CUBA bayangkan anda bersama seorang teman diberikan duit berjumlah RM700 untuk membeli-belah. Anda boleh membeli apa sahaja yang anda inginkan dengan wang itu. Seronok, bukan?
Namun, dalam pertandingan beli-belah diberi nama Cabaran Membeli-Belah 7 Jam Stabilo, ia tidak semudah yang disangka. Akal dan nafsu beli-belah anda 'didera' kerana untuk mendakap ganjaran wang tunai RM7,000, pelbagai peraturan dikenakan untuk menambah cabaran.
Para peserta hanya dibenarkan membelanjakan wang tersebut di tingkat satu pusat beli-belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, Selangor. Selain itu, dalam had masa membeli-belah selama 70 minit, hanya satu produk boleh dibeli dari sesebuah kedai.
Turut diberitahu, pembelian produk dengan angka tujuh pada nilai harganya akan memperoleh mata tambahan bagi kumpulan bertanding. Peraturan-peraturan itu ternyata menguji mental dan fizikal para peserta.
Tidak mudah
"Sebelum bertanding ramai kawan-kawan yang berkata: 'Ah.. membeli-belah bukannya susah. Lebih banyak duit lebih seronok. Dengan RM700, mesti sekejap sahaja boleh habis.'
"Saya juga mempunyai persepsi seperti itu pada mulanya. Tetapi apabila wisel permulaan dibunyikan, baru saya sedar betapa peraturan-peraturan tetapan penganjur itu adalah helah dahsyat yang membuatkan kami di persimpangan dilema.
"Keinginan membeli barang demi kehendak diri bertembung pula dengan strategi mendapatkan barang tertentu untuk menambah mata," ujar salah seorang peserta yang bertanding dalam kategori media, Zamri Rambli.
Berbeza dengan kebanyakan peserta lain yang berpecah sambil membahagikan wang RM700, Penolong Pengarang Rencana Kosmo! itu yang berpasangan dengan Pengarang Rencana Kosmo!, Najibah Hassan, kemudian mengambil keputusan bergerak bersama sepanjang 70 minit pertandingan.
Selain untuk memberi sokongan sesama sendiri, langkah itu juga bagi memastikan item yang dibeli adalah barangan keperluan tetapi masih mempunyai angka tujuh pada harganya.
Walaupun barangan yang dibeli tidak sebanyak pasangan peserta lain, namun pasangan daripada Kosmo! itu berjaya menewaskan enam peserta media lain untuk memenangi wang tunai RM7,000.
Sementara itu, pasangan Tan Kong Ang dan Tan Cheng Leng pula membawa pulang wang tunai dalam jumlah yang sama apabila mengalahkan enam peserta lain dalam kategori terbuka.
Peserta bagi kategori terbuka dipilih melalui pencalonan Facebook Stabilo.
Berkongsi mengenai kemenangan itu, menurut Najibah, hampir kesemua produk yang beli mereka memiliki angka tujuh yang tertera pada resit.
"Bukan mudah hendak mencari barang yang mempunyai banyak angka tujuh pada harganya kerana angka sembilan lebih banyak mendominasi harga barang seperti RM19.90 atau RM99.90.
"Kami terpaksa meringankan mulut bertanya pada jurujual dan 'menggeledah' banyak kedai untuk mencari harga barangan yang berangka tujuh," ujarnya sambil memberitahu dalam tempoh 70 minit mereka berjaya membeli barangan yang jumlah nilainya RM696.
Cabaran membeli-belah anjuran Stabilo itu menjadikan angka tujuh sebagai angka bertuah pada hari berkenaan sempena pengenalan Stabilo Swing Cool.
Produk baru itu adalah pen penyerlah dengan fungsi antikering bagi memastikan dakwat tidak kering walaupun dibiar tidak berpenutup selama tujuh jam.
Kenangan manis
Sementara itu Kong Ang mengakui beliau sangat gembira menjadi pemenang bagi kategori terbuka. Lebih manis, kemenangan RM7,000 itu dikongsi bersama anaknya sendiri.
"Saya pernah menyertai beberapa pertandingan yang lain tetapi tidak pernah menyertai pertandingan yang begitu mencabar seperti ini.
"Kami melawat banyak kedai mencari barang-barang yang berkaitan dengan nombor tujuh. Saya mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada pihak Stabilo kerana menganjurkan pertandingan ini," katanya.
|
|
Pastinya pada hari tersebut, Sunway Pyramid dimeriahkan dengan kelibat para peserta yang berlari dari satu kedai ke satu kedai yang lain sambil menggalas beg besar berwarna kuning.
Pada akhirnya, apabila semua peserta berkumpul, anak patung teddy bear, kasut, jam tangan, minyak wangi hinggalah ke beg tangan memenuhi beg kuning para peserta.
Orang ramai yang berkunjung dan menyaksikan pertandingan itu juga berpeluang bermain permainan PS3 dan Nintendo Wii. Produk Stabilo turut diberikan kepada para pemenang.
Pengurus Besar Stabilo Malaysia, Shawn Goh berkata, Cabaran Membeli-Belah 7 Jam Stabilo ini merupakan satu keseronokan untuk semua.
"Kami sangat teruja menyaksikan para peserta berlari-lari sambil membawa beg mesra alam dan pada masa yang sama cuba membeli seberapa banyak barang dalam masa 70 minit.
"Kami juga kagum dengan kreativiti peserta memilih barang yang ada kaitan dengan nombor tujuh," katanya. Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, sertai kami di www.stabilo.com.my/facebook.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: