![]() |
| KERJAYA yang pada masa sama menuntut minat terhadap dunia selam skuba. |
MENYELENGGARA kapal. Kerja-kerja itu selalunya dilakukan ketika kapal berlabuh di dermaga. Itulah masa terbaik untuk membaiki dan memeriksa sesebuah kapal, baik di luar mahupun di dalam.
Namun, kerja-kerja menyelenggara tidak terhad di pelabuhan atau di dermaga sahaja kerana ada masanya ia perlu dilakukan ketika kapal di lautan.
Bagi memastikan kapal sentiasa berada dalam keadaan baik dan mampu beroperasi sepanjang masa, penyelenggaraan perlu dilakukan secara berterusan.
Apabila sesebuah kapal itu bergerak atau berlayar yang mengambil masa berbulan-bulan, kerja-kerja penyelenggaraan juga akan dilakukan sepanjang tempoh berkenaan 24 jam sehari.
Oleh itu, pihak pengurusan kapal akan memastikan anak-anak kapal akan bekerja mengikut syif.
Menyebut mengenai tugas-tugas penyelenggaraan ini, pengalaman menaiki kapal Celebes Explorer banyak meninggalkan pengalaman termasuk peluang melihat krewnya menjalankan tugas-tugas penyelenggaraan.
Antara aktiviti tersebut ialah ketika krew-krew kapal menjalankan kerja-kerja membersihkan badan kapal daripada tiram.
Kerja-kerja penyelenggaraan itu akan dilakukan dari dasar laut sekurang-kurangnya tiga kali dalam sebulan.
Setiap kali penyelenggaraan dilakukan ia akan mengambil masa tiga hari.
Kapten kapal Celebes Explorer, Dasri Alex memberitahu, memandangkan kerja-kerja membersihkan tiram dilakukan di dalam air, krew yang terbabit perlu memiliki kemahiran menyelam.
Krew kapal kemudian menggunakan pahat untuk membuang segala tiram yang melekat dan bersarang pada badan serta dinding kapal.
“Kita lakukan kerja-kerja ini selama tiga hari. Namun dalam masa dua hari selepas penyelenggaraan itu dilakukan, sudah ada tiram baru yang bersarang di badan kapal.
“Sebab itu kerja-kerja penyelenggaraan ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali dalam masa sebulan,” katanya.
Dalam keadaan tertentu apabila aliran arus deras, krew terbabit perlu mengikat badan mereka menggunakan tali pada bahagian tertentu di kapal.
Ini bagi mengelakkan diri mereka dihanyutkan arus deras yang boleh membawa kepada kehilangan nyawa.
Menceritakan lebih lanjut, Dasri berkata, tiram yang bersarang boleh menyebabkan bahagian badan kapal rosak akibat hakisan.
Tambahnya, ia juga akan mengurangkan kelajuan kerana berat bertambah.
Kerja-kerja menyelenggara di dalam air menggunakan peralatan selam itu bukan satu tugas yang mudah kerana krew perlu menggunakan peralatan lain yang berat seperti pahat, tali dan banyak lagi.
Selain Dasri, kerja-kerja penyelenggaraan itu turut dibantu oleh seorang krew yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), yang cacat pendengaran dan bisu, Mutalib Ab. Jahil, 37.
Dia turut dibantu dan dipantau oleh pengurus kapal itu sendiri, Jafri Abdullah.
Menurut Jafri, penyelenggaraan harus dilakukan bukan sahaja melibatkan bahagian luar kapal, malah enjin, dapur dan bahagian-bahagian lain.
Selain membersihkan tiram dari badan kapal, krew kapal berkenaan kadangkala perlu mengendalikan kipas kapal jika berlaku kerosakan.
Ini termasuk membuka dan menyelenggara kipas kapal dengan menggunakan sepana seberat lapan kilogram.
Dalam keadaan tertentu, tindakan menyelenggara kipas kapal dilakukan sekiranya ia terlanggar sesuatu objek keras, pukat dan sebagainya hingga menyebabkan ia bengkok.
Untuk itu, sekurang-kurangnya empat tenaga krew kapal dengan peralatan selam diperlukan untuk membuka kipas berkenaan.
Kipas seberat kira-kira 70 kilogram itu kemudian diikat menggunakan tali pada pelampung sebelum dibawa naik ke permukaan air.
Pada masa sama, dua krew lain yang berada di permukaan air ditugaskan untuk menarik kipas tersebut ke atas.
Kerja-kerja membuka skru dan membawa kipas itu naik ke atas kadangkala mengambil masa lebih satu jam.
Bagaimanapun, kerja-kerja untuk memasang semula kipas berkenaan lebih sukar yang mengambil masa lebih lama.
Ini kerana krew terbabit perlu memastikan kipas itu dimasukkan semula pada posisi yang betul.
Bagi pelancong yang ingin bercuti di atas kapal Celebes Explorer dengan mengikuti aktiviti skuba, snorkeling, meninjau kehidupan penduduk bajau laut selain melihat lebih dekat tugasan krew-krew kapal berkenaan, mereka pasti tertarik dengan pelbagai pakej yang disediakan.
Mereka bukan sahaja dapat menikmati keindahan Pulau Sipadan dan Mabul serta beberapa buah pulau lagi, malah menyelami tugas-tugas krew Celebes Explorer termasuk yang menjalankan penyelenggara di dasar laut.
Sehubungan itu, tempahan awal perlu dibuat kerana kebanyakan tarikh pelayaran telah habis ditempah.
Tempahan yang masih ada ialah dari 20 hingga 24 Oktober depan.
Mereka yang ingin mencuba kelainan ketika melancong dengan menaiki kapal Celebes Explorer boleh menghubungi Pengarah Urusan Mighty Ventures International, Leftenan Kolonel Mohd. Nasir Ali (Bersara) di talian 019-6415964 atau e-mel nasir0469@yahoo.com.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: