Tuesday, August 17, 2010

Mawar ceria sambut Ramadan




SEPERTI umat Islam yang lain, Ramadan sentiasa dinanti oleh gadis bernama Mawar Abd. Karim. Baginya, bulan seribu bulan itu bukan sekadar berpuasa, malah penghayatannya melebihi daripada itu.

“JANGAN jadikan puasa alasan untuk kita mengurangkan produktiviti kerja. Sepatutnya kita perlu lebih bersemangat, puasa sewajarnya menjadikan kita lebih fokus dalam melakukan sesuatu,” kata gadis berusia 21 tahun ini.

Mawar yang juga merupakan Pengurus Jualan tudung jenama Fareeda berasa agak terkilan kerana puasa kali ini tidak dapat diraikan bersama neneknya di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Kebiasaannya, gadis bermata bundar ini akan pulang ke kampung sekurang-kurangnya seminggu untuk bersama keluarga di sana. Saat berbuka antara waktu yang dinanti kerana ketika itulah dia berpeluang berkumpul dengan ahli keluarga yang lain.

Selepas menjamah hidangan kegemaran, mereka kemudian akan bersolat Maghrib, Isyak dan bertarawikh bersama.

Walau bagaimanapun Mawar mengakui kesibukan kerja kini menyebabkan adakalanya dia terpaksa berbuka sendirian. Dan tentunya hidangan juga ala kadar asalkan perut terisi.

“Tuntutan kerja harus diutamakan. Tak mengapalah, Aidilfitri nanti masih ada untuk kami raikan bersama,” katanya yang juga bertindak sebagai model tudung jenama itu.

Mawar tetap akan pastikan jadual kerjanya berjalan seperti biasa malah lebih agresif lagi menjelang Lebaran. Permintaan tinggi sempena Aidilfitri membuatkan dia tidak duduk diam, tambahan lagi pelbagai koleksi terkini sedang rancak dipromosi.

Memenuhi keperluan ruangan ini, Mawar menerima sekotak wangian One Drop Perfumes women set No.2.

Menganggap haruman itu menarik dan berpatutan, ia mampu menceriakan lagi si pemakai dalam bulan penuh berkat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: