Monday, August 23, 2010

Magis Cinta ke pentas teater




SEBAIK sahaja menonton filem Cinta, Boudeng Edruce mengakui, ia merupakan jatuh cinta pandang pertama untuknya.

Selama setahun juga, dia sudah memikirkan idea untuk mengangkat filem arahan pengarah kreatif, Kabir Bhatia itu ke pentas teater.

"Menonton filem Cinta memberikan satu pengalaman yang cukup indah buat saya dan memang jarang filem Melayu tampil dengan idea seumpama itu.

"Saya memang kagum dengan keseluruhan jalan ceritanya yang pada saya begitu unik dengan lima cerita cinta dalam lima situasi yang berbeza.

"Bukan itu sahaja, muzik dan sinematografi yang ditampilkan dalam filem itu juga cukup menarik perhatian saya.

"Kerana itu, saya fikir mengapa tidak saya mencuba pendekatan yang serupa tetapi kali ini untuk mengangkat naskhah hebat ini di pentas teater," kata Boudeng memberikan justifikasi saat ditanya mengapa filem Cinta yang dipilih untuk dijadikan sebagai sebuah teater muzikal.

Boudeng berkata demikian pada sidang akhbar pengumuman kerjasama antara The Creative Partnership Sdn. Bhd. dan Primeworks Studios Sdn. Bhd. di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Menggunakan judul Terima Kasih Cinta, teater muzikal itu bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, selama dua minggu bermula 17 Februari 2011.

Sebagai Pengurus Besar dan penerbit untuk teater muzikal itu, Boudeng tidak menafikan cabaran untuk mengadaptasi filem itu kepada teater muzikal memang cukup besar.

Pastinya, kata Boudeng, pendekatan dan sentuhan Terima Kasih Cinta akan berbeza dengan versi filem yang pernah dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 itu.

"Memang sesuatu yang mustahil untuk mengambil bulat-bulat konsep filem dan dijadikan teater muzikal.

"Namun begitu, konsep penceritaan dan plot masih lagi sama dan memang kami mahu mengekalkannya kerana tidak mahu ia lari daripada cerita sebenar.

"Apa yang akan menjadikan Terima Kasih Cinta lebih menarik ialah elemen muzik dan tarian bagi menambahkan rencah kepada pementasan ini nanti," ujarnya yang optimis dengan sambutan yang bakal diberikan untuk Terima Kasih Cinta nanti.

Mengenali Boudeng, dia bukanlah orang baru dalam bisnes hiburan. Pengalamannya lebih dua dekad dalam industri hiburan memberikan kelebihan kepadanya untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa untuk Terima Kasih Cinta.

Pernah berkerjasama dengan nama-nama besar industri seperti Roslan Aziz, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Datin Seri Tiara Jacquelina, memang tidak mustahil untuk Boudeng mencipta fenomena menerusi teater muzikal pertama terbitannya ini.

"Saya harus akui skala penerbitan Terima Kasih Cinta memang besar seperti mana Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical.

"Kerana itu, kami sudah memulakan misi untuk mencari penaja agar dapat melancarkan lagi penerbitan teater muzikal ini nanti," katanya penuh mengharap.

Nada suara Boudeng sudah cukup menampakkan keterujaannya dalam merealisasikan Terima Kasih Cinta terutama dari aspek muzik dan lagu.

Membicarakan soal itu, Boudeng sudah pun memberi gambaran awal kepada pihak media bahawa sebanyak 20 hingga 30 buah lagu yang akan ditampilkan dalam pementasan ini kelak.

Menariknya, kesemua lagu dalam teater itu merupakan lagu-lagu yang pernah popular sekitar awal 90-an yang pastinya menggamit perasaan dan mempunyai jalinan yang kuat dengan jalan ceritanya.

Ditanya mengenai senarai pelakon, pengarah dan penulis skrip untuk Terima Kasih Cinta, Boudeng tidak menafikan dia seboleh-bolehnya mahukan barisan pelakon asal filem itu.

"Tetapi, ini adalah sebuah muzikal yang memerlukan pelakon menari dan menyanyi. Kami membuka peluang kepada semua untuk datang ke uji bakat yang bakal berlangsung pada bulan Oktober nanti.

"Sudah pasti saya mahu melihat pelakon lama dan baru berganding bahu untuk Terima Kasih Cinta. Tentang pengarah dan penulis skrip pula, masih terlalu awal untuk saya katakan.

"Insya-Allah, saya akan umumkan pada sidang akhbar yang seterusnya nanti," kata Boudeng yang memerlukan lebih daripada 20 orang pelakon termasuk ensemble bagi teater muzikal ini.

Selepas uji bakat dan pemilihan pelakon diadakan, siri latihan pula akan dijalankan selama tiga bulan bermula bulan November ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Perniagaan dan Perhubungan Awam Primeworks Studios, Tengku Iesta Tengku Alauddin berkata, pihaknya yakin magis yang pernah dicipta filem Cinta mampu dikembalikan menerusi Terima Kasih Cinta.

Biarpun perlu menunggu masa selama empat tahun untuk berbuat demikian, Tengku Iesta tidak melihatnya sebagai satu masalah.

"Sejak awal lagi selepas filem Cinta diputarkan di pawagam, ramai yang mahu menyambung kesinambungannya dalam pelbagai medium termasuk drama bersiri.

"Tetapi ketika itu tiada siapa yang menunjukkan kesungguhan itu. Jadi, apabila Boudeng datang kepada kami dan melihat kepada betapa seriusnya dia mahu menerbitkan Terima Kasih Cinta, kami menerimanya.

"Kami yakin Boudeng dapat memberikan sesuatu yang istimewa kepada masyarakat menerusi Terima Kasih Cinta," katanya optimis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: