Friday, August 20, 2010

Berbuka puasa sambil belayar


PARU GORENG BERKICAP.


SEDAR tidak sedar sudah lebih seminggu Ramadan ditempuhi umat Islam. Dalam tempoh itu, sudah pasti banyak destinasi gastronomi dikunjungi untuk menikmati pelbagai jenis sajian berbuka yang menyelerakan.

Sama ada di restoran hotel-hotel terkemuka atau sekadar membeli aneka juadah di bazar Ramadan masing-masing mempunyai tarikan tersendiri.

Bagi anda yang masih mencari lokasi ideal untuk iftar, Cruise Tasik Putrajaya mungkin salah satu lokasi yang harus dikunjungi bersama keluarga mahu pun teman-teman.

Bayangkan sambil berbuka, anda juga disajikan dengan keindahan panorama Tasik Putrajaya pada rembang senja yang mampu membangkitkan suasana romantis dan tenang di hati.

Menurut Pengurus Pemasaran Cruise Tasik Putrajaya, Mohd. Shukri Hassan terdapat dua jenis bufet Ramadan yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Bufet Ramadan Tepian Tasik dan Ramadan Cruise.

“Untuk kedua-dua bufet ini, pihak kami bekerjasama dengan Koperasi Petronas Berhad (Kopetro) yang bertanggungjawab menyediakan variasi menu berbuka yang lazat dan berkhasiat.

“Bagaimanapun untuk Bufet Ramadan Cruise, pengunjung perlu membuat tempahan seminggu sebelum tarikh yang dipilih,” kata Shukri kepada Kosmo!.

Antara sajian istimewa yang disediakan seperti gulai ikan John Dory masak tempoyak, rendang ayam, sambal sotong basah, pajeri nanas, masak lemak pucuk ubi dan kangkung belacan.

Selain itu, terdapat pelbagai jenis acar dan salad, sup, sambal dan gerai yang menyediakan kuew teow goreng dan ikan bakar dengan sos percik.

Bagi hidangan pencuci mulut pula, anda boleh memilih untuk menikmati variasi kuih-muih Melayu, pastri Perancis, campuran buah-buahan segar, aiskrim, cendol dan koktel buah-buahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: