Monday, August 23, 2010

Dayang belum fikir kahwin




MENCECAH usia 29 tahun bulan lalu, teryata tidak memberi tekanan kepada penyanyi berkulit hitam manis bagi mengakhiri zaman bujangnya.

Jika sesetengah wanita lain di usianya, mereka sudah mula kalut dan pening memikirkan jodoh yang tidak lagi kunjung tiba memandangkan 'tarikh luput' yang biasanya ditetapkan pada usia 30 tahun.

Apatah lagi jika wanita itu sudah memiliki hampir segala yang asas dalam kehidupannya seperti kerjaya, kereta, rumah dan kewangan yang stabil, hanya menunggu seorang arjuna menjadi peneman hidup.

Ujar Dayang Nurfaizah, dia mahu lari daripada kelaziman wanita yang sentiasa meletakkan had umur untuk berkahwin kerana baginya semua itu terpulang kepada jodoh yang ditentukan Tuhan.

Tidak mahu terlalu memikirkannya, Dayang kini lebih selesa hidup membujang ditemani ahli keluarganya serta mahu fokus kepada kerjayanya yang semakin rancak itu.

Bahkan, penyanyi popular itu tidak mahu menjadi seperti sesetengah orang yang merancang untuk berkahwin tetapi tidak jadi.

"Bagi Dayang, semua itu tidak perlu dirancang. Dayang tidak pernah sasar pada usia berapa mahu berkahwin kerana Dayang percaya kepada jodoh," katanya yang menyerahkan urusan jodoh pertemuan pada Ilahi.

Biar sekalipun Dayang sangat menyayangi kanak-kanak, tetapi ketika ini, dia belum bersedia untuk memiliki keluarga.

"Dayang tidak pula rasa sunyi kerana sentiasa ditemani keluarga. Ibu dan bapa Dayang juga tinggal dengan Dayang selepas bapa bersara tahun lalu.

"Sebelum itu, abang, kakak dan adik Dayang turut menemani Dayang sepanjang merantau di Kuala Lumpur.

"Lagipun Dayang mahu fokus untuk mengumpul duit dahulu dan mencapai apa yang mahu dalam kerjaya," ujarnya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama Kanak-kanak Istimewa dan Dayang Nurfaizah baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: