
SELEPAS berpeluang menikmati buah tangan berupa kuih bulan tradisional yang dihadiahkan oleh rakan-rakan ibunya yang berbangsa Cina, Norazilla Kamarudzaman, 23, kini merupakan penggemar setia hidangan itu.
Sejak kecil, anak kedua daripada tiga adik-beradik itu telah diperkenalkan kepada hidangan tradisional masyarakat Cina yang popular ketika sambutan perayaan musim luruh itu.
Bagi Norazilla, identiti makanan tradisional itu adalah aset warisan masyarakat Cina yang perlu dikekal dan dibanggakan, sama seperti dia berbangga dengan resipi kuih-muih Melayu warisan nenek moyangnya sendiri.
Menyentuh mengenai transformasi penyediaan dan resipi kuih bulan, Norazilla menyatakan beliau lebih menyukai jenis tradisional. Walaupun kini sudah ada pelbagai jenis dan rasa kuih bulan di pasaran, wanita Melayu itu berpendapat keasliannya sedikit terhakis oleh arus kemodenan.
“Jika berlaku terlalu banyak perubahan, ia bukan lagi kuih bulan. Bayangkan jika ia diperbuat sepenuhnya daripada coklat dengan bentuk menyerupai kuih bulan, ia sebenarnya adalah coklat yang mengambil bentuk kuih bulan,” ujarnya yang menggemari kuih bulan inti biji teratai dengan telur itik itu.
Seorang penggemar kuih bulan berbangsa India, V. Josephine, 38, pula mempunyai pendapat berbeza. Baginya, perubahan adalah tuntutan gaya hidup yang tidak boleh dielakkan.
“Bukan sahaja kuih bulan, semua perkara pada zaman ini mengalami perubahan. Jika ia tidak diperkenalkan dengan versi yang lebih segar mungkin saya tidak menggemari makanan ini.
“Kuih itu kini dibuat dengan lebih sihat iaitu kandungan gula dan lemak yang lebih rendah. Rasanya juga lebih sedap dan dipelbagaikan. Secara tidak langsung, ia menjadikan hidangan tradisional ini diterima ramai,” jelasnya yang sudah mencuba hidangan itu sejak 14 tahun lalu dan menggemari kuih bulan berperisa durian.
“Kepada golongan yang berusia seperti saya, kuih bulan kontemporari menjadi pilihan. Jika tidak ia kurang sesuai kerana tinggi kolesterol dan gula,” jelas Firdaus Ahmad Yasin, 52, yang menggemari hidangan masyarakat Cina tersebut.
Kuih bulan sinonim dengan identiti tradisionalnya yang mempunyai kulit luaran yang tebal dengan isi pes kacang merah, pes biji teratai dan pes taro iaitu keladi dengan kuning telur di tengah-tengahnya.
Kelebihan wajah baru
Namun kini, eksperimen resipi telah mencetus variasi penyediaan kuih adunan tepung tersebut.
Antara generasi baru kuih bulan yang popular adalah seperti rasa durian, coklat, keju, dan kapucino. Namun terdapat juga kuih bulan yang mengalami transformasi ekstrem kepada versi-versi yang lebih kreatif seperti kuih bulan jeli, kuih bulan aiskrim dan kuih bulan coklat.

Bagi meraikan Festival Kuih Bulan, Hotel Equatorial Kuala Lumpur memperkenalkan pelbagai jenis hidangan kuih bulan sama ada tradisional mahupun kontemporari.
Menurut Chef Yau Kim Yew, dari dapur Restoran Golden Phoenix Mezzanine di hotel itu, pada tahun ini beliau menyediakan hidangan kontemporari seperti kuih bulan coklat, kuih bulan berkulit pastri berlapis, kuih bulan mini dan kuih bulan kontemporari pelbagai rasa selain kuih bulan tradisional.
Jelas chef tersebut, kuih bulan yang mengalami transformasi mempunyai kelebihan tersendiri. Ia adalah antara strategi untuk menarik lebih ramai pengguna daripada pelbagai bangsa.
“Perubahan ini berlaku akibat permintaan dan cadangan daripada penggemarnya dan pelanggan kami. Setiap tahun kami menerima permintaan yang berbeza daripada mereka.
“Kami ingin menarik lebih ramai penggemar,” jelas tukang masak yang mesra disapa Chef Yau itu.
Tukang masak yang berpengalaman selama 12 tahun itu menjelaskan, kaedah menyediakan setiap jenis kuih bulan adalah berbeza-beza. Terdapat pelbagai jenis seperti tradisional dengan kulit luar berkerak, gaya moden dengan pelbagai rasa dan kuih bulan ais krim.
“Bagi kuih bulan pelbagai rasa tidak banyak transformasi yang berlaku. Jika diperhalusi pada fizikalnya kulit luarannya tetap sama tetapi rasanya yang berbeza sesuai dengan selera masyarakat sekarang,” jelasnya.
Chef Yau yang baru sahaja menyertai Pertandingan Chef Emas Antarabangsa 2010 dan menggondol tiga pingat emas menjelaskan, pelanggannya amat meminati kuih bulan kontemporari dengan kulit perisa coklat berintikan blackcurrant dan coklat cip serta kulit perisa kopi dengan inti buah berangan.
“Pada tahun ini kami memperkenalkan seleksi baru 2010 iaitu kuih bulan Shimering Moonlight yang berbentuk jongkong emas Cina. Kulitnya diperbuat daripada pastri berlapis yang nipis dan berintikan biji teratai.
“Kuih bulan dengan kulit ini menjadi penggemar masyarakat Beijing,” jelasnya.
Berbeza dengan hidangan warisan lain yang saban hari ditelan zaman, transformasi itu memberi kesan yang baik kepada kuih bulan untuk terus wujud dan diterima ramai.
Lambang status
Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Hotel Equatorial Kuala Lumpur, Tam Poh Poh, perubahan dari segi rasa dan kandungan bahan yang lebih sihat menjadi strategi pihaknya untuk memikat pelanggan selain persembahan yang lebih menarik.
Kini kuih bulan bukan sahaja dijual dalam pek biasa tetapi pelbagai pek menarik disediakan seperti kotak dan hamper serta dibungkus dengan kain sutera. Penampilan menarik itu sesuai dijadikan cenderamata.
Perubahan ketara yang berlaku pada kuih bulan mungkin boleh dianggap sebagai melambangkan status seseorang jika dilihat dari segi pembungkusan dan penampilan lebih segar.
![]() |
| PROSES memasukkan inti kuih bulan. |
Akhbar Nanfang Daily di Guangzhou, China melaporkan, kuih bulan bukan hanya menjadi lambang kepada penyatuan keluarga tetapi kebelakangan ini ia menjadi simbol kekayaan dan kemewahan.
“Sebahagian pengeluarnya di selatan China mengupah pengukir perak untuk menghasilkan pek bungkusan yang eksklusif. Ia dijual pada harga 1,888 yuan (RM717.66) setiap kotak.
“Di barat Shanxi, China, terdapat kuih bulan yang dijual dengan kotak bersalut emas pada harga 9,999 yuan (RM3,800),” lapor akhbar tersebut.
Menurut akhbar yang terjual lebih 850,000 naskhah sehari itu lagi, trend terkini hidangan kuih bulan bukan sahaja telah berubah dari segi rasanya, malah pembungkusannya juga lebih menarik.
Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Teonghua, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr. Ching Thing Ho, pembaharuan kuih bulan adalah suatu yang sihat kerana mampu mengekalkan kedudukannya di mata masyarakat.
“Tiada masalah walaupun terdapat banyak jenis kuih bulan kontemporari di pasaran kerana ia boleh mendekatkan makanan ini dengan penggemarnya.
“Selagi kuih bulan tradisional wujud dan tidak tergugat sampai bila-bila tiada salahnya dengan kehadiran generasi barunya,” jelas beliau.
Thing Ho mengakui pelbagai perisa kuih bulan di pasaran mampu menarik lebih ramai orang untuk mencubanya tanpa mengira bangsa dan ia secara tidak langsung akan mempopularkan kuih bulan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: