resepsi perkahwinan sebelah pengantin perempuan akan berlangsung sehari kemudian di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Seterusnya, satu lagi resepsi perkahwinan untuk pihak wanita akan diadakan pada 9 Oktober di Hotel Park Avenue, Sungai Petani di Kedah. Melengkapkan resepsi perkahwinannya itu kata Jimmy, majlis di sebelah pihak lelaki akan berlangsung seminggu kemudian di Ipoh, Perak.
Sementara itu, perunding perkahwinan bagi semua acara tersebut adalah Weddings By Baha, manakala busana dan solekan hasil sentuhan Rizman Ruzaini dan Amy Janz.
Majlis perkahwinan serba mewah
Bagaikan perkahwinan mewah. Itulah yang dapat dibayangkan mengenai majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan teruna dan dara ini. Satu majlis nikah, majlis malam berinai dan tiga resepsi perkahwinan sudah menggambarkan acara yang bakal berlangsung dalam suasana serba mewah dan gilang-gemilang.
Difahamkan jumlah kos semua acara itu melebihi RM500,000 dan paling mahal melibatkan resepsi persandingan di (KLCC). Ini kerana berdasarkan congakan kasar, harga katering di pusat konvensyen eksklusif itu bagi seorang tetamu adalah RM170.
Dan pada majlis itu, seramai 1,000 tetamu dijangka hadir dan menjadi jumlah kos katering sahaja berjumlah RM170,000. Itu belum mengambil kira lagi kos pelamin, baju pengantin, barang hantaran, perhiasan di dalam KLCC dan peralatan lain yang perlu disewa.
Malah khabarnya, kos pelamin di KLCC turut melibatkan belanja besar kerana dekorasi khasnya dicipta yang berkonsepkan air terjun. Bagaimana pula dengan kos majlis pernikahan dan dua lagi majlis perkahwinan yang akan berlangsung di Sungai Petani, Kedah dan Ipoh, Perak? Mungkin anda boleh menilainya sendiri.
Apabila ditanya tentang kos majlis nikah dan resepsi perkahwinannya dan Nursuhaila Eliani yang melebihi setengah juta itu, Jimmy Shanley hanya tersenyum.
Namun dia cepat-cepat menafikan dakwaan semua kos acara itu ditanggung sepenuhnya oleh keluarga bakal mentua.
“Majlis perkahwinan sebelah lelaki memang saya yang keluarkan kos kerana ia lebih kepada jemputan keluarga saya sendiri. Dan majlis perkahwinan sebelah wanita diuruskan oleh keluarga pengantin perempuan sendiri.
“Jika keluarga sebelah perempuan berkemampuan untuk menganjurkan majlis sebegitu besar, bagi saya tidak salah rasanya,” katanya berterus-terang.
Cuba menyelami pula perasaan Nursuhaila Eliani ketika ini, wanita mesra dipanggil Teh itu memang pemalu orangnya.
Seperti bakal pengantin lain, dia mengakui tidak dapat lari perasaan berdebar-debar untuk bergelar isteri.
Bersedia menempuh alam perkahwinan pada usia muda, Teh menjelaskan sedia memahami kerjaya bakal suaminya yang tidak menentu masa.
“Tapi yang istimewanya tentang Jimmy ialah dia seorang yang kelakar,” kata Nursuhaila Eliani mengenai buah hatinya itu. Sebagai wanita yang sibuk menguruskan perniagaan keluarganya, dia sedar tentang tanggungjawab besar terhadap bakal suami selepas berumahtangga.
Perkahwinan setaraf Siti
Resepsi perkahwinan Jimmy Shanley dan pasangannya di KLCC bakal mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi artis kedua bersanding di sana.
Artis pertama yang bersanding di pusat konvensyen mewah itu adalah penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang berkonsepkan ‘persandingan dalam taman’ pada 29 Ogos 2006.
Apabila diajukan soalan resepsi perkahwinannya setaraf Siti Nurhaliza, Jimmy atau nama penuhnya, Jimmy Shanley Norjahan Saleh terkejut dan terdiam.
“Eh, ia ke? Saya tidak pernah terfikir pun sebelum ini ia dengan Datuk Siti. Sebenarnya kalau ikutkan hati, apa yang penting adalah majlis akad nikah yang sederhana, ringkas dan santai,” katanya sedikit serius.
Sempat mengorek rahsia persembahan artis pada resepsi perkahwinan di KLCC itu, Jimmy mula mengerut dahi.
“Saya mengimpikan persembahan penyanyi lelaki popular, Anuar Zain untuk menyanyi pada malam itu tetapi saya faham kalau dia tidak ada kelapangan masa.
“Selain itu, saya juga ingin mendengar suara Once (vokalis Dewa) menyanyikan lagu Dealova sewaktu kami di pelamin. Dan, saya juga nak tengok isteri saya menyanyikan sebuah lagu pada hari bersejarah kami nanti,” katanya.
Cinta sentiasa diuji
Berbicara tentang cinta, Jimmy mengakui bukan mudah untuk menempuh alam pertunangan kerana dia dan Nursuhaila kini perlu belajar memahami antara satu sama lain.
Kata pemegang Ijazah Chartered Institute Of Transport dari United Kingdom itu, tempoh pertunangan yang baru melebihi dua bulan itu sering diuji.
“Nasihat saya kepada pasangan yang ingin bertunang, janganlah lama-lama. Memang banyak cabaran dan dua tiga hari selepas bertunang pun dugaan sudah datang.
“Contohnya ada orang luar yang cuba mengganggu hubungan kami. Namun syukurlah, sebagai lelaki yang sudah matang, saya dapat mengatasi dugaan itu dengan membataskan perhubungan dengan rakan-rakan wanita lain,” katanya tersenyum. Bekas ahli kumpulan Trez itu mengakui dia turut bersyukur dipertemukan dengan keluarga bakal mentua yang dapat menerima seadanya dan menyayanginya seperti anak sendiri.
Kata Jimmy mengakhiri perbualan, walaupun sudah berumahtangga kelak, kariernya akan berjalan seperti biasa malah program TV terbarunya, Itu Dia akan ditayangkan di Astro Ria bermula 25 Ogos ini.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: