Tuesday, August 3, 2010

Kereta tempatan turut diperiksa


KENDERAAN yang berdaftar di Malaysia akan diperiksa dengan lebih teliti bagi mengelakkan digunakan dalam penyeludupan petrol RON 95 yang disubsidi. - Gambar hiasan


RANTAU PANJANG – Kenderaan yang berdaftar di negara ini dan ingin ke Thailand akan menjalani pemeriksaan lebih teliti di pintu keluar sempadan negara.

Komander Briged Tenggara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, langkah itu bagi memastikan kenderaan terbabit tidak diubahsuai bagi mengisi petrol yang banyak untuk kegiatan penyeludupan.

Katanya, langkah itu diambil pihaknya selepas kerajaan tidak lagi membenarkan kenderaan berpendaftaran asing mengisi petrol RON 95 mulai kelmarin.

“Kita bimbang kemungkinan ada kenderaan yang didaftarkan di negara ini akan menjadi ejen penyeludup petrol jenis itu ke negara jiran.

“Dalam hal ini, kita akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi memantau kenderaan Malaysia yang kemungkinan membeli petrol lebih kerap dan dalam jumlah yang banyak bagi tujuan penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan serah terima tugas Ops Wawasan Kelantan antara Pegawai Pemerintah Batalion 7, Supritendan Mohamad Khalid Wahab kepada Penolong Pemerintah Batalion 8, Deputi Supritendan Kamaluddin Kassim di Markas Tektikal, Lubok Setol di sini semalam.

Kata Abdul Rahim, semua pegawai dan anggota yang bertugas di kawasan sempadan telah diarah menjalankan pemeriksaan rapi terhadap kenderaan Malaysia yang memasuki negara jiran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: