![]() |
| Siti Mariam Shaari (kiri) turut mengambil kesempatan meninjau bahagian menjual kain langsir. Tetapi dia hanya sekadar membeli apa yang telah dirancang. |
ALLAH SWT berfirman dalam al-Quran melalui Surah al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah) merupakan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiadalah bakhil kedekut (sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil).
Firman itu menjelaskan kesederhanaan adalah langkah terbaik yang harus diberi perhatian dalam menguruskan perbelanjaan dan keperluan seharian serta mengikut tujuan yang dirancang.
Pada masa sama, Islam menggariskan bahawa seseorang perlu menanam sifat kebijaksanaan dalam pengurusan harta, pendapatan dan sumber kekayaan.
Namun sejauh mana umat Islam mempraktikkan firman berkenaan dalam perbelanjaan mereka terutama ketika membuat persiapan menyambut sesuatu majlis atau perayaan.
Di rumah, mulut kata lain iaitu ingin membeli kelengkapan yang benar-benar diperlukan untuk membuat persiapan secara sederhana. Namun apabila kaki mula berjalan melewati kedai-kedai jualan, mata menjadi rambang dan wang dikeluarkan walaupun barang dibeli kurang penting sehingga perancangan awal diketepikan.
Justeru, sempena ketibaan Aidilfitri kali ini, Mega meninjau secara dakat persiapan dan perancangan umat Islam dalam menyambut Syawal.
Kesempatan mengikut Siti Mariam Shaari atau lebih mesra dipanggil Makcik Mun dalam merancang dan membeli keperluan untuk Hari Raya mungkin boleh dijadikan panduan kepada semua sejauh mana perancangan perbelanjaan yang disenaraikannya diikuti.
Makcik Mun adalah seorang isteri, suri rumah dan ibu kepada empat orang cahaya mata iaitu tiga lelaki serta seorang perempuan yang selama ini dilihat cukup bijak menguruskan perbelanjaan bulanan keluarga.
Ketika meminta kebenaran untuk turut serta mengikutnya membeli-belah kelengkapan Aidilfitri, dia tidak tahu akan hasrat penulis hanya untuk melihat corak perbelanjaannya.
Bimbang dia tidak 'menjadi diri sendiri' ketika berbelanja bagi menunjukkan dia seorang yang berjimat, membuatkan penulis memberi alasan bahawa penulis juga ingin mencari sepasang baju kurung sempena Aidilfitri kali ini.
Tepat pukul 10.30 pagi seperti dijanjikan, penulis menjemput Makcik Mun di kediamannya dan dengan ditemani ibu. Perjalanan diteruskan ke sebuah kedai pakaian, Takzim Textile yang terletak di Seksyen 11, Shah Alam.
Mengikut perancangan awal, kunjungan Makcik Mun ke kedai itu adalah bagi mencari sepasang baju kurung untuk dirinya dan anak perempuannya.
Ketika dalam perjalanan yang mengambil masa 15 minit, Makcik Mun bercerita tentang perbelanjaannya dan cara mengatur persiapan menyambut Syawal untuk suami dan anak-anak.
Ujarnya, setiap kali menyambut Aidilfitri, dia akan menempah awal sepasang baju kurung atau baju Melayu untuk setiap anak-anak, iaitu ketika minggu terakhir sebelum bulan puasa menjelma.
Manakala, sepasang lagi akan dibelikannya untuk mereka bagi memastikan masing-masing memiliki dua pasang baju raya untuk digayakan pada Syawal.
"Setiap kali Ramadan, saya juga akan pastikan kelengkapan lain kami sekeluarga disediakan secara sederhana seperti kasut dan biskut raya manakala langsir pula akan ditukar dua tahun sekali.
"Peruntukkan untuk menyediakan keperluan anak-anak adalah RM350 setiap seorang. Manakala suami dan saya hanya akan membeli pakaian baru dengan kos lebih murah.
"Saya akan pastikan persediaan Aidilfitri kami dibuat secara sederhana supaya tidak membebankan suami mengeluarkan kos raya," katanya.
Menurut Makcik Mun, dia lebih gemar menempah pakaian raya untuk keluarganya kerana ia lebih memuaskan hati dan menjimatkan.
Bagi baju kurung yang dibeli, dia memastikan membeli yang ringkas, murah, serta tidak terlalu bercorak dan anak perempuannya akan menjahit manik supaya ia kelihatan lebih eksklusif.
"Lagipun, jika membeli terutama di pusat jualan yang menjadi tumpuan orang ramai sekitar ibu kota, kita cenderung untuk boros kerana terlalu banyak promosi dan corak yang dipamerkan.
"Walaupun Aidilfitri disambut setahun sekali, bagi kami, ia bukan tiket untuk berboros kerana apa yang penting, pakaian baru, tidak perlulah mengubah kelengkapan seluruh rumah.
"Tambahan, selepas raya, selalunya, ibu bapa perlu menyediakan peruntukkan persekolahan untuk anak-anak dan perbelanjaan bulanan yang mana lebih penting," ujarnya.
Sejurus tiba dikedai itu yang ternyata menawarkan harga murah bagi kain dan pakaian yang dijual, Makcik Mun terus membelek-belek baju kurung yang menarik perhatiannya.
"Cuba lihat ini, kalau diikutkan semuanya cantik-cantik dan mahu sahaja membeli beberapa helai," katanya.
Kemudian, dia membelek-belek pula kain langsir bercorak berbunga-bunga yang digantung di dalam kedai.
Selepas meluangkan masa lebih setengah jam di dalam kedai itu dan melihat beberapa helai baju kurung yang menarik hatinya.
Makcik Mun akhirnya menggunakan sebahagian wang saku berjumlah RM300 yang dibawanya untuk membeli sepasang baju kurung bagi dirinya bernilai RM115.
Lebihan wang saku sebanyak RM185 tidak digunakannya kerana dia sukar membuat pilihan baju kurung untuk anaknya.
Maka, katanya, selepas ini dia akan datang semula ke kedai itu bersama anaknya untuk memilih sendiri baju kurung yang disukai.
Kemudian, kami terus pulang ke rumah.
Mendengar dan melihat persediaan Aidilfitri yang dilakukan bagi keluarganya membuktikan, masih ada isteri dan ibu seperti Makcik Mun yang bijak mencongak peruntukan serta mampu memegang tanggungjawabnya dengan baik sebagai individu penting dalam mengawal perbelanjaan berhemah untuk keluarganya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: