
KUALA LUMPUR – Maybank mahu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam segmen perkhidmatan pembiayaan dagangan dalam talian menerusi pelancaran TradeConnex.
TradeConnex ialah perkhidmatan pembiayaan berasaskan web inovatif yang merupakan pembaharuan kepada kaedah sedia ada iaitu pemprosesan menggunakan kertas.
Sehingga akhir bulan Mei lalu, Maybank memiliki penguasaan pasaran dalam pembiayaan dagang sebanyak 22.6 peratus manakala pembiayaan dagang Islamik pula ialah sebanyak 35 peratus.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, perkhidmatan itu ditawarkan menerusi portal Internet Maybank2e.net.
“Apa yang dilakukan ialah melangkah setapak ke hadapan dengan membawa pendekatan konvensional yang membolehkan perkhidmatan pembiayaan dagang dilaksanakan menerusi platform elektronik dan penyelesaian berasaskan web,” katanya pada majlis pelancaran perkhidmatan terbaru itu di sini semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusan Transaksi Perbankan Maybank, John Wong dan Naib Presiden dan Ketua Perbankan Borong Global Maybank, Abdul Farid Alias.
Maybank merupakan bank tempatan pertama di Malaysia yang menawarkan produk pembiayaan urus niaga dalam talian konvensional yang menyeluruh seumpama itu meliputi urus niaga antarabangsa dan tempatan serta pembiayaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: