Tuesday, August 17, 2010

'Gosip saya bersama Remy tak masuk akal'

Maya dan Remy
Maya dan Remy
Maya nafi ikut aktor membeli-belah di Jakarta 1 Ogos lalu

PELAKON dan pengacara terkenal, Maya Karin sedia menunjukkan pasport antarabangsa miliknya kepada pihak media massa untuk membuktikan sepanjang 31 Julai hingga 2 Ogos lalu, dokumennya itu tidak mempunyai cap imigresen di mana-mana lapangan terbang di Indonesia.Ia sebagai bukti bahawa Maya tidak pernah berada di negara itu pada tarikh berkenaan seperti didakwa dalam ruangan gosip mengaitkan beliau kononnya dilihat bersama pelakon Remy Ishak di sebuah pusat beli-belah terkenal di Jakarta pada 1 Ogos lalu. Gosip mengenai dirinya disiarkan dalam B*Pop minggu lalu menerusi ruangan Teropong. Maya yang juga Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun, dilanda kontroversi kononnya menjalin hubungan intim dengan Remy yang turut didakwa menjadi orang ketiga dalam kegagalan rumah tangganya bersama bekas suami, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhammad Ali Abdullah.

Dalam ruangan gosip berkenaan juga dikatakan ada peminat dari Malaysia terserempak dengan pasangan itu ketika sedang bersiar-siar bersama Remy di pusat beli-belah Grand Indonesia, Jakarta Pusat.

"Saya tidak ada masalah sekiranya pihak media massa ingin melihat pasport antarabangsa sebagai membuktikan saya tidak pernah berada di Jakarta bersama Remy pada 1 Ogos lalu. Pasport saya tidak ada cap imigresen negara berkenaan sepanjang tarikh berkenaan (31 Julai hingga 2 Ogos). Saya juga mempunyai ramai saksi yang boleh menyokong kenyataan ini, di mana sebenarnya lokasi saya ketika itu," kata Maya memberi penjelasan.

Ketika Maya menghubungi wakil B*Pop pada petang Rabu lalu, dia sedang sibuk di lokasi penggambaran filem Ombak Rindu sekitar Kuala Lumpur, justeru tidak berkesempatan menemui penulis menunjukkan pasport antarabangsanya, tambahan pula ketika itu sudah hampir masuk waktu berbuka puasa.
Namun, Maya berjanji akan menampilkan pasport antarabangsanya kepada penulis pada bila-bila masa saja sekiranya ada waktu terluang sebagai membuktikan kesahihan dakwaannya itu.

"Pada 1 Ogos lalu, saya bersama kru Ombak Rindu termasuk pengarah, Osman Ali dan pelakon, Aaron Aziz masih berada di atas feri dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Alor Setar, Kedah untuk menyambung penggambaran filem berkenaan. Sebaik tiba di Alor Setar, artis dan kru produksi bermalam di Hotel Zen.

"Keesokan pagi (2 Ogos), kami terus menaiki van berkonvoi menuju ke pekan Danok, Thailand untuk menyambung penggambaran Ombak Rindu yang masih berbaki. Sepanjang 1 hingga 2 Ogos lalu, saya sentiasa bersama kru Ombak Rindu, mana mungkin saya berada di Jakarta bercuti bersama Remy ketika itu," soalnya lagi.

Tambah Maya, selepas menghadiri Kempen Maya Loves Nature 2010 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur menjayakan kempen meminta pelajar sekolah mengumpulkan beg plastik untuk dilupuskan pada siang 31 Julai lalu, sebelah malam pula dia menaiki pesawat menuju ke Langkawi. Setibanya di Langkawi, Maya mendaftar masuk di Aseania Resorts.

"Keesokan hari (1 Ogos), saya mendaftar keluar dari resort berkenaan kira-kira jam 1.30 petang. Kami terus menuju ke Alor Setar menaiki feri dari Langkawi. Rentetan perjalanan saya bersama kru Ombak Rindu pada tarikh berkenaan, membuktikan dakwaan sumber yang kononnya terserempak dengan saya bersama Remy di pusat beli-belah Grand Indonesia, sama sekali tak masuk akal!

"Ini jelas membuktikan bahawa sumber yang menceritakan kepada awak (penulis), insiden kononnya dia terserempak saya dan Remy di Jakarta pada tengah hari, 1 Ogos lalu, sama sekali menyampaikan maklumat tidak benar, sekali gus menyebarkan berita berunsur fitnah! Bersama penjelasan ini, saya harap masyarakat di luar sana tidak lagi membuat sebarang spekulasi yang bukan-bukan sehingga mencalar nama saya dan Remy.

"Tambahan pula kita sudah berada di bulan puasa, bagi saya fitnah seumpama ini tidak sewajarnya berlaku. Pun begitu, sebagai seorang artis mahupun public figure yang sentiasa menjadi perhatian orang ramai, saya pasrah dengan ketentuan ini (fitnah) kerana apa yang terjadi sepanjang melayari karier seni, ia berlaku di luar kawalan," kata Maya yang ternyata bijak mengawal emosinya sekalipun berada dalam keadaan tertekan.

Sementara itu, Remy dilihat sedikit beremosi berdasarkan beberapa kenyataannya dalam media massa sebelum ini.

Remy turut menafikan gosip itu (bersama Maya di Jakarta pada 1 Ogos) dan menjelaskan dia belum pernah menjejakkan kaki ke negara jiran dimaksudkan itu. Remy dilaporkan berkata, sejak 28 Julai hingga 6 Ogos lalu, dia sibuk melunaskan baki penggambaran telefilem Airmata Nursalina arahan Erma Fatima.

"Bila masa pula saya pergi ke Jakarta? Pasport milik saya pun belum pernah mempunyai cop ke sana. Demi Allah saya memang tak ke sana. Maya pun sibuk berlakon filem Ombak Rindu. Jadi memang mustahil kalau timbul cerita kononnya kami bercuti di Jakarta. Dengan kesibukan saya di lokasi penggambaran, celah mana pula saya sempat memboloskan diri pergi bercuti ke negara orang. Nak balik kampung berjumpa mak dan keluarga di Melaka pun saya tak sempat, inikan pula nak ke Jakarta semata-mata untuk berdating," katanya kepada Berita Harian terbitan 11 Ogos lalu.

Katanya lagi, jika hal ini terus menjadi keterlaluan, dia mungkin akan mengambil tindakan sewajarnya. Kenyataannya kepada Harian Metro pula, dia menyerahkan kepada pihak pengurusannya untuk mengambil tindakan lanjut kepada pihak yang tidak bertanggung jawab.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: