Tuesday, August 17, 2010

Botol kenangan Fizie


MENYIMPAN semua koleksi dalam kabinet khas yang dijaga rapi.


KETAKSUBAN melihat fizikal botol-botol kecil yang dipamerkan di bahagian cermin utama kamar mandi setiap kali menginap hotel menyebabkan dia terus memuja bekas itu sehingga hari ini.

Reka bentuk yang unik dan pelbagai itu menyebabkan tangan Mohd. Hafizi Mohamed Rihat pantas 'menyimpan' botol tersebut sejurus selepas membuka pintu bilik.

Bukan apa, bimbang seandainya dia menggunakan cecair di dalam botol berkenaan semasa berada di bilik air dengan tidak sengaja.

''Saya memang tidak boleh tengok botol-botol bersaiz mini itu. Rasa menarik dan tersendiri apabila meneliti reka bentuk yang kadang kala boleh diterjemahkan identiti sesuatu hotel itu kepada pelanggan seperti saya,'' luah pemuda yang mesra dipanggil Fizie itu tentang minatnya sejak di sekolah rendah lagi.

Sehingga ke hari ini, anak bongsu dari lima beradik ini berjaya mengumpulkan kira-kira 800 jenis botol pelbagai rupa dari hotel dalam dan luar negara termasuk Singapura, Thailand, Hong Kong dan London.

Antara botol kesayangannya adalah dari The Empire Hotel & Country Club, Brunei yang dikunjunginya beberapa tahun lalu. Hotel terbaik di Asia itu pasti tidak dapat dilupakan kerana ia merupakan peluang keemasan bertandang ke negara berkenaan.

Fizie juga menyimpan semua 'buah tangan' itu di satu kabinet kecil dan almari kaca khas bagi membolehkan dia mengamati fizikal pada setiap botol berkenaan.

Tidak memilih

Apa yang menaikkan semangat Fizie apabila dia mampu mengimbas memori setiap kali melihat nama hotel yang tertera pada setiap botol berkenaan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sri Sentosa, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur ini juga sempat menitip kiriman buat sanak saudara yang mahu melancong atau bekerja luar daerah agar membawa pulang botol mini untuk dijadikan pelengkap koleksinya.

''Saya jenis bukan memilih tempat penginapan yang ada kelas sahaja. Apatah lagi, pekerjaan saya sebagai pengurus artis di Evolution Entertainment menyebabkan banyak masa berada di luar Kuala Lumpur,'' katanya lagi.

Fizie juga tidak melepaskan peluang untuk membawa pulang botol mini meskipun sudah bertandang ke hotel yang sama sebelum ini. Bagaimanapun, dia pasti mengasingkannya dengan memberi label sama ada boleh digunakan harian atau dijadikan perhiasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: