
MEMEGANG jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tenaga Nasional Berhad, mungkin ramai yang tidak pernah menyangka pendapatan kerjaya pertama Datuk Che Khalib Mohd. Noh di sebuah syarikat audit di ibu kota selepas pengajian di luar negara tidak sampai RM 1,000.
Ia adalah susulan daripada kemelesetan ekonomi yang pernah melanda negara pada era 80-an. Bersemangat patriotik, beliau berpendapat cabaran tersebut adalah sebahagian rencah garam kehidupan. Apa yang penting segala ilmu dan kepakaran yang dipelajari seharusnya ditaburkan untuk pembangunan negara.
Setelah setahun menabur bakti di syarikat tersebut, peluang untuk memajukan diri mula terbuka apabila menyertai Bumiputra Merchant Bankers Berhad selama empat tahun sebelum berganjak ke syarikat gergasi negara, Renong Berhad.
"Bagi saya tidak salah untuk menimba pengalaman bekerja di negara asing namun, untuk terus kekal di sana adalah satu kerugian yang besar kepada negara kita. Bukan sahaja kepakaran telah hilang malah sikap kita tersebut hanya memajukan negara asing.
"Itu perbezaannya antara rakyat negara maju. Mereka belajar di luar negara namun pulang untuk membangunkan negara masing-masing. Tidak ada perasaan malu bagi mereka walaupun bergaji rendah. Bukankah itu patut direnungkan secara mendalam oleh para pelajar kita," terangnya yang suka membaca buku kejayaan syarikat-syarikat besar.
Kata azimat ibu
Berasal dari Sungai Petani, Kedah beliau bukan berasal daripada keluarga yang kaya. Namun yang menjadi pendorong kepadanya adalah azimat yang telah diberikan oleh ibunya, Teh Jamilah Muhammad.
Berbekalkan wang persaraan ayah dan kedai runcit yang dibuka oleh ibu, ia berjaya menampung perbelanjaan seharian mereka anak-beranak.
"Ibu saya selalu berpesan tiada apa yang mampu diberikan kecuali pendidikan yang terbaik. Sekiranya mahu keluar daripada kepompong kemiskinan, kamu kena belajar bersungguh-sungguh dan jangan gentar untuk menghadapi sebarang musibah.
"Jangan jadikan kemiskinan atau kesusahan yang kamu alami sebagai halangan kerana aset yang penting adalah kudrat dan semangat juang yang tinggi," katanya yang kehilangan ayah untuk selama-lamanya ketika berumur 13 tahun.
Anak kedua daripada empat adik-beradik ini tidak pernah mengimpikan bahawa satu hari nanti bakal mengepalai jentera TNB. Memegang sikap merendah diri, beliau menyatakan kehidupan semasa kanak-kanaknya banyak dihabiskan sebagai budak kampung. Permainan seperti biji getah dan menangkap ikan laga adalah aktiviti kesukaannya semasa kecil.
Sepanjang menerajui dunia perkhidmatan utiliti yang begitu dekat di hati masyarakat, beliau tidak menyembunyikan perasaan gelisahnya terhadap sebarang gangguan operasi tersebut. Setiap detik yang berjalan, bagaikan medan pertarungan dalam menepis dan mengurangkan sebarang rungutan atau ketiadakpuasan hati pengguna.
Seandainya dulu rungutan itu lebih tertumpu kepada kekerapan kejadian gangguan bekalan elektrik setahun. Kini yang dipersoalkan mengapa gangguan tersebut berlaku dan berapa lama ia mampu dipulihkan. Itu situasi yang perlu dihadapi Che Khalib bersama anak buahnya dalam melakukan anjakan dalam sistem penyampaian perkhidmatannya.
![]() |
| CHE KHALIB (empat dari kiri) semasa merasmikan pelancaran buku poket prosedur penyuisan Ring Main Unit (RMU) dan penyerahan 512 buah kenderaan pasukan kerja di Petaling Jaya. |
Kejadian seperti bekalan elektrik terputus di seluruh negara pada 13 Januari 2005 benar-benar menguji kepimpinannya. Gangguan yang berlaku selama beberapa jam bermula dari pukul 12.16 tengah hari itu menyebabkan hampir kesemua kawasan strategik di ibu kota, Putrajaya sehingga Johor terputus bekalan elektrik.
"Saya sedar tanggungjawab yang dipikul bukan mudah malah, elektrik adalah utiliti penting dalam kehidupan manusia. Konsep berorientasikan perkhidmatan pelanggan amat dititikberatkan oleh saya. Ini bagi memastikan pengguna mengetahui bahawa TNB begitu sensitif terhadap kemahuan mereka.
"Kepuasan mereka adalah tanda aras utama kepada kejayaan organisasi ini. Meskipun sedang bercuti, saya masih memikirkan mengenai perjalanan operasi bekalan elektrik. Andai berlaku sesuatu, kacau bilau jadinya," terang Che Khalib yang kurang menggemari permainan golf.
Begitulah komitednya CEO tersebut dalam memastikan penyampaian bekalan elektrik yang stabil dan selamat agar terus menyuluhi perjalanan negara. Ironinya di bawah kepimpinannya, TNB terus ulung sehingga diiktiraf sebagai salah satu daripada organisasi perniagaan utiliti tenaga bertaraf global.
Pengiktirafan yang diperoleh melalui kemenangan dalam Anugerah Kualiti Industri Perdana Menteri (AKIPM) pada tahun 2008 cukup bermakna bukan sahaja kepada dirinya malah, seluruh warga organisasi terbabit.
Graduan perakaunan
Berbicara mengenai pendidikan, beliau memulakan alam persekolahan di Bayan Lepas English School dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Penang Free School di bawah program Biasiswa Persekutuan Negeri. Berada di sekolah yang terbaik di negeri tersebut membuka minda dan pendorong motivasi kepada dirinya untuk maju ke hadapan.
"Terus terang saya katakan saya bukanlah seorang yang aktif dalam akademik dan sukan. Namun alhamdulillah saya ditempatkan di kelas hadapan. Perkara yang dititikberatkan adalah memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pembelajaran di dalam kelas.
"Saya juga banyak belajar daripada proses mengajar orang. Pertanyaan yang sering diajukan oleh rakan-rakan sekelas terhadap sesuatu subjek membuatkan saya memahami apa yang telah dipelajari," ujarnya yang cuma terlibat dalam sukan permainan hoki di sekolah tersebut.
Walau bagaimanapun, kelebihan yang terdapat pada Che Khalib adalah dalam aspek pengucapan awam. Kepetahannya berucap membuatkan dirinya sering menjadi saluran terbaik kepada warga pelajar untuk menyampaikan sesuatu perkara kepada guru.

Malah, dengan keberaniannya itu membolehkan Che Khalib memenangi pertandingan syarahan peringkat negeri seterusnya mewakili Pulau Pinang semasa berada di tingkatan empat.
Kecemerlangannya diteruskan apabila berjaya mengikuti A-Level di Tresham College di sebuah pekan kecil di Kettering, United Kingdom sebelum melanjutkan pendidikan dalam jurusan perakaunan peringkat 1 dan 2 di Kolej Pendidikan Tinggi Derbyshire. Dia melengkapkan jurusan tersebut di Kolej Perakaunan Emile Woolf.
Menariknya, berada di negara asing mendedahkan ayah kepada lima orang anak itu kepada satu nilai yang mungkin masih belum disemai dan diterapkan dalam diri kebanyakan rakyat Malaysia.
Meskipun orang Barat sinonim dengan budaya masyarakat yang bebas namun, kelebihan pada diri mereka ialah bersikap toleransi dan disiplin.
Contohnya, dalam penjagaan harta benda awam. Che Khalib melihat mereka benar-benar menghormati konsep perkongsian dengan pengguna yang lain.
"Ini semua hanya mengakibatkan kemudahan awam tersebut tidak mampu dimanfaatkan untuk kegunaan umum keseluruhannya.
"Di samping itu, masyarakat negara maju sangat suka mencari ilmu pengetahuan sekalipun bekerja sebagai pemandu teksi. Tidak seperti sesetengah daripada kita yang lebih banyak bercakap kosong dan beremosi dalam semua perkara," terangnya yang lebih banyak menghabiskan masa lapang dengan berkaraoke bersama keluarga di rumah.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: