Thursday, August 26, 2010

Ikut kemampuan jangan ikut orang




Berbelanjalah mengikut kemampuan dan keperluan anda, bukannya kemahuan kerana pastinya kemahuan 'membinasakan."

Itu ungkapan pertama Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha'ani Abdullah, ketika diminta mengulas corak perbelanjaan umat Islam di negara ini ketika menyambut Aidilfitri.

Sejak dahulu, corak perbelanjaan umat Islam sempena Syawal dilihat gemar mengikut persiapan atau apa yang diperkatakan orang.

Golongan seperti itu yang kebanyakannya suri rumah suka membandingkan persiapan yang dibuat mereka dengan orang lain walaupun perbelanjaannya di luar kemampuan mereka.

"Sikap membandingkan untuk menunjuk-nunjuk siapa lebih hebat ini masih menebal dalam diri kebanyakan umat Islam kita yang mana ia secara terang membazir dan tidak mengikut ajaran agama," katanya ketika dihubungi MEGA, baru-baru ini.

Muhammad Sha'ani menasihatkan masyarakat Islam di negara ini supaya belajar untuk tidak mempedulikan kata-kata sinis orang sekeliling jika mereka melakukan persiapan sederhana mengikut kemampuan.

Jelasnya, apa guna jika menyediakan kelengkapan baru yang mewah tetapi terpaksa bergolok-bergadai.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma'amor Osman memberitahu, mengikut pemantauan yang dijalankan pada tahun sebelumnya, pembaziran sepanjang Ramadan dan sempena Syawal masih berleluasa.

Beliau berkata, PPIM melihat tiga faktor mengapa ia mengatakan pembaziran berlaku iaitu sikap boros berbelanja persiapan Ramadan dan Syawal, kunjungan harian orang ke Bazar Ramadan serta berbuka puasa di hotel.

"Sikap membazir ini menjadi bertambah berleluasa apabila ditambah dengan promosi iklan penjualan makanan atau barangan yang mempengaruhi umat Islam.

"Kebanyakan pemegang kad kredit berisiko membazir kerana mampu berbelanja mengikut kemahuan dan akhirnya terpaksa berhutang.

"Maka, PPIM menjangkakan gaya perbelanjaan umat Islam pada tahun ini dalam menyediakan kelengkapan Ramadan dan Syawal akan tetap sama seperti tahun lalu," katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan umat Islam supaya mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perbelanjaan yang disarankan sempena Ramadan dan Syawal supaya mampu berbelanja dengan berhemah dan lebihan wang boleh diagihkan kepada golongan susah.

Ma'amor berkata, tiada guna seseorang umat Islam berpuasa selama sebulan jika gagal mendapat habuan akibat sikap boros.

Justeru, tambahnya, seseorang umat Islam itu perlu memperbanyakkan muhasabah diri dan mengutamakan kebersihan jiwa serta kediaman seperti yang dituntut agama berbanding sambutan Syawal secara besar-besaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: