![]() |
| |
TUGASNYA bukan sekadar menyampai berita di stesen radio Sinar FM, Era FM dan kadang kala Xfresh FM. Seperti juga wartawan penyiaran lain, Erni akan mencari berita-berita terkini yang akan disunting sebelum disampai kepada pendengar-pendengar setia radio terbabit.
"Saya perlu sentiasa peka dengan perkembangan semasa untuk memastikan berita yang kami sampaikan tidak lapuk. Oleh itu akhbar, televisyen dan Internet menjadi teman karib saya setiap hari," kata ibu muda berusia 31 tahun itu.
Pada bulan Ramadan ini, tugas Erni masih seperti biasa. Bersahur awal bukan satu masalah baginya. Apa yang penting, dia sampai ke pejabat tepat pada waktunya dan kerja beres awal lalu dia boleh pulang ke rumah untuk berbuka bersama keluarga.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia itu mula berjinak-jinak menjadi penyampai berita radio ketika masih menuntut lagi. Minat yang mendalam dalam bidang tersebut, menjadikan dia tegar meneruskan kerjaya selepas menamatkan pengajian.
Memenuhi keperluan ruangan ini, Erni menerima sekotak wangian One Drop Perfume berwana merah jambu. Menyifatkan haruman itu mampu dimiliki semua peringkat, mempunyai pilihan menarik dan juga mudah dibawa ke mana-mana.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: