Sunday, August 22, 2010

Izzue bimbang tertipu




Lebih setahun lalu Muhammad Izzul Islam datang dari Kota Bharu, Kelantan ke rumah saudara di Kuala Lumpur untuk bekerja dan mendapatkan suasana baru. Setelah beberapa bulan tinggal di rumah saudara, terasa ingin berdikari dan tinggal sendiri bersama kawan-kawan rapat. Kini kehidupannya semakin sempurna dan kerjaya juga makin terjamin.

Suatu hari, Izzue terpandang iklan uji bakat yang diadakan oleh sebuah syarikat produksi, lalu dia memberanikan diri mencuba nasib. Nampaknya percubaan kali pertama membuahkan hasil apabila berjaya mendapat tawaran watak kecil dalam drama Kampung Jaguh.

Selepas itu dia menjadikan lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa dan berusaha sedikit demi sedikit mendapat tempat dalam dunia lakonan. Setakat ini sudah beberapa drama menampilkannya.

“Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama 7 Lagu. Mungkin minggu depan tamatlah penggambaran itu.

“Sekarang ini saya hanya dapat bawa watak kecil sahaja. Saya sedar sebagai pelakon baru, banyak persaingan. Dalam drama ini saya melakonkan watak Farid Kamil semasa berusia belasan tahun.

“Saya kena kerja kuat untuk membuktikan bakat, apatah lagi saya sudah menjadikan bidang seni sebagai kerjaya utama” kata Izzue kepada Pancaindera.

Izzue semakin bersemangat dalam bidang seni apabila mendapat sokongan keluarga yang pada mulanya kurang menyokong hasratnya untuk menjadi anak seni.

Izzue pernah cuba mengikuti kelas lakonan apabila ternampak iklan mengenainya. Namun apabila mendapati yuran yang dikenakan mahal sangat, dia membatalkan hasrat itu. Apatah lagi belum pasti ketulenan agensi yang menganjurkan kelas itu.

“Takut tertipu, saya batalkan hasrat belajar. Kalau benar-benar mahu belajar ilmu lakonan nanti, saya akan pilih akademi yang dapat dipastikan ketulenannya,” jelas Izzue.

Sememangnya Izzue mahu berjaya dalam bidang seni. Selain bidang lakonan, Izzue juga sedang mengintai cabang muzik bersama kumpulan indie yang diberi nama Hello Yellow.

“Kumpulan ini sudah setahun kami tubuh, tapi belum lagi ada peluang rakam album. Semua anggota kumpulan ini berasal dari Kelantan. Saya bermain gitar dan turut berperanan sebagai penyanyi utama,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: