MASYARAKAT Tamil di perantauan sudah biasa dengan singkatan MGR iaitu singkatan nama Maruthur Gopala Ramachandran Menon, seorang aktivis, ahli politik dan pelakon layar perak yang tersohor di Tamil Nadu, India.
Masyarakat Tamil di Malaysia masih kagum dengan tokoh itu meskipun sudah lama beliau meninggal dunia. Banyak nasihat dan kata-kata perangsangnya disampaikan kepada masyarakat sebagai pelakon dan pemimpin politik yang boleh dijadikan teladan.
Malah, ramai ahli politik termasuk Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu sering memetik kata-kata MGR dalam perutusannya kepada masyarakat Tamil di Malaysia.
Sehubungan itu tidak hairanlah pemimpin Tamil di seluruh dunia melihat MGR sebagai ikon, khasnya dalam memperkasa kaum itu dari segi sosial dan budaya. Jadi kewujudan pertubuhan-pertubuhan yang menggunakan nama MGR di Malaysia bukanlah sesuatu yang aneh.
Antaranya ialah Kelab Kebajikan dan Peminat MGR yang ditubuhkan oleh beberapa warga Tamil Malaysia yang bimbang dengan nasib belia masyarakat itu. Presidennya, V. M Gobi menjelaskan, pergerakan yang ditubuhkan pada tahun 2008 itu membuka satu wadah baru kepada belia Tamil yang tidak berpeluang menyertai aktiviti dan mereka yang mudah terjebak dengan gejala sosial.
Dengan lambakan pertubuhan Tamil yang wujud di negara ini, apakah perbezaan pertubuhan itu daripada pertubuhan lain?
“Kami memilih untuk menubuhkan sebuah kelab dan bukan sebuah persatuan supaya ia tidak disalah anggap sebagai sebuah persatuan Tamil berbaur politik. Lagipun, golongan muda lebih menyenangi konsep kelab,” katanya.
Mengapakah beliau memilih MGR sebagai model ikon? Gobi menjelaskan, MGR merupakan ikon universal bagi masyarakat Tamil dan mempunyai peminat yang ramai.
MGR sentiasa memperjuangkan keadilan bagi masyarakat dan nasib golongan miskin. Di layar perak, beliau selalu memainkan watak sebagai seorang anggota keluarga yang penyayang dan bertanggungjawab, seorang kekasih yang ikhlas dan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan mengelak watak negatif.
Memetik kata-kata MGR, mereka yang menyampaikan amanat mestilah orang yang berwibawa supaya amanat itu dipercayai, Gobi berkata, perlu ada satu pergerakan yang berwibawa dalam membantu belia.
Cabaran sosial
“Tetapi kami mahukan pengikut dan bukannya peminat,” tambah Gobi merujuk kepada kumpulan sasaran pergerakan berkenaan yang terdiri daripada pemuda.
Belia pada hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran sosial seperti gemar berpeleseran, terlibat dengan budaya samseng, penagihan dadah dan jenayah. Mereka memerlukan tunjuk ajar untuk kembali ke pangkal jalan.
|
|
“Di sinilah kita memerlukan pergerakan seperti Kelab Kebajikan dan Peminat MGR untuk membabitkan pemuda di peringkat akar umbi. Kami menyebarkan mesej mengenai patriotisme, gejala sosial, masyarakat dan negara, selain membantu memajukan diri menerusi pelbagai aktiviti,” katanya.
MGR pada zaman beliau mengingatkan belia bahawa sesebuah kejayaan bergantung kepada usaha dan seseorang itu perlu mengenali diri sendiri sebelum membantu orang lain.
Beliau juga menyebarkan idea masyarakat penyayang dan membidas golongan belia yang malas.
Gobi yakin bahawa pergerakan itu mampu menarik penyertaan belia. Sehingga kini, nama MGR pada persatuan itu membantu menarik perhatian mereka.
“Kejohanan bola sepak sembilan sebelah anjuran kelab ini di Stadium TPCA, Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu berjaya menarik penyertaan 32 pasukan dan sebilangan besar penyokong MGR,” jelas beliau sambil menambah penyertaan itu melampaui jangkaan pergerakan itu.
Kelab itu juga menjalankan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan Masjid India Kuala Lumpur baru-baru ini selain membantu hampir 100 ibu tunggal dan miskin di Hulu Langat, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan untuk mendapatkan kemudahan mikrokredit.
Gobi mengakui bahawa perubahan positif pada belia Tamil memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.
“Kami mahu melihat satu jaringan pertubuhan akar umbi bekerjasama untuk menarik penyertaan lebih ramai belia dalam aktiviti kemasyarakatan dan aktiviti yang akan mendedahkan mereka kepada aspek positif kehidupan.” Gobi percaya Kelab Kebajikan MGR telah memulakan usaha ke arah itu.
Pemuda yang berminat menyertai aktiviti anjuran persatuan itu boleh menghubungi Gobi di talian 016-245 2384 atau e-mel jeyavelu2008@hotmail.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: