Monday, August 2, 2010

Ramai bimbang disalah anggap

SEJAK dulu, isu seks dan perkara berkaitan dengannya sentiasa dianggap subjek tabu dalam masyarakat timur hingga tidak sesuai dibicarakan sesama sendiri apatah lagi secara terbuka.

pix_middle
Biarpun kini isu itu mula mendapat perhatian media umum apabila ia mula dibincangkan serta diceritakan menerusi media seperti akhbar, televisyen, majalah dan Internet, masih ramai wanita di negara ini yang tidak tahu atau tidak ambil peduli mengenai isu itu.

Justeru, kisah mengenai remaja dan wanita muda yang hamil di luar perkahwinan dan kes buang bayi makin banyak dilaporkan hingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat yang selama ini tidak sedar betapa pentingnya menitipkan kesedaran dan pengetahuan seks kepada remaja serta wanita terbabit.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan ketika kempen Yes, I Can (www.yesican.com.my) - yang memberi penekanan mengenai isu kehamilan tidak dirancang dalam kalangan wanita muda, baru-baru ini, jumlah pembuangan bayi di Malaysia mencecah ke 407 kes sejak 2005.

Selain itu, pada Januari hingga April tahun ini, 111 wanita muda berusaha mendapatkan bantuan bagi membantu menguruskan kehamilan mereka.

Menurut Perunding Kanan Obstetrik dan Sakit Puan merangkap Pengerusi Eksekutif Pusat Perubatan Primanora, Datuk Dr Nor Ashikin Mokhtar, kekangan untuk mengutarakan isu ini menjadi antara punca mengapa masih ramai wanita Asia khususnya Malaysia enggan berkongsi pendapat dan pengalaman mengenai masalah seks kerana bimbang disalah anggap."Mereka sebenarnya takut dilabel wanita rendah akhlak andai membincangkannya secara terbuka terutama apabila bersama golongan lebih tua.


"Wanita juga bimbang dengan stigma masyarakat yang biasanya memandang rendah pada wanita yang mempunyai pengetahuan mengenai seks.

"Skop seks itu luas dan bukan hanya membabitkan aktiviti fizikal antara wanita dan pasangannya. Pengetahuan seks itu merangkumi kesihatan, kesan positif dan negatif yang bakal dihadapi wanita yang aktif seks.

"Mereka pasti malu untuk menceritakan mengenai kemusykilan seks kepada keluarga, ibu misalnya, tapi saya juga mengalu-alukan mereka merujuk kepada organisasi wanita, berbincang dengan doktor atau individu yang boleh dipercayai.

"Ini membolehkan mereka memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan, sekali gus mengelakkan gejala buruk seperti hamil tanpa berkahwin, buang bayi, penyakit kelamin dan bermacam masalah lagi," katanya.

Dalam kalangan masyarakat Melayu, perbincangan secara terbuka mengenai isu ini memang sukar dan situasi sama turut dialami kaum lain seperti India dan Cina.

Bak kata seorang wanita berdarah campuran Cina dan India, Susan Koo, kaum Cina sedikit terbuka dan mula bebas bercakap mengenainya tapi kaum India amat mementingkan kerahsiaan dalam hubungan intim serta masih tebal dengan nilai ketimuran.

"Ia tidak boleh dibicarakan sesuka hati kerana mampu mengundang persepsi negatif masyarakat. Bagi saya, lebih senang berbincang dengan teman rapat kerana mereka lebih berfikiran terbuka.

"Tidak semestinya seseorang wanita muda yang belum berkahwin itu terdorong melakukan hubungan kelamin andai mereka ingin mengetahui lebih lanjut mengenai seks.

"Ibu bapa, golongan lebih tua dan masyarakat tidak boleh mengadili seseorang wanita itu berdasarkan sifat ingin tahu yang ada padanya untuk membolehkan dia mempersiapkan diri menghadapi segala kemungkinan sama ada positif atau negatif.

"Saya sendiri sering tertanya-tanya beberapa masalah membabitkan kesihatan seks dan biasanya lebih senang berbincang dengan teman rapat kerana mereka lebih berfikiran terbuka.

"Saya seterusnya melayari Internet untuk mendapatkan fakta lebih lengkap. Internet juga banyak memberi idea dan pengetahuan tambahan malah menjawab beberapa persoalan kepada masalah saya," kata eksekutif sumber manusia di sebuah syarikat swasta itu.

Selain teman rapat, wanita berusia 26 tahun itu pernah bertanyakan mengenai beberapa isu seks kepada ibunya tapi tidak berani berbincang lebih lanjut kerana dikhuatiri ibunya beranggapan negatif.

"Apabila bertanyakan pada ibu, biasanya jawapan yang saya peroleh tidak memuaskan atau tidak lengkap. Saya juga tidak begitu selesa berbincang mengenai seks dengan kakak walaupun dia sudah berumah tangga.

"Tapi dengan segala kepesatan dunia ketika ini, saya percaya suatu hari nanti makin ramai ibu atau golongan lebih berusia sedia membincangkannya dengan anak mereka mengenai isu ini.
"Ia penting supaya dapat memberi panduan kepada remaja dan wanita muda mengenai apa yang bakal berlaku dan mencetuskan sedikit rasa takut dalam diri mereka mengenai kesan buruk akibat terbabit dalam hubungan seks tanpa berkahwin atau kehamilan yang tidak dirancang," kata Susan.

Langkah itu turut disokong Mira Kamarudin, remaja berusia 16 tahun, yang menyifatkan mereka lebih mudah memperoleh pengetahuan seks menerusi majalah, televisyen dan Internet berbanding ahli keluarga.

Pelajar tingkatan empat jurusan akaun itu tahu dan faham hampir semua perkara berkaitan seks yang diperoleh menerusi pembacaan majalah dan banyak menonton televisyen.

"Ia bermula dengan sifat ingin tahu, jadi saya merujuk dengan rakan di sekolah. Jika tidak berpuas hati, saya akan cuba mencari jawapannya dalam laman web.

"Tapi, kebanyakan maklumat yang saya dapat datangnya daripada majalah remaja. Majalah itu biasanya memberi panduan kepada remaja perempuan bagaimana untuk mengelak daripada menjadi mangsa dan turut menyiarkan artikel mengenai kesedaran memahami apa sebenarnya seks kepada remaja," katanya.

Biarpun mempunyai teman lelaki, Mira tidak membincangkan isu seks bersama pasangannya dan lebih senang berbual dengan rakan perempuan.

"Saya berasakan tidak sopan untuk berbual mengenai seks dengan ibu, lebih-lebih lagi bapa, kerana ia biasanya dianggap tabu bagi keluarga Muslim. Jadi, cara terbaik ialah saya berbincang serta bertukar fikiran dengan teman rapat yang lebih memahami.

"Tapi, jangan disalah anggap saya bertanyakan perkara seks disebabkan ingin melakukannya. Sama sekali tidak kerana saya menganggap ia lebih kepada pengetahuan tambahan yang tidak diajar secara terang-terangan di sekolah.

"Maklumat yang diperoleh itu juga membuatkan saya dan rakan sedar mengenai banyak keburukan yang bakal dialami seseorang andai melakukan seks pada usia remaja hingga hamil luar nikah.

"Ia membuatkan kami lebih waspada dalam pergaulan dan berusaha menjaga diri daripada terjebak dengan masalah itu," katanya.

Kata Mira, guru di sekolahnya juga sering membincangkan isu ini walaupun tiada sukatan pelajaran membabitkan pendidikan seks selain mata pelajaran sains dan biologi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: