Saturday, August 21, 2010

Mahindra Scorpio Dengan gear automatik




DENGAN aksesori tambahan di seluruh badan dan gaya yang segar, tidak ramai dapat mengecam pantas apakah nama kenderaan utiliti sports (SUV) ini. Setelah diamat-amati, ramai juga yang terkejut bahawa ia adalah SUV buatan India, Mahindra Scorpio. Makin maskulin! Makin tampan!

Mahindra bukanlah nama asing di Malaysia. Ini semua gara-gara pendedahan besar kebanyakan rakyat tempatan kepada filem Bollywood dan jika anda mendakwa tidak tergolong dalam kelompok itu, kemungkinan anda ada menonton filem Slumdog Millionaire juga tinggi. Kenderaan Mahindra ini diguna secara meluas dalam filem Bollywood termasuk Slumdog yang diterbitkan oleh pengarah Barat tetapi berlatarkan Mumbai.

Model terkini yang dibawa oleh USF-Hicom (M) Sdn. Bhd. selaku pengedar eksklusif dan pengimport kenderaan Mahindra ialah Scorpio yang menggunakan transmisi automatik enam kelajuan.

Istimewanya model ini ialah ia dibangunkan khusus untuk pasaran Malaysia kerana di India, pemandunya lebih menggemari transmisi manual menyebabkan Malaysia terpaksa menanti hampir empat tahun sebelum Mahindra & Mahindra Ltd (M&M) melakukannya.

Perubahan antara gear adalah lancar walaupun terdapat sedikit gegaran. Namun yang jelas, menerusi enjin 2.2 liter diesel mHawk dan transmisi enam kelajuan ini, Scorpio dapat dipacu pada tahap kelajuan yang dimahukan di dalam bandar. Memecut di lebuh raya lurus pula, tangan anda perlu menggenggam kemas kemudi roda apabila kelajuan melebihi 120 km/j.

Enjin 2.2 liter mHawk ini mempunyai kuasa maksimum 120 brek kuasa kuda (bhp) pada 4000 revolusi per minit (rpm) dengan kuasa kilas 290 Newton meter (Nm) pada 1800-2800 rpm.

Model Scorpio sebelum ini yang menggunakan enjin petrol diingati sebagai enjin yang bising. Enjin diesel mHawk baru ini nampaknya sudah dipertingkatkan, bukan sahaja daripada segi spesifikasi iaitu mematuhi Euro 3 tetapi juga cekap bahan api. Dibangunkan sendiri oleh M&M, ia memiliki sistem common rail Bosch dengan suntikan solenoid bagi pengurusan bahan api pintar. Rekaan empat injap setiap silinder menyalurkan bahan api secara teratur dan meningkatkan kecekapan bahan api.

Daripada segi bunyi, sistem nyalaan enjin direka untuk operasi lebih senyap. Sistem pemanduan rantai dua peringkat yang inovatif dan pengubah suai hidraulik memastikan enjin senyap.

Sebagai sebuah SUV, Scorpio juga memiliki gear pacuan empat roda (4WD) yang boleh ditukar walaupun semasa kenderaan bergerak. Ia juga dipasang dengan sistem anti kunci-brek (ABS), satu ciri yang penting untuk sesebuah SUV.

Daripada segi luaran, terdapat tujuh elemen yang diberi penambahbaikan. Pertama ialah ‘bonnet scoop’ pada bonet yang benar-benar berfungsi dan bukan sebagai hiasan semata-mata. Ia membawa udara ke dalam intercooler bagi menyejukkan enjin. Di bahagian depan iaitu jeriji, rekaannya kini lebih tegas dengan logo M di tengah-tengah.

Ciri seterusnya ialah lampu depan yang dipanggil multi-focal, direka bagi memberi cahaya terang di waktu malam, sekali gus memberi isyarat dari jauh mengenai kehadiran Scorpio.

Di bahagian bamper, ia begitu sporty, malah seakan bamper perisai pula atau mengingatkan kepada filem Tranformers. Pada bamper, terdapat pula lampu kabus sporty dengan pembuka pintu dipadankan warna dengan badan. Yang terakhir ialah bamper belakang, yang boleh dipijak semasa memasuki pintu belakang.

Ia nyata mendatangkan tarikan dan perhatian daripada orang ramai. Tentunya tarikan itu lebih ketara bila mengetahui bahawa harga atas jalan Mahindra Scorpio 2.2 liter diesel ini ialah RM113,068.90 bersama insurans. Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web usf-hicom.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: