![]() |
| Zafida Ismail sibuk menyediakan dan menyusun balang biskut raya yang ditempah pelanggan. |
MUSIM perayaan sememangnya membawa rezeki kepada sesiapa sahaja terutamanya bagi peniaga-peniaga.
Tidak kira apa jua yang diniagakan, pastinya ia memberi keuntungan yang berlipat kali ganda daripada hari-hari lain.
Para peniaga juga boleh diibaratkan 'jutawan' setahun sekali terutama bagi mereka yang menjual kuih raya, hamper raya, baju raya dan pelbagai lagi barangan untuk menyambut musim perayaan.
Tidak ketinggalan Zafida Ismail yang mengusahakan biskut serta hamper raya.
Menurut Zafida, beliau yang mengusahakan perusahaannya di bawah Crunchy Biscuits N Hampers Team Resources telah lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Tambahnya, segala produk keluaran syarikatnya baik biskut mahupun hamper dihasilkan sendiri bersama pekerja-pekerjanya.
''Biskut serta kuih raya yang dibuat di sini semuanya mengikut resipi sendiri.
''Bila tiba musim perayaan, permintaan untuk biskut serta hamper akan meningkat manakala untuk hari-hari biasa saya masih menyediakannya dan menjualnya kepada pemborong.
''Untuk hamper pula saya akan buat sekiranya ada tempahan,'' ujarnya ketika ditemui di kedainya di Desa Pinggiran Putra, Dengkil, Selangor, baru-baru ini.
Katanya, tahun ini dia menyediakan 15 jenis biskut raya seperti chocolate hazel, almond london, almond bale, tat gulung, tat sekundang, almond flake, classic crispy, makmur, dahlia, evergreen tat dan hitam manis.
Manakala untuk hamper pula, menurut Zafida, dia menawarkan 12 reka bentuk dan boleh didapati daripada harga serendah RM49 hingga RM200.
Menurut anak kelahiran Simpang Renggam, Johor itu lagi, minat yang mendalam dalam bidang perniagaan membuatkan dirinya nekad 'melepaskan' kerjaya tetap semata-mata untuk memuaskan hati.
Dia bagaimanapun bertuah kerana selain mendapat sokongan padu daripada suami serta ahli-ahli keluarga yang lain, Zafida sememangnya seorang yang kreatif.
Ini dapat dilihat pada hasil gubahan hamper-hampernya dan juga resepi biskut raya yang diadun semula mengikut resepi serta seleranya.
''Idea untuk menggubah hamper biasanya datang secara spontan dan kadang kala saya juga merujuk majalah-majalah ataupun Internet.
''Untuk resepi kuih dan biskut raya pula saya jenis yang suka cuba sesuatu yang baru dan untuk resepi sedia ada saya cuba oleh dan jadikan resepi baru agar ia lebih sedap,'' jelas ibu kepada empat cahaya mata ini.
Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan biskut, kuih serta hamper keluaran Crunchy Biscuits N Hamper Team Resources, anda boleh layari laman web www.crunchy.com.my atau hubungi Zafida di talian 012-6632008.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: