DALAM suasana menjelang tibanya Hari Kemerdekaan hujung bulan ini, Drypers, pengeluar produk lampin pakai buang bayi meraikan hari penting negara itu dalam suasana yang unik dan murni.
Mengumpulkan 16 orang kanak-kanak yang lahir pada bulan Ogos dari Rumah Anak Kesayanganku dan Persatuan Kebajikan Ti-Ratana, Drypers mengadakan majlis Perayaan Hari Ulang Tahun Berganda.
Sambutan itu tambah meriah dengan kehadiran 34 orang rakan kanak-kanak yang diraikan dari kedua-dua rumah kebajikan. Inisiatif murni Drypers itu adalah sumbangannya terhadap sokongan pengguna yang terus meletakkan jenama itu sebagai lampin pakai buang bayi nombor satu selama 10 tahun berturut-turut di Malaysia.
Memupuk patriotisme
"Matlamat utama perayaan ini adalah untuk memberi keriangan kepada kumpulan kanak-kanak kurang bernasib baik melalui aktiviti yang menjalinkan persahabatan, memupuk rasa bersyukur serta semangat patriotik dan perpaduan.
"Kami menyedari betapa pentingnya usaha untuk menyemai nilai-nilai murni dalam minda kanak-kanak ini kerana mereka adalah harapan kita untuk menjamin masa depan yang lebih baik. Justeru itu, penganjuran perayaan ini amat bertepatan dengan semangat mencintai negara bersempena sambutan bulan Kemerdekaan," jelas Suzanne Loo, Pengurus Pemasaran, SCA Hygiene Marketing (M) Sdn. Bhd.
Bertempat di cawangan KFC Kota Damansara, Selangor suasana hening pagi tiba-tiba menjadi ceria dengan hilai ketawa kanak-kanak yang teruja menghadiri parti itu.
Dengan wajah yang ceria, mereka seronok berbaris untuk mengambil beg cenderamata yang berisi pelbagai aksesori parti. Kemudian mereka menunggu giliran masing-masing untuk dilukis corak dan warna Jalur Gemilang Malaysia pada muka.
Pada permulaan atur cara parti hari jadi itu, kanak-kanak dikejutkan dengan dua buah kek yang begitu comel. Kegirangan jelas terpancar di wajah-wajah mereka yang bertepuk sorak sambil berkumpul di ruang tengah untuk acara memotong kek.
Cetakan tapak tangan
Bagi memeriahkan lagi suasana, Drypers menyelitkan elemen suspen dan melucukan pada akhir acara, iaitu cetakan kreatif menggunakan tapak tangan di atas kain rentang Selamat Ulang Tahun Malaysia bagi memperingati tarikh pembebasan negara.
|
|
Kanak-kanak dari sekecil umur setahun juga tidak ketinggalan mencetak tapak tangan comel mereka dengan warna-warna terang bagi mempamerkan tanda hormat kepada Malaysia. Ada juga kanak-kanak lain yang mengambil kesempatan meluahkan kreativiti dengan mencampur dan mewarnakan hiasan pada kain menggunakan tapak tangan.
Setelah puas berseronok, kanak-kanak itu dijamu dengan pelbagai hidangan lazat yang menyelerakan. Pada akhir acara, wakil Drypers menyampaikan pek hadiah kepada setiap kanak-kanak dan produk lampin pakai buang untuk diagih-agihkan antara mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: