Wednesday, August 4, 2010

Gaya selebriti inspirasi Lewre




SELEBRITI sering dijadikan ikon bagi sesetengah orang. Segala yang ada pada ikon menjadi ikutan. Daripada fesyen pakaian, rambut, beg tangan, kasut, solekan dan sebagainya. Segalanya jika boleh ingin kelihatan sama dengan ikon mereka.

Sebab itu gaya selebriti memberi inspirasi kepada Lewre bagi menghasilkan koleksi terbarunya bagi musim luruh / sejuk 2010. Kehidupan mempesonakan selebriti Hollywood sering diimpikan oleh mereka yang ingin menjadi salah seorang daripadanya.

Empat ciri utama dipilih bagi menceritakan ilham terbaru Lewre ini, iaitu Desire, Wondrous, Romance dan Fantasy. Dengan setiap langkah, gambarkan diri yang penuh glamor dan bayangkan anda adalah bintang seperti ikon anda.

Menurut pengasas Lewre, Datuk Lewre Lew, koleksi Desire merupakan rekaan yang menjadi pilihan selebriti dan pencetus fesyen hari ini.

''Kami memperoleh ilham daripada bintang-bintang seperti kembar Olsen, Miley Cyrus dan Sienna Miller. Sandal dan kasut bertumit tinggi Desire adalah gabungan rekaan purba dan moden dengan gaya Hellenic.

''Menambah gaya adalah corak ular sawa pada tumit lebarnya. Pilihan warna-warna hitam, coklat, warna lembayung dan kuning menjadikan langkah anda wanita seksi dan bergaya,'' ujarnya.

Beliau berkata, gaya elegan masa lampau dikembalikan semula dengan sandal bertali halus dan kasut bertali di belakang. Sama seperti aktres dahulu, wanita moden mahukan gaya yang lebih terperinci dan glamor.

''Koleksi Wondrous pula menggunakan bahan-bahan seperti satin serta kombinasi warna emas, tembaga dan hitam sesuai untuk majlis malam yang memerlukan anda nampak berbeza.

''Sementara itu, koleksi Romance mengembalikan era Chinoiserie di mana seni oriental mula memasuki Eropah pada abad ke 17. Pertemuan antara Timur dan Barat ini telah memberi banyak inspirasi, kisah dan rekaan termasuk koleksi kasut ini,'' katanya.

Beliau menambah, baik kasut yang bertumit tinggi mahupun kasut seperti penari balet, kedua-duanya cantik dengan fabrik bercorak bunga mawar.

Apa yang menarik ialah reben yang terdapat di depan kasut. Diperoleh dalam warna-warna pastel hijau dan merah jambu, koleksi Cinderella ini menceritakan perihal wanita moden dan kecintaan mereka kepada kasut.

Lewre berkata, dalam dunia fantasi, apa pun boleh terjadi.

Justeru koleksi Fantasy diilhamkan daripada kisah-kisah fiksyen seperti Blade Runner dan The Fifth Element.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: