Monday, August 23, 2010

Bantuan banjir di Pakistan lebih RM2.5 bilion


SEJUMLAH penduduk menyeberangi sebatang jalan raya yang digenangi air di daerah Muzaffargarh, Pakistan semalam.


THATTA, Pakistan - Sebanyak lebih AS$800 juta (RM2.5 bilion) telah didermakan oleh dunia kepada Pakistan bagi membantu negara itu menangani bencana banjir yang terburuk sehingga memaksa ribuan penduduk dipindahkan.

Menteri Luar, Shah Mahmood Qureshi berkata, Pakistan berterima kasih dengan bantuan antarabangsa tersebut yang diterima selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu supaya bantuan diberikan.

"Jumlah bantuan yang diterima Pakistan setakat ini adalah AS$815.58 juta (RM2.5 bilion).

"Semasa negara-negara di Barat seperti Eropah dan Amerika mengalami kegawatan ekonomi, perpaduan seperti ini sangat menggalakkan," katanya.

Banjir tersebut telah melanda Pakistan pada lewat bulan lalu selepas hujan lebat monsun mengakibatkan air sungai melimpah dan menjejaskan satu perlima daripada negara tersebut.

Lebih menyukarkan buat pemerintah Pakistan kerana pada masa sama ia terpaksa berhadapan dengan masalah keganasan kumpulan Al-Qaeda dan Taliban.

Sekurang-kurangnya enam juta penduduk telah kehilangan tempat tinggal selain kehidupan 20 juta penduduk turut terjejas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: