![]() |
| Bersama keluarga dan sebahagian kumpulan umrah yang dibawa oleh gemilang Travel & tours. |
KATA Linda Onn, kesempatan buat kali keempat menjejakkan kaki ke bumi Mekah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah pada Jun lalu, sukar sekali diluputkan dari ingatannya.
Ditemani ibu, Saadiah Khamis, 68, ayah, Onn Chik, 77, serta empat ahli keluarganya yang lain, penyampai radio Suria FM ini mengaku, pengalamannya kali ini berbeza berbanding ziarah yang dilakukan pada tahun-tahun terdahulu.
Ketika ditanya mengenainya, yang terpacul daripada mulut hanyalah ucapan syukur ke hadrat Ilahi.
Sambil menghela nafas, Linda mengandaikan setiap manusia yang bergelar umat Islam pasti tidak akan menolak jika peluang untuk menjejak bumi Siratul Anbiya itu sudah berada di depan mata.
Umpama satu kerugian baginya jika tidak menerima ‘jemputan’ itu yang sering menjadi idaman setiap umat Islam.
Cerita Linda, Mekah tidak sama seperti gemerlapan kota Paris, tidak sama seperti kehebatan bandar Tokyo atau mungkin juga tidak sama dengan kota metropolitan di New York, Amerika Syarikat.
Kata wanita ini, bumi arab itu lebih istimewa dan punya satu tempat khas di hatinya yang tidak mungkin boleh dirobek oleh mana-mana orang.
“Mungkin ada yang kata usia saya masih lagi muda untuk semua itu, pergilah enjoy dulu ke negara-negara lain. Biarlah apa pun orang hendak kata, tetapi Mekah tetap menjadi pilihan hati saya.
“Kalau ditanya mengapa, saya punya jawapan sendiri, kerana saya sentiasa meletakkan dalam hati bahawa di sinilah terletaknya Kaabah yang menjadi kiblat semua umat Islam di seluruh dunia. Bukankah itu terlalu istimewa?,” katanya.
Jelas Linda, meskipun ia bukanlah kali pertama matanya dapat menatap keindahan dan keagungan Kaabah, namun entah mengapa hatinya cepat benar tersentuh.
“Tidak dapat digambarkan perasaan ketika itu, semuanya bercampur baur, baik rasa sedih, hiba, gembira, pendek kata segalanya datang secara tiba-tiba. Sebak yang dirasakan juga berbeza. Sukar untuk diterjemah.
“Terus terlintas di fikiran betapa bertuahnya saya kerana berpeluang menjejakkan kaki lagi ke sini berbanding orang lain yang mungkin menanam hasrat tetapi tidak kesampaian untuk datang ke sini.
“Pernah juga terfikir, mengapa Allah S.W.T memilih aku lagi untuk ke sini? Tetapi biarlah ia terus menjadi persoalan kerana hanya Dia sahaja yang tahu,” katanya.
Pengisian aktiviti selama 12 hari di Mekah termasuk menziarahi kota Madinah juga agak padat. Selain seronok berlumba-lumba mengumpul pahala dengan beribadat bersama keluarga, dia juga berkesempatan melawat beberapa tempat menarik di Mekah.
Antara yang dilawati, ladang unta dan kurma, muzium Mekah serta menjejaki tempat-tempat bersejarah yang pernah dilalui oleh Nabi junjungan, Rasulullah SAW.
“Paling menyentuh hati, semasa menziarahi makam Rasulullah S.A.W di Masjid Nabawi, entah mengapa sejurus selepas melangkah masuk ke dalam masjid, suasana hening dan sayu mula meresap dalam hati.
“Malah, Linda juga hairan, meskipun padat masjid itu dipenuhi dengan orang ramai, setiap daripadanya masih mempunyai ruang antara satu sama lain, Linda juga merasakan begitu. Ajaib sungguh nikmat pengalaman yang Allah S.W.T berikan,” ujarnya.
Hajat tercapai
Jangan tidak tahu, Linda selama ini sudah lama memendam hasrat untuk merasai pengalaman tinggal di rumah orang Arab yang terkenal dengan keunikan struktur binaannya.
Sambil tergelak, Linda memberitahu, hajatnya untuk tinggal di dalam rumah ‘empat segi’ itu termakbul jua apabila salah seorang daripada kenalan ejen Gemilang Travel & Tours mempelawa Linda sekeluarga untuk tinggal semalaman di rumah mereka.
Jelas Linda, kenalan barunya yang bernama Mus itu telah lama menetap di Mekah. Ibu Mus mempunyai darah campuran Kelantan-Patani manakala bapanya merupakan penduduk tempatan. Bagaimanapun, keluarga tersebut tidak begitu fasih berbahasa Melayu kecuali Mus.
“Bayangkan bagaimana kami berkomunikasi, mereka faham bahasa Melayu tetapi tak boleh bertutur dalam bahasa yang sama, sudahnya kami macam ayam dan itiklah!,” katanya ketawa.
Cerita Linda lagi, sikap menghormati tetamu di kalangan orang Arab juga sangat tinggi. Ini dipelajari sendiri oleh Linda yang melihat bagaimana mereka menjaga keselesaan tetamu mereka yang berkunjung ke rumah.
“Bab makan tak usah cakaplah, bermacam-macam makanan mereka hidangkan untuk kita, dari Nasi Kambing, pelbagai jenis roti dan manisan. Ada sahaja yang dihidangkan kepada tetamu.
“Linda juga baru tahu, rupa-rupanya orang Arab tidak tidur di waktu malam tetapi selepas waktu Subuh sehingga Zuhur. Sebab itulah semasa kami sampai di rumah mereka pada pukul 11 malam, mereka mewah menjamu kami dan kelihatan segar bugar.
“Kita orang Malaysia sudah tentulah tidur pada waktu malam, naik berpinar jugalah mata ini menahan mengantuk sebab tak biasa, tetapi tidak mengapa, pengalaman itu berbaloi,” katanya berseloroh.
Berpurdah sebab sombong?
Sepanjang berada di Tanah Suci, Linda memberitahu dia telah mengenakan purdah bagi menutupi wajahnya, namun tidak dipakai sepanjang waktu.
Linda akui, dia sengaja memakai purdah untuk melindungi wajahnya daripada mereka yang mengenali, tetapi menolak andaian yang mengatakan tindakan itu dibuat kerana dirinya sombong.
“Bukan sombong, saya hanya mengenakan purdah ketika mahu bergegas ke masjid untuk menunaikan solat. Kalau terserempak dengan mereka atau peminat dari Malaysia yang mengenali saya sudah tentulah saya mesti melayan mereka kerana tak mahu mereka hampa.
“Tak dinafikan, kalau berpurdah orang susah nak kenal, dan saya tidak perlu senyum atau memberikan sebarang reaksi pada orang. Bayangkan kalau saya tak pakai dan kemudian saya tidak senyum pada orang, apa pula kata mereka, kita tidak tahu apa yang bersarang dalam fikiran mereka bukan?
“Pun begitu, kalau bukan berada di masjid, purdah tidak akan saya kenakan. Pada masa itu, kalau ada peminat yang ingin bergambar dan sebagainya saya akan layan seperti biasa,” katanya.
Dalam pada itu, kata Linda, kebanyakan kawasan di Mekah juga sedang menjalani proses pembaikan di beberapa buah bangunannya ketika itu.
Justeru, pemakaian purdah membantunya daripada menghirup udara berhabuk sementelah dia mudah diserang penyakit semput.
Sebelum menamatkan perkongsian cerita, Linda sempat memberitahu penulis bahawa impiannya selepas ini adalah untuk menunaikan Haji.
Dalam tutur penuh jujur, sekiranya tiada halangan, rukun Islam kelima itu akan ditunaikannya dalam masa terdekat.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: