Sunday, August 29, 2010

Istimewanya baju Melayu


BAJU Melayu seperti menjadi tradisi untuk pakaian masyarakat Melayu di pagi Aidilfitri.


BAJU Melayu menggambarkan jati diri Melayu yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Pemakaiannya juga perlu dikekalkan agar tidak terhakis dan terus menjadi warisan budaya.

Baju Melayu mengandungi dua bahagian utama iaitu kemeja berlengan panjang yang mempunyai kolar dijahit dengan gaya cekak musang. Pelengkap baju adalah seluar yang dipadan dengan samping.

Kebiasaannya, baju Melayu dijahit menggunakan fabrik kapas atau campuran yang selesa dipakai.

Manakala, samping ibarat gaun hiasan yang menggunakan fabrik songket. Tidak lengkap jika tidak diiringi songkok.

Di Johor, rekaan baju Melayu adalah berbeza iaitu tanpa kolar dan samping dipakai di bawah baju .

Jika diteliti, reka bentuk kolar atau potongan lehernya menyerupai baju kurung atau dipanggil Teluk Belanga. Jahitan pada leher tersebut pula dikenali sebagai jahitan tulang belut dan dikancing satu butang.

Pemilik butik Seri Jemari Songket, Joosaidy Johari menggabungkan fabrik baju Melayu bermutu tinggi dengan padanan samping songket tenunan tangan ilham dari Terengganu.

Joosaidy yang membuka butik di 15-1, Jalan Wangsa Setia 1, Wangsa Melawati, Kuala Lumpur yakin baju Melayu tetap menjadi pilihan utama golongan lelaki di Aidilfitri.

"Saya mementingkan kepuasan pelanggan dan sedia memberikan sentuhan peribadi terutama khidmat rundingan mengenai warna, fabrik dan fesyen yang sesuai dengan penampilan pelanggan,'' katanya.

Mengenai fesyen di hari raya pula, Joosaidy memberitahu, terdapat perubahan gaya baju Melayu yang dipakai oleh anak muda kini. Misalnya, mereka gemar memadankan baju Melayu dengan seluar jeans yang lebih nampak kasual dan santai. Namun, sebagai pereka baju, Josaidy lebih gemar menghasilkan baju Melayu yang lengkap dengan seluar serta samping dan songkok.

Katanya, Seri Jemari Songket akan memastikan harga yang ditawarkan lebih berdaya saing selain memberi perhatian terhadap keluaran dan rekaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: