Sunday, August 22, 2010

Hari sepi seorang isteri


DUA beradik ini sempat berbicara dengan nisan arwah ketika mengunjungi pusaranya.


SUDAH empat bulan Abdillah Murad Mohd. Shaari meninggalkan alam fana ini. Ini bermakna sudah empat bulan jugalah wanita ini tidak lagi menatap wajah lelaki yang amat dicintainya itu. Tiada juga kedengaran suara romantik Abdillah Murad yang berselang seli dengan gurau senda yang menemani kehidupan mereka siang dan malam selama ini.

Semua kenangan itu membuatkan hati HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof kini dibelenggu rindu yang tidak bertepi. Merindui suaminya yang telah pergi dengan meninggalkannya bersama dua anak masih kecil, Puteri Nur Safiyya, 2 tahun 7 bulan dan Puteri Nur Sumayya, 1 tahun dua bulan.

Perasaan rindu luar biasa itu bukan dibuat-buat sebaliknya perasaan berkenaan tidak pernah mati dan sentiasa berpaut di dahan hatinya. Dia juga mengakui jiwanya sering disapa rasa ngilu yang bukan sedikit. Berada di dalam rumah yang menjadi saksi cinta sehidup semati mereka, membuat dia berperang dengan perasaan sedih.

Hidupnya terasa sepi sangat. Bagaikan terasa wangian haruman Abdillah Murad masih berlegar di dalam ruang mahligai mereka. Sebab itu, bagi menghilang rasa rindu di dada, tiada istilah penat dan jemu bagi wanita berusia 29 tahun itu menjadikan rutin wajib mengunjungi pusara suaminya setiap Isnin, Rabu dan Jumaat setiap minggu.

“Setiap saat dan detik yang saya lalui setiap hari, ingatan pada arwah tidak pernah hilang. Suara arwah masih terngiang-ngiang di dalam rumah ini. Kadang-kadang saya seolah-olah nampak kelibat arwah naik dan turun tangga serta di meja makan. Sehari sebelum puasa, arwah hadir dalam mimpi saya berpakaian kemeja-T putih dan seluar hitam melawat anak-anak,” katanya dengan wajah paling tenang.

Luahan jujur HM Rose Zaitul Suriani Wati Maarof yang mesra dipanggil Tasha itu menggambarkan betapa tinggi nilai cinta buat suami yang telah pergi dan tidak kembali lagi buat selamanya. Abdillah Murad, 27, yang popular dikenali sebagai Achik. Vokalis kumpulan Spin itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ngeri ketika perjalanan pulang ke rumahnya di Senawang, Negeri Sembilan pada 17 April lalu.

Kenderaan MPV yang dipandu arwah terbakar di tempat kejadian dan Achik disahkan meninggal sejurus selepas kemalangan di kilometer 14.7, Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), Seremban, Negeri Sembilan. Puas menanggung derita itu, Tasha kini mahu membuktikan dia merupakan seorang wanita yang semakin kuat untuk menjalani kehidupan pada masa akan datang.

Katanya, dia sudah puas menangis sejak empat bulan lalu dan cukuplah menitiskan air mata mengenangkan tragedi yang tidak disangka menimpa dirinya dan anak-anak.

“Saya reda dan tidak mahu lagi meratapi pemergian arwah. Tapi saya tidak mampu berbohong setiap saat saya akan terkenang arwah dan terasa sayu sangat.

“Tapi saya juga tidak mahu berterusan menangis tanpa kesudahan kerana saya sudah terlalu puas menangis,” katanya menahan sebak di dada. Sempat ditanya apa yang ingin dilakukannya jika waktu dapat diputar kembali, pantas Tasha menjawab sebelum saya menghabiskan soalan itu.

“Saya mahu arwah hidup kembali untuk membesarkan anak-anak kami bersama dan memberi mereka pendidikan yang sempurna,” katanya penuh harapan biarpun ia pasti tidak menjadi kenyataan.

Hampir dua jam berkongsi cerita dengan Tasha di rumahnya di Taman Desa Rose, Ampangan di Negeri Sembilan baru-baru ini, saya percaya wanita ini semakin kuat mengharungi hari-hari sepi tanpa Achik di sisi.

Kekuatan yang ada pada dirinya bukan terletak pada fizikal kecilnya yang perlu melayan kerenah dua puterinya itu untuk mengendong mereka sekali gus.

Tetapi kekuatan Tasha hari ini kerana ikatan cintanya bersama Achik sudah tersimpul mati dan perlahan-lahan dia mula sedar tidak semua impian mesti berakhir dengan noktah bahagia.

Kepiluan Ramadan ini

Apa yang pasti, Ramadan kali ini perlu ditempuh Tasha dengan kisah duka yang melakar memori ketika bersama Achik.Tiada lagi gelak tawa menantikan detik indah 1 Syawal nanti dan dia menyedari limpahan air mata serta sendu akan hadir bertaman di hatinya.

Betapa sambutan Aidilfitri pada kali ini sudah menjadi tidak seindah dahulu lagi malah tidak sama untuk selama-lamanya.

Kata Tasha, isteri mana yang tidak sedih apabila kali pertama menjalani ibadah puasa tanpa suami tersayang seperti tahun-tahun sebelumnya.

Apatah lagi sejak hidup bersama pada 20 November 2003, mereka tidak pernah berenggang berbuka puasa dan bersahur bersama-sama dalam suasana penuh ceria.

Justeru, pemergian Achik telah membawa gerhana cinta buat mereka dan Tasha hanya sekadar melakukan persiapan Ramadan kali ini bersama anak-anak secara sederhana.

Kata-kata itu terbukti apabila dia belum membeli baju raya untuk dua puterinya dan pada sesi fotografi ini mereka hanya memakai baju raya tahun lalu.

“Selalunya kami akan membuat persiapan pada pertengahan Ramadan setiap tahun. Arwah akan menjadi orang paling sibuk untuk pergi membeli-belah.

“Baju raya tahun ini belum dibeli lagi dan saya pakaikan baju raya tahun lalu untuk Puteri Nur Safiyya dan Puteri Nur Sumayya,” jawabnya bagi melerai pertanyaan saiz baju kurung yang sudah singkat di badan puteri bongsu itu.

Ditanya tentang masakan kegemaran Achik sepanjang Ramadan ini, Tasha bungkam seketika dan sesekali memandang pilu dua anaknya yang tidak betah duduk diam itu.

“Arwah suka sangat dengan murtabak. Kalau 30 hari berpuasa, mesti hari-hari ada murtabak. Selepas itu, dia akan jamah nasi. “Waktu sahur pun arwah tidak banyak kisah. Makan nasi dengan apa jua lauk-pauk yang saya masak. Kalau pagi Hari Raya pula, ketupat nasi dengan sambal taucu mesti jadi menu wajib di atas meja,” katanya tersenyum sambil mengimbau kenangan bersama Achik.

“Saya tidak tahu hendak tempuh macam mana nanti terutamanya pada pagi Hari Raya. Seperti tahun-tahun lalu, saya kena siapkan baju melayu arwah, buatkan hidangan sarapan sebelum ke masjid, mengunjungi pusara anak pertama kami, Puteri Rania dan bapa arwah.

“Selepas semuanya selesai, kami akan pulang ke kampung masing-masing kerana jaraknya terletak berdekatan dan satu hari pun dah boleh habis ziarah kaum keluarga.

“Pagi Hari Raya nanti tak tahulah macam mana. Tapi nak tak nak, saya kena lalui juga semua ini demi anak-anak,” katanya sambil kelihatan manik-manik kaca di birai matanya.

Berkongsi kisah lara wanita ini, dia memberitahu dia masih belum bekerja dan menggunakan wang simpanan Achik untuk menyara hidup mereka tiga beranak. Jelasnya, bukan tidak ada syarikat yang menawarkan pekerjaan kepadanya namun faktor anak-anak yang tidak pernah berenggang dengannya sejak lahir menjadi penghalang untuk bekerja buat waktu ini.

“Tetapi selepas Hari Raya nanti, saya memang merancang untuk bekerja sebagai ejen insuran kerana faktor waktu yang fleksibel untuk menjaga anak dan bertemu pelanggan,” katanya perlahan dan lembut.

Bunga cinta di pusara

Kami sempat menziarahi kubur Achik yang terletak di Makam Tuan Haji Said berdekatan rumah Tasha. Saat bergerak ke sana, rintik-rintik hujan mula turun bagaikan mengerti kesayuan yang bersarang di hati wanita itu.

Dalam perjalanan ke sana, Tasha berhenti sekejap di kedai bunga membeli beberapa jambangan bunga sebagai lambang kasih buat suami tercinta.

Turun dari kereta sahaja, melihat gelagat dua anak Achik yang masih belum memahami apa itu kehilangan, hati mana yang tidak diruntun sedih.

Puteri Nur Safiyya dan Puteri Nur Sumayya seperti kanak-kanak sebaya dengan mereka. Nakal dan asyik bertelagah sesama sendiri terutamanya ketika merebut puting tiruan.

Malah apabila melihat si kakak dikendong oleh Tasha, si adik pun ingin dikendong bersama. Maka terpaksa si ibu mengendong kedua-duanya. Puteri Nur Safiyya sudah boleh menyebut nama ayah, panggilan buat Achik namun Puteri Nur Sumayya yang montel itu asyik mengomel caranya sendiri.

Sesekali dia yang baru boleh berjalan itu berlari-lari anak di sekeliling pusara sebelum jatuh terlentang menyembah bumi. Anak kecil kecil itu kuat dan tidak menangis lantas bangun berjalan lagi. Dia seolah-olah tahu dan menuju ke pusara kakak sulungnya, Puteri Rania yang terletak berhadapan pusara Achik.

Melihat Tasha menyiram air dan bunga di pusara Achik, Puteri Nur Sumayya berebut pula dengan kakaknya untuk melakukan benda yang sama. Begitulah gelagat dua anak kecil itu yang belum tahu erti kesepian dan keresahan rindu apabila hilang seorang lelaki bergelar ayah.

Meninggalkan pusara ketika hari mula panas terik, hanya janji yang mampu dilafazkan Tasha kepada suaminya. “Cakap dengan ayah, nanti kakak dan adik datang lagi ya,” kata wanita itu berulang kali sambil mengendong dua anaknya itu.

Aidilfitri tiada makna - ibu Achik

Ibu ini telah hilang seorang anak dan tinggal sembilan yang lain menemani dan menghiburnya saat rindu datang bertandang buat Achik. Badariah Awaluddin, 54, pasrah dengan ketentuan Ilahi biarpun masih sayup-sayup kedengaran suara Achik yang sering mengusiknya.

“Arwah memang seorang anak yang periang. Dahulu bila makcik cemburu dengan arwah bapanya, Achik mulalah usik makcik kata kuat cemburu.

“Pemergian arwah membuat makcik terasa sangat kehilangannya apatah lagi dia menurut jejak langkah arwah bapanya yang meninggalkan keluarga dua tahun lalu,” katanya sambil mengalir air mata.

Badariah yang bekerja di Hospital Seremban itu sejak 34 tahun lalu berkata, Achik yang merupakan anak kelima daripada 10 beradik tidak berubah perangai waima sebelum dan selepas berumahtangga.

Kata wanita ini, Achik akan pulang pada hujung minggu setiap Ramadan untuk berbuka bersama keluarga.“Sebelum dia pulang, dia akan telefon suruh saya masak asam pedas ikan. Itu memang makanan kesukaan dia.

“Nampak lepas ini, saya tidak dapat dengar suara riangnya yang meminta masak makanan tesebut,” ucapnya sayu.

Luah Badariah lagi, Hari Raya Aidilfitri tahun ini sudah tidak bererti untuk mereka sekeluarga dan tiba-tiba dia merenung jauh apabila memikirkan bagaimana untuk berdepan dengan alunan merdu takbir raya nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: