Tuesday, August 17, 2010

Lupakan kenangan lalu

Farawahida
Farawahida
Kerjaya seni Farawahida tidak terganggu dengan sebarang masalah, malahan semakin rancak

SEGALA kesedihan yang menimpanya suatu ketika dulu sudah dibuang jauh. Tiada kenangan indah yang hendak diingati gadis berkulit hitam manis ini. Apa yang berlaku tak perlu diungkit lagi. Tegas Farawahida, dia kini ingin membuka buku baru dan menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaya seninya.Mungkin ada yang berpendapat, sejak berlaku pertelingkahan antara dia dengan bekas pengurusnya, Julfekar, pasti kerjayanya selepas itu tidak akan terbantut. Ditambah dengan larangan menyanyikan lagu sendiri dalam mana-mana persembahan, tentunya perkara itu akan menyukarkan lagi dirinya mencari rezeki dalam bidang nyanyian.Namun, Tuhan Maha Kaya. Walaupun tidak boleh menyanyikan lagu sendiri, rezeki Farawahida tetap ada dan tidak pernah putus.

“Memang ramai yang menyangka Fara sudah tidak menyanyi. Sebenarnya tidak. Fara masih aktif menyanyi. Setakat ini, walaupun Fara tidak boleh menyanyikan lagu sendiri dan terpaksa menyanyikan lagu orang lain tetapi itu tidak membawa masalah.

“Selalunya, Fara akan menjelaskan kepada penganjur terlebih dulu bahawa Fara tidak boleh menyanyikan lagu sendiri. Alhamdulillah, mereka memahami keadaan saya,” katanya yang merancang untuk mengeluarkan single tidak lama lagi yang diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Farawahida Entertainment.

Daripada nyanyian kepada dunia lakonan. Sebelum ini, bakat lakonannya hanya terserlah di pentas teater iaitu Sinbad. Bagaimanapun, barangkali sudah menjadi rezekinya, apabila dia sekali lagi mendapat tawaran berlakon. Kali ini menerus layar perak.
“Fara baru selesai menjalani penggambaran filem Baik Giler. Dalam filem itu memegang watak Suraya. Ini pertama kali Fara berlakon filem. Sebelum ini hanya sekali berlakon teater iaitu Sinbad. Walaupun pelakon baru tetapi semua pelakon senior lain tidak pernah meminggirkan Fara. Mereka sudi mengajar bagaimana untuk pelakon yang baik.

“Apa yang membuatkan rasa bertuah adalah, Fara tidak perlu menjalani sesi uji bakat termasuk untuk dua projek yang Fara terbabit ini.

“Mungkin untuk filem ini mereka berasakan Fara tidak perlu diuji bakat lagi kerana mereka percaya dengan bakat yang ada,” katanya.

Walaupun sudah mula merasakan keseronokan berlakon, namun bagi penyanyi yang cukup popular dengan lagu Tanpamu ini, dia tidaklah mahu menjadikan lakonan sebagai punca utama rezekinya dalam bidang seni.

“Fara menceburi bidang lakonan hanyalah untuk melihat sejauh mana bakat dalam bidang ini. Fara sebenarnya lebih suka menyanyi. Selepas menyelesaikan penggambaran Baik Giler, Fara mahu berehat dulu dalam lakonan.

“Insya-Allah, selepas kerjaya nyanyian Fara kembali stabil dan ada waktu lapang Fara akan kembali ke dunia lakonan. Tapi buat masa ini, biarlah tumpukan terhadap bidang nyanyian saja,” kata Farawahida yang kelihatan semakin langsing sejak kebelakangan ini.

Rapat dengan seseorang

TIDAK sukar menyelami hati dan perasaan orang yang sedang asyik dilamun cinta. Wajahnya sentiasa ceria dan ada getar yang menterjemahkan bahawa dia kini sedang mengulit bahagia bersama pujaan hati.

Biarpun agak keberatan pada awalnya untuk bercerita kisah peribadi, namun selepas dipujuk, akhirnya Farawahida mengalah juga dengan membuat pengakuan bahawa dia kini sedang mengenali seseorang.

“Ketika ini Fara rapat dengan seseorang. Dia adalah kenalan kepada kawan sewaktu zaman persekolahan dulu. Cuma kami baru saja bertemu kembali. Terus terang, Fara seronok berteman dengannya. Kami memang rapat dan dia jugalah menjadi tempat mengadu jika berdepan masalah. Mungkin dari situ kami semakin rapat.

“Dia seorang yang cool dan boleh menerima Fara seadanya iaitu bukan Farawahida sebagai seorang artis,” katanya.

Ditanya apakah hubungan itu bakal dinoktahkan di jenjang pelamin, Farawahida berkata buat masa ini tidak pernah berbincang ke arah itu.

“Umur kami masih muda, jadi biarlah tumpuan hanya untuk kerjaya dan mengumpul harta terlebih dahulu,”ujarnya.

Selepas sekian lama menjadi artis, gadis berusia 25 tahun ini berkata baru kini dia berpeluang untuk menganjurkan rumah terbuka.

Kata Farawahida, acara itu akan diadakan pada hari raya keempat bertempat di kediaman keluarganya di Taiping.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: