Tuesday, August 24, 2010

Melodi Raya Tampil Lebih Menarik

Datuk Seri Farid Ridzuan (tengah) menyampaikan hadiah kepada kanak-kanak.

PROGRAM hiburan sensasi, Melodi meraikan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan dua episod khas dalam Melodi Raya 2010.

Melodi Raya episod 1 terbitan Azman Ghaffar bakal bersiaran pada 12 September akan datang manakala Melodi Raya episod 2 akan ke udara pada minggu berokutnya. Kedua-dua episod tersebut bersiaran pada Ahad, pukul 12.30 tengah hari di TV3.

Melodi Raya episod 1 menyaksikan himpunan artis-artis popular dari tiga era berbeza iaitu 60-an, 70-an dan 80-an dengan sesi rakaman berlangsung di Dewan Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Rakaman diadakan pada pada 20 Ogos lalu.

Antara artis popular yang menjayakan persembahan malam itu ialah A. Rahman Hassan, Jeffrey Din, Azizah Mohd., Latif Ibrahim, Hattan, Ramlah Ram dan Zamani Slam.

Turut serta Dayang Nurfaizah, Raihan, Stacy, Azlan The Typewriter, Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Tomok, Mohd Mentor, Shila OIAM dan ramai lagi.

Selain paparan visual yang menarik, artis-artis lama dan baru turut berduet bersama. Sesi rakaman episod 1 yang dikendalikan oleh Didie Alias sebagai pengacara majlis dimulakan dengan majlis berbuka puasa.

Majlis tersebut turut meraikan sebanyak 80 anak yatim dari Asrama Damai Anak-Anak Yatim, Kuang, Selangor.

Ia diserikan dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif, PWTC, Maxson Abdullah Jaafar dan Pengarah Eksekutif, PWTC, Datuk Rauf Yusoh.

Artis-artis menjayakan sesi rakaman Melodi Raya.

Para hadirin dihiburkan oleh persembahan lagu Cari Jodoh oleh Wahid dan Fara Fauzana. Mereka seterusnya diajak mengimbas kembali perkembangan muzik tanahair bermula 60-an hingga sekarang.

Turut sama segmen dimana artis baru dan lama berduet untuk menyanyikan lagu 60-an.

Selepas artis-artis 60-an dan 70-an, golongan artis era 80-an dan 90-an mengambil alih pentas utama.

Mereka terdiri daripada Saleem, Hattan, Ramlah Ram, Zamani Slam dan Dayang Nurfaizah.

Lagu-lagu popular mereka digubah semula untuk memberikan nafas baru.

Sesi rakaman Melodi Raya dirancakkan lagi dengan persembahan mantap oleh Stacy menerusi lagu berjudul Jahat, Anuar Zain (Ketulusan Hati), Hafiz AF (Noktah Cinta) dan Azlan The Typewriter (Gerak Hati).

Sementara itu, episod kedua pula mengetengahkan konsep suasana rumah terbuka di kalangan artis yang mana rakamannya siap pada 6 Ogos lalu.

Datuk Siti Nurhaliza mendendangkan lagu Jerat Percintaan & Sesuci Lebaran.

Ia berkisar mengenai majlis rumah terbuka seperti rumah peminat setia Melodi, rumah terbuka artis-artis Metrowealth, Warner Music dan rumah terbuka penerbit filem terkenal, Profesor A. Razak Mohideen.

Penerbit Melodi Raya Episod 2, Nas Ahmad berkata, pihaknya menyelitkan kejutan ataupun tarikan lain pada setiap lokasi yang dikunjungi.

Ini kerana katanya, dia selalu mengamalkan kaedah reverse psychology iaitu paparkan sesuatu yang menentang arus kebiasaan atau out of the box.

"Penonton sudah biasa tengok wartawan Melodi tanya soalan panas pada artis, tetapi untuk episod khas ini, artis pula akan terjah wartawan Melodi. Semuanya berlaku secara spontan.

"Reaksinya pula, ada yang mula gelabah, ada yang terkejut malah ada juga yang hiba apabila diajukan soalan yang menyentuh emosi. Saya tahu ini adalah sesuatu yang ramai penonton ingin tonton sejak dulu lagi," katanya.

Nas memberitahu, terdapat sesetengah artis yang sememangnya menantikan peluang untuk melakukan provokasi terhadap wartawan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: