Tuesday, August 17, 2010

Gadis Melayu cabar Ashraf

SEJAK putus cinta dengan pelakon Sherry Ibrahim, tidak banyak publisiti mengenai pelakon kacak Ashraf Muslim dipaparkan pihak media, kebelakangan ini.

KACAK...Ashraf tampil segak dengan baju Melayu.
KACAK...Ashraf tampil segak dengan baju Melayu.

TINGGAL KENANGAN...Ashraf dan Sherry ketika zaman bercinta dulu.  TENANG...Ashraf ketika menemubual salah seorang finalis. BERBAKAT...sembilan finalis Gadis Melayu musim ketiga impi menjadi pengacara.


TINGGAL KENANGAN...Ashraf dan Sherry ketika zaman bercinta dulu.
Semuanya, gara-gara Ashraf sendiri yang susah untuk ditemubual mahupun mengadakan sesi fotografi dengan media.


Namun, pertemuan dengan Ashraf atau nama sebenarnya Mohd Ashraf Muslim, 29, berjaya menjawab banyak persoalan. Pelakon berasal dari Teluk Mas, Melaka ini berkata, dia bukan sengaja menolak untuk ditemubual sebaliknya agenda seni­nya yang terlalu padat.


“Saya baru selesai penggambaran drama bersiri 24 episod, Ilusi di slot Akasia TV3, bergandingan dengan Diana Rafar. Selain itu, saya juga terbabit dengan drama Pasukan Gerak Marin (PGM) di TV9.


“Lepas satu-satu tawaran drama dan program TV datang yang saya anggap rezeki. Menyusul selepas ini, saya terbabit dengan penggambaran drama terbaru selepas hari raya.


“Kesibukan berlakon dan mengacara juga menyebabkan saya tiada masa untuk mencari pengganti dalam tempoh terdekat,” katanya.


Antara drama lakonan terbarunya ialah drama komedi Dari Mata Ke Hati dan drama bersiri 26 episod, Jangan Pandang Belakang musim kedua terbitan MIG Productions Sdn Bhd. Selain itu, usahawan muda ini sibuk dengan projek penternakan kambing, lembu dan ayam di kampungnya.


Kata Ashraf, yang dikenali menerusi watak pemuda alim dalam drama Puaka Niyang Rapik dan Yusuff, dia menerima tawaran sebagai hos Gadis Melayu 3 (Gadis Melayu 3) disebabkan mahukan pengalaman. “Ia adalah program kedua selepas Shifa untuk saluran Astro Oasis. Saya ditawar untuk menjayakan Gadis Melayu 3 kira-kira dua bulan lalu. “Saya mengambil masa lebih sebulan untuk berfikir. Pada peringkat awal, saya rasa gementar kalau-kalau kemampuan saya tidak sampai seperti yang mereka kehendaki. Saya akhirnya terima apabila memikirkan ia program realiti TV yang juga sesuatu yang baru buat saya,” katanya. Pemegang Diploma Pentadbiran Perniagaan ini akui Gadis Melayu 3 memang mencabar.


“Cabaran paling susah sepanjang buat empat episod program ini ialah saya banyak menggunakan simpulan bahasa dan bersyair. Kalau saya salah sebut, nanti orang salah tafsir pula.


“Setakat ini, TV9 berpuas hati de­ngan corak persembahan saya. Ada 10 episod lagi yang saya kena buat. Episod terakhir pula akan disiarkan secara langsung,” katanya. Ashraf ditemui pada sidang media Gadis Melayu 3 di Restoran Bora Asmara, Sungai Penchala, Kuala Lumpur. Majlis sidang media itu disempurnakan Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin. Hadir sama, Penerbit Eksekutif Gadis Melayu 3, Wan Sabariah Shikh Ali.


Ashraf akui, buat masa ini, fokusnya hanya kepada Gadis Melayu 3.“Saya hanya terbabit selama dua minggu untuk Gadis Melayu 3 iaitu pada Ramadan ini. Sebagai pengacara, saya hanya buat tugas moderator dan skrip disediakan pihak penerbit,” katanya.


Kata Ashraf, dia tidak mahu dibandingkan dengan pengacara lain sebelum ini.


“Bentuk program di TV9 dan TV3 memang berbeza. Namun saya tidak berdepan masalah kerana kru penerbitan TV9 banyak mengajar saya bagaimana untuk mengendalikan program ini mengikut kesesuaian. “Saya juga kena cepat terima apa yang diajar termasuk adat istiadat Melayu. Bukan senang mengacara berbanding berlakon,” katanya.


Sementara itu, diminta komen siapa Gadis Melayu 3 paling menyerlah, Ashraf berkata, dia belum sedia untuk memberi komen lanjut.“Finalis Gadis Melayu 3 banyak buat tugasan dan saya pula hanya sesekali muncul di kaca TV. Masih awal lagi untuk saya komen mengenai prestasi mereka. “Saya juga belum berpeluang mengenali finalis Gadis Melayu 3 dengan lebih dekat lagi. Pada sidang media inilah baru kali pertama kami berjumpa,” katanya. Sembilan finalis Gadis Melayu 3 kali ini adalah Afiqah Hazwani Md Nordin, 18; Nur Diana Zainuddin, 19; Nor Shamimi Ernida Mansor, 20; Norhidayah Samsudin, 21; Siti Nurzakiah Abdul Aziz, 21; Siti Mastura Mohamad Salleh, 24; Fatheen Nabila Ghazali, 24; Norazrina Mohd Salleh, 25 dan Siti Amira Mustakhim, 25.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: