Thursday, August 26, 2010

Orang Asli berpuasa serba sederhana


Kamaruddin Binu dan isterinya, Fatimah Abdullah serta anak mereka, Zakaria Kamaruddin tidak kisah berbuka puasa hanya dengan nasi putih berlaukkan jantung pisang rebus, sayur tumis rebung dan air kosong.


RAMADAN bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi banyak pengajaran yang boleh dituntut dan diperolehi sepanjang bulan yang mulia ini.

Bagi masyarakat Orang Asli di Kampung Ulu Baru, Batu Caves, kedatangan Ramadan tidak banyak bezanya dengan kehidupan harian mereka sebelum ini.

Jika di bandar-bandar, persiapan untuk berbuka puasa cukup meriah, namun kepada penduduk Kampung Ulu Baru, semuanya serba sederhana.

Kepada pasangan Kamaruddin Binu dan isterinya, Fatimah Abdullah serta anak mereka, Zakaria Kamaruddin misalnya, yang paling utama Ramadan dapat mendidik ahli keluarga mereka mengenai penghayatan puasa agar mendapat keberkatan dunia dan akhirat.

Menurut Fatimah, amalan berpuasa yang dilakukannya walaupun meletihkan tetapi cukup menyeronokkan dan semakin menjadi satu kebiasaan.

Katanya, dia akan bersahur dan berbuka seperti orang lain. Malah dia makin gembira apabila dapat mengerjakan ibadah puasa yang hadir setahun sekali itu.

''Sebelum memeluk agama Islam, saya telah didedahkan dengan ajaran-ajarannya terlebih dahulu. Apabila sudah memeluk agama Islam, saya cuma mempraktikkan apa yang diajar sebelum ini.

''Mungkin pada awal-awal dahulu saya rasa letih juga tetapi bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'. Malah saya gembira kerana mempunyai seorang suami yang mendidik dan membimbing saya.

''Setelah 12 tahun menganut agama Islam, tiada apa yang membebankan malah saya bersyukur diberi hidayah oleh Allah SWT untuk memilih agama Islam,'' ulasnya yang memeluk Islam pada tahun 1998.

Ujar Fatimah lagi, dia tidak ketinggalan mengerjakan solat Terawih bersama-sama masyarakat Orang Asli lain yang beragama Islam di surau yang disediakan di perkampungan tersebut.

Jelasnya lagi, walaupun tidak semua penghuni di perkampungan Orang Asli itu beragama Islam, tetapi mereka tidak pernah membeza-bezakan antara satu sama lain.

Malah jika ada sebarang majlis keraian seperti majlis berbuka, mereka akan berbuka beramai-ramai.

Katanya, kehidupan di perkampungan tersebut boleh diibaratkan seperti hidup dalam satu keluarga besar. Apa juga aktiviti yang diadakan, semua penduduk kampung akan terlibat tanpa mengira agama.

Apa yang dapat dilihat, walaupun berpendapatan rendah dan hidup susah, masyarakat Orang Asli Islam, Ulu Batu tetap tabah menghadapi Ramadan setiap tahun dengan penuh rasa keimanan dan ketakwaan.

Sementara itu, menurut Tok Batin Ulu Batu, Mat Deli Moh, 45, terdapat 23 keluarga di kampung itu dengan tujuh daripadanya bukan beragama Islam.

''Pada asalnya iaitu pada 1992 hanya dua keluarga yang beragama Islam di sini. Tetapi menjelang 1999, semakin ramai Orang Asli yang memeluk agama Islam.

''Sebelum ini, mereka tidak mempunyai agama. Walaupun kami tinggal bersama-sama, mereka yang beragama Islam a tidak pernah meminggirkan keluarga yang bukan beragama Islam. Apa jua yang dilakukan pasti dilakukan bersama-sama.

''Bukan itu sahaja,sekiranya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli datang memberikan kelas-kelas agama, Orang Asli yang tidak beragama Islam akan turut serta,'' katanya.

Menurutnya lagi, masyarakat Orang Asli di kampung Ulu Baru sebenarnya sudah lama mengenali Islam malah mereka sudah tahu dan biasa dengan Islam kerana orang Melayu adalah sebahagian daripada komuniti mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: