Saturday, August 21, 2010

Sadra Motor Kepuasan memilih


GALERI Sadra Motor yang terletak di dua lokasi strategik Sungai Pencala dan Kampung Baru.


JIKA memperkatakan soal kenderaan mewah, perspepsi umum tidak dapat lari daripada jenama seperti BMW, Mercedes dan Jaguar. Kereta sedan eksklusif dengan gaya serba mewah.

Namun kini trend berkereta besar tidak lagi tertumpu pada jentera ‘gaya pejabat’ sahaja. Semakin ramai golongan profesional yang beralih kepada jentera prestasi tinggi demi minat dan kepuasan memandu.

Antara jenama yang semakin popular adalah Ferrari, Porsche dan Audi. Sambutan juga meningkat dalam kategori kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda seperti Toyota Alphard, Estima, Land Rover, BMW X5, Golf GTI dan Mini Cooper.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin pelbagai, Sadra Motor Sdn. Bhd. selaku pemegang permit import (AP) kini menawarkan lebih banyak pilihan kenderaan mewah dan sport termasuk Lamborghini.

Syarikat yang bertapak di Kuching, Sarawak sejak 1983 itu kini mempunyai dua cawangan di Sungai Pencala, Damansara dan Kampung Baru, Kuala Lumpur yang mempunyai kira-kira 100 unit sedia dijual.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Sadra, Badrul Hisham berkata, sebagai penjual kenderaan import terpakai (recond) dan juga baru, Sadra Motor menjanjikan kemudahan untuk pelanggan memiliki kereta impian mereka.

Katanya, Sadra Motor bukan sahaja membariskan model-model mewah pada harga berpatutan malah mengehadkan usia kenderaan recond sehingga lima tahun sahaja untuk kualiti terbaik.

“Kenderaan terpakai sepatutnya tidak melebihi usia lima tahun. Setiap unit akan diperiksa dan hanya yang berkeadaan baik sahaja dibawa masuk,” ujarnya.

Mengulas mengenai kelebihan kenderaan recond, beliau memberitahu, walaupun ianya kenderaan terpakai tetapi pelanggan mendapat pengurangan harga yang tinggi (jika dinilai secara susut nilai biasa).

“Kereta yang berusia setahun dua kadang-kala dijual pada harga berpuluh-puluh ribu daripada harga asal,” ujarnya.

Selain kenderaan recond, syarikatnya juga menerima pembelian kereta baru melalui jual semula (trade-in).

Tempah sendiri kereta idaman

Selain pilihan jentera di dalam galeri, Sadra turut menawarkan khidmat tempahan istimewa kepada pelanggan yang bercitarasa besar untuk mendapatkan kenderaan yang diidamkan.

Jelas beliau, di kalangan mereka yang berkemampuan ada yang mahukan model khas yang tidak dibawa masuk ke negara ini. Ia biasanya melibatkan edisi terhad, enjin dan hiasan dalaman yang dibina khas.

“Kita juga boleh mengatur lawatan ke London untuk pelanggan memilih kenderaan. Apa sahaja pilihan, kita akan cuba menguruskan pembelian,” ujarnya.

Di galeri pameran Sadra Motor, pelanggan dibantu jurujual berpengalaman untuk memberi penjelasan berhubung jual beli dan juga aspek penyelenggaraan.

Menurut Badrul, pelanggan tulen biasanya ditawarkan harga istimewa dengan insuran perlindungan selama setahun (recond).

“Keselesaan jual beli dipermudahkan lagi dengan skim pinjaman pembelian selama sembilan tahun di semua bank utama,” ujarnya.

Sebagai panduan, pelanggan dinasihatkan membeli kenderaan recond daripada pusat jualan pemegang AP.

Selain memeriksa ‘sejarah’ kenderaan, pelanggan sebaik-baiknya membawa mekanik yang dapat menilai baik atau buruk keadaan sesebuah kenderaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: